April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 6 Jan. – Sebuah program University Services Responsibility (USR) yang bertemakan “Pengenalan Kepada Geomatik 2023” telah dilaksanakan bertempat di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) oleh sekumpulan pelajar Tahun 3 Kursus Kejuruteraan Geomatik Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program ini melibatkan 30 orang pelajar KMNS dalam rangka usaha untuk memberikan pendedahan kepada mereka berkaitan dengan ilmu Global Positioning System (GPS).

Program USR ini juga merupakan sebahagian daripada keperluan subjek Satellite Positioning II di mana memerlukan pelajar kursus Kejuruteraan Geomatik untuk menganjurkan sebuah program perkongsian ilmu mengenai penggunaan satelit, berfokuskan kepada Global Navigation Satellite System (GNSS) yang sering digunakan dalam bidang navigasi pada hari ini kepada komuniti di luar UTM.

Melalui perlaksanaan program ini, antara perkara yang ditekankan adalah untuk memberi pengetahuan cara membezakan alat penerima jenis navigasi dan alat penerima jenis pengukuran, sesuai dengan kapasiti dan penerimaan tahap pelajar kolej matrikulasi.

Di samping itu juga, program ini memberi pendedahan tentang kursus Kejeruteraan Geomatik serta menarik minat para pelajar untuk mengenali dengan lebih lanjut apa UTM.

Tambahan pula, program ini turut dimeriahkan dengan pelaksanaan beberapa aktiviti untuk meningkatkan lagi kefahaman pelajar KMNS di samping menarik minat mereka tentang bidang Geomatik. Antaranya ialah perkongsian tentang penggunaan GPS, permainan Geocaching dan pameran alat ukur yang digunapakai dalam bidang Geomatik.

Aktiviti pendedahan alat pengukuran ini telah dijayakan dengan penyediaan alat ukur secara maujud, Antara alat ukur yang dipamerkan termasuklah total station automatik, prism, mini prism, GPS dan Ground Penetrating Radar (GPR).

Pameran alat-alat ukur dalam bidang Geomatik.
Aktiviti Geocaching (Treasure Hunt).

Penganjuran program ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dan maklum balas yang positif daripada pelajar dan tenaga pengajar KMNS.

Tidak dinafikan bahawa pelaksanaan program ini sememangnya dapat meningkatkan sahsiah, kemahiran sivik dan kewarganegaraan dalam kalangan pelajar serta mewujudkan dan mengukuhkan persekitaran kerjasama antara pelajar, tenaga pengajar dengan komuniti. Bak kata pepatah ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Geomatic Survey Consultant dan Samudera Awana Holdings Sdn. Bhd. kerana telah bekerjasama dalam menjayakan program ini.

Sebagai penutup wacana, diharapkan penganjuran program ini berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan para pelajar KMNS yang terlibat tentang bidang Geomatik serta alat-alat yang digunapakai dalam bidang ini di samping menarik minat mereka untuk menceburi bidang Geomatik.

Bukan itu sahaja, program USR seperti ini sememangnya mampu membantu dalam memperluas bidang Geomatik sekaligus bertepatan untuk memenuhi pelan strategik universiti enVision UTM 2025 dalam mempertingkat kemahiran teknikal para pelajar.

Explore More