Mac 2, 2024

Search
Close this search box.

FSSH kejar pengiktirafan ASEAN untuk kursus sumber manusia dan psikologi

Oleh: Norlita Hassan & Khairull Azmi Ishak

JOHOR BAHRU, 2 Feb. – Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSH) telah menyahut cabaran bagi menjalani audit pengiktirafan peringkat ASEAN bagi Program Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia (SHMRH) dan Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS).

Audit pengiktirafan akreditasi program akademik di peringkat ASEAN atau ASEAN University Network-Quality Assurance Program Level Assessment ini telah berlangsung selama tiga (3) hari iaitu mulai 31 Jan 2023 hingga 2 Februari 2023.

Delegasi panel penilai audit AUN-QA bagi progran SHMRH ini telah diketuai oleh Profesor Madya Dr. Jorge Fidel Barahona Caceres dari Universiti Maejo, Thailand dan Dr. Sabarinah Prasetyo dari Universitas Indonesia, Indonesia sebagai panel penilai bersama.

Sesi pembukaan audit telah disempurnakan oleh YBhg. Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) bersama barisan pengurusan fakulti dan pihak Pusat Kualiti dan Pengurusan Risiko (UTMQRiM) sebagai sekretariat.

Sesi audit selanjutnya ialah sesi penilaian dokumen Self-Assessment Report (SAR) bagi menilai kualiti program akademik demi memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak ASEAN University Network Quality Assurance (AUN-QA).

Sesi yang paling penting ialah sesi temubual bersama pengurus program berkenan yang diketuai oleh Pengerusi Sekolah Pengurusan Sumber Manusia dan Psikolog sendiri iaitu Prof. Dr. Siti Aishah bte Panatik, sesi bersama staf Profesional, Pengurusan dan Pelaksana, staf akademik dan pelajar, alumni serta pihak industri yang menerima alumni program ini.

Sesi audit selanjutnya ialah siri lawatan audit tapak oleh panel penilai ke lokasi pengajaran dan pembelajaran di sekitar bangunan T08. Antara lokasi yang dilawati ialah dewan kuliah, bilik kuliah, makmal Psikologi, makmal komputer, dewan konvensyen serta kemudahan-kemudahan umum seperti cafe dan surau.

Pada sesi penutup, kesemua panel telah merumus serta membentangkan hasil dapatan audit tersebut kepada pihak Pengurusan Universiti dan pihak SHARPS.

Pelaksanaan audit sebegini dapat menilai standard program yang ditawarkan oleh pihak fakulti di samping memperluaskan jaringan kerjasama antara pihak UTM dan universiti-universiti seluruh ASEAN serta dapat melaksanakan pemantauan secara berterusan terhadap kualiti program-program akademik FSSH khususnya serta UTM amnya.

 

Explore More