April 27, 2024

Search
Close this search box.

FABU bangunkan Ruang Pembelajaran Abad Ke-21 untuk murid Pendidikan Khas

Oleh: Gs Sr Dr Othman Zainon, Dr Norhidayah Md Yunus, Dr Nurul Syakima Mohd Yusoff, Dr Siti Radiaton Adawiyah Zakaria, Dr Nurul Hana Adi Maimun dan Dr. Ainur Zaireen Binti Zainudin

JOHOR BAHRU, 13 Feb. – Majlis penyerahan projek Transformasi Pembelajaran Abad Ke-21 Kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas telah dilaksanakan dengan jayanya di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura Kulai.

Penyerahan projek ini melibatkan empat projek telah dilaksanakan terdiri daripada Pengindahan Ruang Pembelajaran Sekolah Pendidikan Khas Menggunakan Landskap Kejur, Projek Penambahbaikan Infrastruktur Ruang Belajar Abad Ke-21, Projek Peningkatan Potensi Keusahawanan dalam Kalangan Pelajar Berkeperluan Khas Melalui Pembinaan dan Pengurusan Taman Burung dan Projek Tahap Kesedaran Kelestarian Alam Sekitar Menerusi Taman Herba.

Projek transformasi ini dibawa khas oleh Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM Johor Bahru bagi tujuan peningkatan prestasi murid-murid sekolah berkenaan.

Projek yang turut melibatkan sinergi jaringan komuniti dan industri ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Yahaya Bin Ali, Ketua Penolog Pengarah Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, dan turut disaksikan oleh Tuan Haji Fahrurrazi Bin Ramdhan, Pengetua SMPK Vokasional Indahpura dan Gs Sr Dr Othman Bin Zainon, Pensyarah Kanan, FABU.

Kesemua projek telah dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan yang melibatkan kaji selidik, pemindahan ilmu, penyediaan ruang pembelajaran abad ke-21 dan gotong-royong. Projek ini juga memberi impak kepada 20 orang guru, 100 orang pelajar pendidikan khas, 30 orang ibu bapa dan 30 orang kakitangan sekolah.

Projek ini merupakan satu program pemindahan ilmu dan teknologi dengan pendekatan Pembelajaran Servis yang dianjurkan oleh pihak FABU. Projek ini adalah untuk mendedahkan dan memberi kesedaran kepada golongan sasaran tentang kepentingan mempunyai bilik pembelajaran yang kondusif dan selesa.

Selain itu, projek ini juga menekankan aktiviti di luar bilik kelas juga boleh memainkan peranan dengan peningkatan pemahaman terhadap perlakuan aktiviti hands-on yang dijalankan. Program pembelajaran melalui aktiviti sebenar yang dijalani oleh pelajar di lapangan dengan kaedah yang berinovasi ini menawarkan pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menarik melalui aktiviti hands-on dan perkongsian ilmu.

FABU membawa inovasi yang dihasilkan menerusi perkongsian bersama pelajar untuk memperkayakan mereka dengan ilmu Sains, Sosial dan Alam Sekitar. Kesemua ilmu ini sangat berkait rapat dengan pendidikan STEM yang meliputi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Pihak FABU telah pun bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan komuniti Pangsapuri Kenari Kangkar Pulai bagi menjayakan program ini. Semoga projek PAK-21 ini akan memberi manfaat kepada seluruh warga SMPK Vokasional Kulai Johor.

Para Jemputan mengambil tempat semasa Majlis Perasmian.
Pembentangan keseluruhan projek oleh murid.
Ucapan aluan oleh Gs Sr Dr Othman Zainon FABU UTM.
Ucapan Perasmian oleh Tuan Haji Yahaya Bin Ali, Ketua Penolog Pengarah Sektor Pendidikan Khas.
Tuan Haji Yahaya Bin Ali menyempurnakan gimik perasmian.
Sesi bergambar seluruh ahli projek yang terlibat bersama perasmi.
Acara memotong riben perasmian bilik PAK-21 oleh Tuan Haji Yahaya Bin Ali.
Acara menandatangan plak perasmian bilik PAK-21 oleh Tuan Haji Yahaya Bin Ali.
Penerangan bilik PAK-21 oleh murid Tingaktan 4 SMPK Vokasional Kulai.
Penerangan Taman Herba oleh murid Tingkat 4 SMPK Vokasional Kulai.

Penerangan Taman Burung oleh murid Tingkat 4 SMPK Vokasional Kulai.
Ahli Projek untuk Taman Burung diketuai Dr Nurul Syakima Mohd Yusoff.
Sebahagian ahli kumpulan projek yang hadir.
Ahli Projek untuk PAK-21 diketuai oleh Dr Siti Radiaton Adawiyah Zakaria.

Explore More