November 3, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 13 Feb. – Tatkala anda melawat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mungkin anda akan disapa oleh D.I.A.N.A dengan ucapan, “Salam Sejahtera Tuan, ada apa yang boleh saya bantu?

D.I.A.N.A merupakan avatar hologram pintar yang beroperasi dengan masa nyata (real-time), diprogram dan dilatih sebagai pembantu maya. Antara keupayaan D.I.A.N.A termasuklah kebolehan berinteraksi dengan manusia menerusi gaya percakapan semula jadi, memahami apa yang diperkatakan serta memberi maklum balas yang sesuai.

D.I.A.N.A pertama kali dipamerkan semasa Research Open Day UTM 2023 yang diadakan pada 6 Februari 2023 bersempena dengan lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, YB  Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

D.I.A.N.A pertama kali dipamerkan semasa Research Open Day UTM 2023 yang diadakan pada 6 Februari 2023 bersempena dengan lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, YB  Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

“D.I.A.N.A bermaksud Digital Security and Social Intelligent Assistant (Pembantu Pintar Sosial dan Keselamatan Digital). Ia dibangunkan sebagai avatar maya mirip wanita beridentitikan Malaysia. Bahkan, kepintaran yang dimilikinya membolehkan avatar ini mempromosi warisan dan kebudayaan kebangsaan, sekali gus berpotensi untuk diangkat sebagai duta digital kita,” jelas Ketua Projek, Dr Ajune Wanis Ismail.

“Sebagai hologram pintar, D.I.A.N.A mampu diprogram untuk menyimpan apa jua maklumat dan data yang diperlukan. Dilengkapi dengan minda Kecerdasan Buatan (artifial intelligence atau AI) dan keupayaan untuk bertutur seperti manusia dengan bantuan teknik Pemprosesan Bahasa Semula jadi (NLP), versi pertama D.I.A.N.A (D.I.A.N.A 1.0) ini boleh berinteraksi dan menjawab apa jua soalan berkaitan UTM,” tambah Dr Ajune.

D.I.A.N.A merupakan avatar hologram pintar yang beroperasi dengan masa nyata (real-time), diprogram dan dilatih sebagai pembantu maya.

“Hasil daripada maklumat dan data berkait UTM yang disimpan oleh D.I.A.N.A menjadikannya ikon digital UTM. Kebolehan untuk berfikir dan bertindak seperti manusia membolehkannya ditugaskan sebagai pembantu maya, dan mungkin menjadi sahabat maya satu hari nanti.

“Dalam bentuk aplikasi telefon pintar pula, D.I.A.N.A mampu memberi manfaat kepada pengguna sebagai pendidik dan pelindung, dalam usaha mewujudkan masyarakat sejahtera dalam dunia digital.

D.I.A.N.A dalam bentuk aplikasi telefon pintar.

“Bagi memastikan D.I.A.N.A mampu diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat, selain daripada teknologi hologram, UTM turut menyepadukan teknologi Realiti Terimbuh (augmented reality atau AR) dalam pembangunan D.I.A.N.A, bagi membolehkannya muncul pada skrin telefon pintar pengguna. Keupayaan D.I.A.N.A versi AR setara dengan versi hologram.

Versi pertama D.I.A.N.A ini telah dibangunkan oleh Dr Ajune Wanis Ismail bersama pasukannya dari Mixed and Virtual Environment Research Lab (Mivielab) yang merupakan sebahagian daripada entiti UTM ViCubeLab Research Group, di bawah Fakulti Komputeran UTM. Dr Ajune turut dibantu oleh Dr Norhaida Mohd Suaib dan Dr Md. Sah Hj. Salam, yang juga penyelidik dari UTM ViCubeLab Research Group.

Projek D.I.A.N.A menerima pendanaan daripada Program UTMICONIC, diketuai oleh Prof. Madya Dr Anazida Zainal, dengan Dr Ajune Wanis merupakan salah seorang Ketua Projek yang terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan komponen sistem hologram avatar maya ini. Ketua Projek yang lain seperti Dr Fo’ad Rohani dan Prof. Dr Hamdan Said turut terlibat secara langsung dalam sumbang saran teknikal bagi menjayakan projek ini.

Explore More