Disember 19, 2024

enVision Moonshot, ‘Innovating Solutions’ dimensi baharu UTM terokai kecemerlangan capai status Universiti Penyelidikan unggul

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal & Mohd Hafizan Hamzah

JOHOR BAHRU, 2 Feb. – Status Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai sebuah Universiti Penyelidikan terkemuka negara berteraskan sains, teknologi dan kejuruteraan mesti terus diperkasakan dalam mendepani pelbagai cabaran sistemik global. Sudah tiba masanya UTM mengambil pendekatan yang lebih radikal, memecut pantas dan tangkas dalam melahirkan graduan berorientasikan masa hadapan dan menghasilkan penyelidikan berteraskan teknologi termaju (advanced technology).

Hasrat tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail ketika berucap dalam Majlis Amanat Naib Canselor 2023 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru. Majlis yang dihadiri kira-kira 3, 391 warga UTM ini turut disiarkan secara langsung di Kampus UTM Kuala Lumpur dan Kampus UTM Pagoh.

Pelancaran enVision UTM 2025: Action Plan 2023.

“Bagi memenuhi aspirasi kebangsaan sebagaimana sebelas azam yang baharu sahaja digariskan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi, UTM memperkenalkan pendekatan enVision Moonshot yang akan bertindak sebagai pemangkin dalam usaha merealisasikan Pelan Strategik enVision UTM 2025, sekali gus mencapai pertumbuhan ekonomi negara melalui penyelidikan, pembangunan, komersialisasi dan inovasi.

“Pendekatan enVision Moonshot menggariskan empat fokus utama iaitu melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan, menerajui penyelesaian kepada permasalahan kompleks melalui pengetahuan dan penyelidikan terfokus dalam bidang strategik, mencapai keunggulan global sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara berasaskan teknologi serta memanfaatkan teknologi tinggi dan menggunakan pendekatan quadruple helix,” jelas Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi.

Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi ketika menyampaikan amanat kepada 3,391 warga UTM yang hadir.

Menerusi wadah enVision Moonshot, UTM komited melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan dengan menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti Program Pemerkasaan 5 ETP (Excellence Track Programme), penawaran Program Akademik dan Semakan Kurikulum Berorientasi Masa Hadapan, dan Pemerkasaan “Student Union”. Usaha-usaha ini menggambarkan hasrat UTM dalam memastikan kecemerlangan pelajar secara holistik dalam pelbagai aspek.

Di samping itu, kekuatan penyelidikan sedia ada dilihat mampu memposisikan UTM sebagai hab dan peneraju penyelesaian kepada permasalahan kompleks sejagat. Bagi mencapai matlamat tersebut, empat bidang kebitaraan baharu telah dikenal pasti iaitu Digitalization, Affordable Housing, Agriculture Tech & Food Security dan Natural Resources & Spiritual Tech, sekali gus menambah empat bidang kebitaraan UTM sedia ada iaitu Water, Energy, Material dan Robot. Semua ini diletakkan di bawah strategi Fantastic Four + (F4+) dalam memacu peradaban penyelidikan di UTM melalui pengetahuan baharu dan penyelidikan terfokus.

Warga UTM yang hadir di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Sebagaimana intipati Amanat YB Menteri Pengajian Tinggi, keunggulan sesebuah universiti tidak seharusnya
hanya bersandar kepada penarafan ranking semata-mata.

Justeru, UTM perlu mempunyai naratif dan definisi tersendiri dalam konteks mencapai “Keunggulan Global”. Menerusi sudut pandang UTM, “Keunggulan Global” akan diperhebat dengan meneroka jalinan kerjasama strategik; antaranya bersama Kesatuan Eropah (European Union) dan universiti ternama luar negara yang sedang berkembang maju. UTM turut mensasarkan penubuhan enam Makmal Satelit Institusi atau Industri sama ada inbound atau outbound.

Persepsi dan birokrasi sering menjadi kekangan dalam menjayakan kolaborasi antara entiti: universiti, agensi, industri dan komuniti. Kerjasama pintar merentas entiti ini seharusnya dijalin dalam usaha mensejahterakan rakyat. Bagi mencapai matlamat tersebut, UTM akan terus mempergiat pendekatan quadruple helix menerusi dengan menganjurkan program jaringan berimpak dalam menjalin hubungan kerjasama antara staf dan pemegang taruh luar, di samping memanfaatkan inovasi teknologi termaju untuk menyelesaikan masalah sistemik dengan penubuhan satu Konsortium di bawah agenda AIMS4STAR.

‘Innovating Solutions’ dimensi baharu kecemerlangan UTM.

Dalam majlis tersebut, Datuk Dr. Ahmad Fauzi turut melancarkan tagline korporat baharu UTM iaitu “Innovating Solutions” menggantikan “Innovative, Entrepreneurial, Global”, sekali gus memberi naratif dan dimensi baharu UTM sebagai pusat penyelesaian masalah di peringkat global.

“Mendepani cabaran tahun 2023, kepimpinan praktikal dan transformatif merentas posisi warga universiti seharusnya menjadi teras dalam menjayakan inisiatif enVision Moonshot, yang akan bertindak sebagai pemecut dalam merealisasi Pelan Strategik enVision UTM 2025. Warga universiti diseru untuk lebih bersinergi demi memastikan kedudukan UTM di peta global terjamin dan tersohor seantero dunia,” ujar Datuk Dr. Ahmad Fauzi di akhir amanat.

Explore More