April 27, 2024

Search
Close this search box.

Belanjawan 2023: Pendigitalan pendidikan diperkasa, kebajikan mahasiswa kekal diutama

Oleh: Muhammad Hakim Mohd Zain & Mohd Fadthul Ikmal Misnal

JOHOR BAHRU, 25 Feb. – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (MPP UTM) menyambut baik inisiatif Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. Terdapat enam inisiatif belanjawan yang menjadi tumpuan dalam konteks Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sekali gus menggambarkan komitmen tinggi Kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara seiring konsep Malaysia MADANI.

Dalam memperhalusi dan mencerakin setiap juzuk inisiatif yang telah dicanang, dapatlah dilihat Kerajaan memberi tumpuan utama dalam memperkasa pendigitalan pendidikan, di samping kekal cakna akan kebajikan mahasiswa.

Agenda memperkasa pendigitalan pendidikan dapat dilihat apabila Kerajaan memperuntukkan RM35 juta melalui Program Malaysian Research & Education Network (MYREN) dalam usaha untuk meningkatkan lagi kesalinghubungan internet di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara. Agensi Kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjadi teraju utama dalam memperkasakan kesalinghubungan serta mengukuhkan ekosistem digital pendidikan tinggi negara.

Mengambil iktibar suasana pembelajaran di dalam talian apabila negara berhadapan dengan krisis Covid-19 yang lepas, peningkatan taraf kemudahan internet di seluruh IPT amatlah diperlukan, selari dengan suasana pembelajaran pada hari ini yang digiatkan dengan pelbagai kecanggihan teknologi dan sistem pendigitalan. Bagi golongan mahasiswa yang meneruskan pembelajaran secara separuh masa, mereka memerlukan sistem pembelajaran dalam talian yang lebih efisien agar proses pembelajaran memberi lebih impak kepada mereka.

Usaha pembangunan rangkaian 5G yang mula digiatkan di seluruh negara perlu diteruskan hingga meliputi hampir 100 peratus pemilikan keperluan kepada seluruh mahasiswa sama ada di dalam mahupun di luar bandar. Dengan inisiatif ini, Malaysia akan berada di landasan yang tepat dalam mengangkat dan memartabat pendigitalan pendidikan tinggi secara komprehensif.

Seterusnya, penawaran kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 seorang bagi belia 18 hingga 20 tahun sudah semestinya mampu mengukir senyuman kepada bakal penerima dalam usaha kerajaan untuk meringankan beban kewangan golongan belia. Bantuan yang akan memberi manfaat kepada sekitar dua juta orang belia ini secara tidak langsung memberi kelegaan kepada mahasiswa untuk mendapatkan kelengkapan pembelajaran dan kelengkapan seharian.

Inisiatif e-Tunai Belia Rahmah seakan-akan melengkapi inisiatif Menu Rahmah yang sudah mula diperkenalkan di IPT baru-baru ini. Ia boleh diumpamakan sebagai satu pakej lengkap merangkumi bantuan kewangan dalam bentuk e-wallet, ditambah pula dengan tawaran menu makanan dengan harga murah, sekali gus meringankan beban kewangan golongan belia terutama dalam kalangan mahasiswa yang memerlukan.

Dalam pada negara menuju ke arah pendigitalan sistem pendidikan tinggi, Kerajaan terus kekal komited dalam mengutamakan kebajikan mahasiswa terutama dalam aspek prasarana dan infrastruktur agar mereka dapat menuntut ilmu dalam suasana kampus yang selesa dan kondusif.

Untuk itu, MPP UTM menyambut baik peruntukan sebanyak RM436 juta yang telah diumumkan bagi bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang di IPT. Ini semua perlu demi menjamin kualiti pembelajaran yang terbaik, di samping melahirkan bakal graduan yang holistik, berkemahiran tinggi dan berdaya saing merentas disiplin pembelajaran. Bukan itu sahaja, inisiatif yang diperuntukkan ini juga bakal memberi jaminan keselesaan dan keselamatan kepada warga IPT apabila bangunan-bangunan kampus yang usang terutama kemudahan asrama dan bilik kuliah dapat diperbaiki dan dinaik taraf semula.

Sementara itu, Kerajaan kekal cakna akan situasi graduan yang baru sahaja memasuki alam pekerjaan dengan memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 20 peratus selama tiga bulan bermula 1 Mac ini, di samping memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh selama enam bulan. Inisiatif ini memberi peluang dan ruang buat graduan untuk bernafas terutama dalam situasi peluang pekerjaan dan ekonomi global yang tidak menentu.

Usaha Kerajaan melalui inisiatif kepada KPT yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 semalam telah memberi satu signal kepada seluruh warganya akan komitmen Kerajaan dalam terus memperkasa sistem pendidikan tinggi di Malaysia.

Maka, harapan kami sebagai mahasiswa IPT yang bakal menerima manfaat Belanjawan 2023 ini adalah agar pihak Kerajaan mengambil cakna akan kadar kebolehpasaran bakal graduan IPT dalam negara dengan melihat semula pasaran kerja dan keperluan kursus yang ditawarkan di seluruh IPT. Kebolehpasaran mahasiswa ini juga akan membawa impak kepada isu gaji minimum yang perlu diberi perhatian oleh pihak Kerajaan seiring dengan kemahiran mereka kepada industri dalam membantu kemajuan negara kelak.

Explore More