Mei 8, 2024

Search
Close this search box.

KOTA BHARU, 7 Feb. – Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob telah merasmikan pelancaran Sistem  Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (e-Bencana Kelantan) di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darul Naim, Kelantan.

Perasmian turut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Hajah Mumtaz Haji Md Nawi; Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Kaya Setia Datuk Nazran bin Muhammad, pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri, semua ADUN, ahli Parlimen, Ketua Jajahan dan Ketua Jabatan agensi-agensi kerajaan.

Perasmian sistem e-Bencana oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob.

Hasil inovasi UTM yang dahulu dikenali sebagai eBantuan telah menjadi inspirasi kepada perbincangan awal untuk menambah baik pengurusan bencana negeri  sejak 8 tahun lalu oleh YB Dato Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, bersama pasukan penyelidik UTM yang diketuai oleh Prof Madya Dr Mohamad Hafis Izran Ishak, pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Dr Nurul Hawani Idris, pensyarah Fakulti Alam Bina dan Ukur. Mereka berdua dilantik sebagai ahli kumpulan pakar rujuk sistem e-Bencana Kelantan oleh YB Exco.

Pertemuan YB Dato’ Hajah Mumtaz Haji Md Nawi, bersama penyelidik-penyelidik daripada seluruh Institut Pengajian Tinggi di Malaysia termasuk UTM ketika Persidangan Kajian Bencana Banjir yang telah berlangsung pada 4-6 April 2016 di Pullman Hotel Putrajaya telah menjadi pencetus kepada perlunya sistem pengurusan berpusat yang sistematik melibatkan semua agensi dan pemegang taruh termasuk NGO dan NGI,  yang boleh diakses oleh semua peranti melalui platform aplikasi mudah alih (mobile app), web dashboard dan juga portal.

Sistem e-Bencana Kelantan wujud hasil daripada proses naik taraf sistem sedia ada iaitu e-Banjir dan juga ditambah modul lain seperti pendaftaran penduduk dan mangsa menggunakan konsep check-in menggunakan kod QR. Selain itu, diwujudkan juga modul pengurusan bantuan bagi menyediakan proses pengurusan bantuan dua hala di antara NGO dengan Ketua Jajahan, Pusat Khidmat Parlimen dan DUN bagi mengatasi isu pengurusan barang bantuan ketika bencana.

Pembangunan sistem e-Bencana Kelantan telah dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan (local talents) yang terdiri daripada lepasan baru graduan dan alumni UTM. Projek yang mengambil masa selama 2 tahun, bermula dengan Kajian Keperluan Pengguna yang telah dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Negeri yang diketuai oleh Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, Encik Mohd.Roshdi bin Ismail; Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat yang diketuai oleh En. Nik Rahimin bin Wan Hussin dan Bahagian Pengurusan Bencana Negeri, diketuai oleh En Nik Mohamed Noor Bin Nik Ishak.

Pembangunan sistem turut melibatkan semua pemegang taruh pengurusan bencana negeri termasuklah agensi penyelamat (PDRM, Bomba, Anggota Pertahanan Awam Malaysia), Kementerian Kesihatan Malaysia peringkat negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, NGO (Pertubuhan Bulan Sabit Merah dan Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Kelantan), Pejabat Ketua Jajahan, ketua kampung, Pejabat Khidmat Parlimen dan juga DUN.

YB Dato’ Hajah Mumtaz Haji Md Nawi, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita menerima Buku Manual e-Bencana sebagai simbolik penyerahan sistem e-Bencana daripada UTM, yang diwakili oleh Ketua Projek juga CEO AR Mechatronics PLT (syarikat hiliran UTM), Prof Madya Dr Mohamad Hafis Izran Ishak, sambil disaksikan oleh Mejar Bersara (Dr) Khairul Afnan Bin Khalid  dan Sr Ts. Gs. Dr Nurul Hawani Idris (pakar rujuk sistem e-Bencana) dan Dato’ Sri Wan Ahmad Najmuddin bin Mohd (pengerusi syarikat AR Mechatronics PLT).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita mengucapkan tahniah kepada pasukan projek daripada UTM kerana memberi komitmen tinggi sejak 8 tahun lalu bagi meyakinkan pemegang taruh pengurusan bencana negeri dan merealisasikannya kepada satu sistem digital pengurusan bencana negeri komprehesif yang pertama di Malaysia.

Sistem e-Bencana telah membuka pendaftaran penduduk kepada seluruh rakyat Kelantan, terutamanya ketua isi rumah (KIR). Pendaftaran boleh dibuat menggunakan aplikasi e-Bencana Kelantan (dimuat turun dari Android Playstore dan iOS AppStore) dan juga daripada laman web https://ebencana.kelantan.gov.my/daftar.php

Bergambar bersama sebahagian daripada pasukan projek dari Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat, Tuan Haji Mohd Zawawi Ab Rahman dan Puan Yasmin Abdullah.

Explore More