April 18, 2024

Search
Close this search box.

Teras enVision Moonshot beri lebih autonomi perkasa mahasiswa UTM

Oleh: Nadratul Huda Ahmad, Muhammad Hakim Mohd Zain & Alis Imalin Abu Bakar (Majlis Perwakilan Pelajar UTM)

JOHOR BAHRU, 3 Feb. – Setelah 50 tahun Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berdiri kukuh menjadi gedung ilmu yang berteraskan sains, teknologi dan kejuruteraan, pelbagai cabaran yang perlu dilalui bagi memperkasakan status UTM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan terkemuka negara.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail ketika berucap dalam Majlis Amanat Naib Canselor 2023 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, beliau menyatakan hasrat bahawa sudah tiba masanya UTM perlu mengambil pendekatan yang radikal dan pantas dalam merealisasikan hasrat bagi melahirkan graduan berorientasikan masa hadapan dan menghasilkan pendidikan berteraskan teknologi termaju.

Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi ketika menyampaikan amanat kepada warga UTM di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Seluruh mahasiswa UTM menyokong dan menyambut baik pendekatan enVision Moonshot yang dibentangkan oleh Datuk Dr. Ahmad Fauzi, menerusi empat fokus utama yang digariskan iaitu melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan, menerajui penyelesaian kepada permasalahan kompleks melalui pengetahuan dan penyelidikan berfokus dalam bidang strategik, mencapai keunggulan global sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara berasaskan teknologi serta memanfaatkan teknologi tinggi dan menggunakan pendekatan quadruple helix.

Menerusi wadah enVision Moonshot ini, jelas menunjukkan bahawa UTM komited dalam melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan dengan menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Program Pemerkasaan 5 ETP (Excellence Track Programme), penawaran Program Akademik dan Semakan Kurikulum Berorientasi Masa Hadapan, dan Pemerkasaan “Student Union”. Usaha-usaha ini jelas menggambarkan hasrat UTM dalam memastikan kecemerlangan pelajar secara holistik dalam pelbagai aspek

Pelancaran enVision UTM 2025: Action Plan 2023.

Memetik intipati Amanat YB Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini, hasrat pemerkasaan mahasiswa dalam konteks inisiatif penubuhan Student Union perlu diteruskan bagi memastikan kemandirian mahasiswa di samping mengangkat martabat dan suara mereka.

Justeru itu, pemerkasaan Student Union yang turut menjadi salah satu aspek dalam enVision Moonshot ini adalah salah satu usaha sejajar bersama aspirasi kesebelas YB Menteri KPT daripada sudut pemerkasaan mahasiswa.

Mahasiswa akan diberikan lebih banyak kuasa, kebebasan, tanggungjawab, ruang dan peluang dalam membuat keputusan terutama melalui gerakan pelajar dan Student Union. Di peringkat UTM pula, apabila Bangunan Student Union (SUB) siap dinaik taraf dalam Mei 2023, mahasiswa akan diberi autoriti dan amanah dalam aspek pengurusan dan pengimarahan fasiliti tersebut, sekali gus menjadi platform memperkasa pembangunan mahasiswa, sejajar hasrat YB Menteri KPT untuk melahirkan pelajar yang memiliki attribut ‘smart and sharp skills‘.

Dalam mempersiapkan bakat dan potensti mahasiswa pada hari ini, ia secara tidak langsung memberi nafas baharu kepada mereka untuk cakna akan tanggungjawab mereka terhadap kecemerlangan akademik dan juga tanggungjawab mereka kepada universiti, masyarakat dan negara.

Hasrat kesebelas oleh YB Menteri Kementerian Pengajian Tinggi berkenaan Pemerkasaan Mahasiswa.

Jika dapat ditelusuri, Student Union adalah satu badan pelajar yang mengawal aktiviti dan menguruskan mahasiswa secara umumnya. Mengambil contoh institusi pendidikan seperti Cambridge University dan Oxford University, Student Union berfungsi dan memiliki autoriti umpama pihak pengurusan universiti, cuma konteks dan fokusnya adalah kepada ekosistem kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.

Student Union adalah penjenamaan semula daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tetapi kuasa autonomi yang diberikan adalah lebih besar. Di samping itu, struktur organisasi Student Union mengambil dan mengguna pakai sistem pentadbiran eksekutif kerajaan sebagai mekanisme holistik dalam mempersiapkan mahasiswa sebagai bakal pemimpin negara pada masa hadapan.

Seterusnya, golongan mahasiswa yang merupakan aset negara amat berharga dalam menentukan corak masyarakat dan negara sewajarnya dibekalkan kurikulum relevan dan terkehadapan agar pengetahuan serta kemahiran diperoleh mampu mengatasi pelbagai cabaran.

Melalui Program Pemerkasaan 5 ETP dan Semakan Kurikulum Berorientasi Masa Hadapan, keberhasilan dan kebolehpasaran para graduan dapat dipertingkatkan. Usaha ini sememangnya amat bertepatan dengan situasi terkini dalam memenuhi keperluan industri, masyarakat serta negara seiring dengan peredaran zaman.

Hal ini memandangkan masih ada kursus-kursus yang ditawarkan sudah tidak releven dan tidak menepati keperluan kemahiran mahasiswa sebagai persediaan masa hadapan.  Tambahan pula, inisiatif ini dilihat amat bertepatan dengan hasrat kesembilan oleh YB Menteri KPT iaitu dari sudut Kualiti dan Kecemerlangan Akademik yang lebih baik kepada golongan mahasiswa.

Hasrat kesembilan oleh YB Menteri KPT iaitu Kualiti dan Kecemerlangan Akademik.

Sesungguhnya, intipati yang disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi ini wajar disambut baik oleh seluruh warga UTM untuk mendepani pelbagai cabaran dalam konteks melahirkan mahasiswa yang holistik dan berdaya saing. Amanat Datuk Naib Canselor UTM ini juga dilihat menyokong agenda revolusi pendidikan tinggi bersandarkan hasrat YB Menteri KPT dalam usaha menarik semula generasi mahasiwa ‘digital natives‘ ke alam realiti yang sarat dengan pelbagai cabaran dan rintangan.

 

Explore More