April 19, 2024

Search
Close this search box.

PONTIAN, 14 Jan. – Merakyatkan universiti adalah satu konsep yang perlu dipupuk dan wajar dilaksanakan oleh setiap warga universiti bagi memastikan rakyat mendapat pulangan melalui sebarang bentuk inisiatif pemindahan ilmu dan teknologi.

Usaha ini terus diharmonikan melalui aktiviti pembelajaran servis bersama komuniti setempat yang dijayakan oleh lebih 300 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berkampung di Benut bagi melaksanakan pelbagai program pembelajaran servis.

Sebagai kursus wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar UTM, persiapan rapi telah dibuat bagi merealisasikan projek pembelajaran servis yang telah disusun sejak Ogos 2022.

Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (iLeague) sebagai PTJ peneraju yang menguruskan kursus umum telah mengambil inisiatif menjadikan mukim Benut sebagai Makmal Komuniti Pembelajaran Servis yang turut disertai lebih 10 kursus kokurikulum yang dilihat memberi manfaat besar kepada komuniti Benut.

Tidak terkecuali Kursus Bola Sepak (UKQF2512) dan Fotokreatif (UKQF2152) yang disertai oleh 80 orang pelajar dari pelbagai latar belakang yang menjadikan Sekolah Kebangsaan Sri Benut sebagai lokasi engagement bersama komuniti.

Melalui program ini, komuniti yang terdiri dari pelajar sekolah berusia 10 hingga 12 tahun dan guru-guru didedahkan dengan perkongsian ilmu melalui Klinik Bola Sepak, Pertandingan 9 Sebelah dan Perkongsian Peraturan Permainan Bola Sepak bagi kursus bola sepak manakala bagi kursus Fotokrestif, golongan pelajar diberi peluang melalui aktiviti Explorace yang menfokuskan kepada ilmu fotografi.

Guru Penolong Kanan SK Sri Benut, Puan Nor Shidah Ambok Seelong menyambut baik kehadiran UTM ke SK Sri Benut yang dilihat sebagai satu kegembiraan buat semua anak-anak muridnya yang ternyata teruja melihat kehadiran warga UTM.

En. Dzulhemi (dua dari kiri), dan En. Effendi (kanan sekali), bergambar kenangan bersama Ketua Kampung Kawasan (3) Kampung Parit Abdul Rahman, En. Rosli. dan Guru Penolong Kanan SK Benut, Puan Nor Shidah Ambok Seelong.

“Satu kebanggaan bagi kami yang jauh di desa tetapi UTM datang ke sini untuk menjalankan program yang cukup bermakna buat kami warga Benut,” ujar beliau ketika majlis penutup.

Turut hadir pada majlis penutup ialah Ketua Kampung Kawasan (3) Kampung Parit Abdul Rahman, En. Mohd Rosli Yusof yang turut menyokong usaha merakyatkan universiti kepada warga Benut.

“Kerjasama ini dilihat dapat memberi motivasi kepada anak-anak Benut untuk belajar bersungguh-sungguh di samping menerima perkongsian luar bilik darjah dari pelajar UTM,” kata beliau ketika memberi ucapan penutup di Dewan Serbaguna SK Sri Benut.

Usaha murni ini adalah langkah merakyatkan universiti kepada komuniti serta mendedahkan pelajar UTM dengan budaya dan cara hidup masyarakat setempat.

Pensyarah kursus Bola Sepak, En. Dzulhelmi Mohd Razali yang mengakui terdapat cabaran untuk membawa pelajar-pelajar UTM ini keluar dari zon selesa dan memilih Makmal Komuniti Benut ini sebagai cabaran kepada pelajar untuk mencungkil kemahiran insaniah bagi melahirkan graduan yang holistik.

“Kita ingin memastikan pelajar UTM bukan hanya berorientasikan peperiksaan dan melihat gred semata namun harus bersedia dengan kemahiran insaniah yang tinggi sebagai persediaan melangkah ke industri masing-masing,” kata beliau yang turut menerima pelawaan seterusnya dari SK Sri Benut melalui pelbagai kerjasama dengan pihak sekolah pada masa akan datang.

Kumpulan pelajar juga berbesar hati menyumbangkan 10 biji bola sepak dan alatan latihan bola sepak kepada SK Sri Benut bagi menyokong pembangunan bola sepak di sekolah ini dan akan melihat kemajuan murid-murid pada sesi pembelajaran servis yang akan datang.

Kumpulan pelajar UTM dari Kursus Bola Sepak yang terlibat dalam projek komuniti ini.

Ia selaras dengan nilai teras UTM, kelestarian bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan dapat diteruskan dalam jangka masa panjang dan berimpak.

Pensyarah kursus Forokrestif, En. Noorefendy Kassim yang kali pertama mengendali kursus Fotokreatif turut teruja dengan sambutan komuniti namun tetap memastikan para pelajar UTM memenuhi objektif seperti yang dirancang.

“Alhamdulillah sambutan dari pihak sekolah sangat positif dan kami telah merangka beberapa pelan jangka panjang untuk pihak sekolah dari segi perpindahan ilmu dan perkhidmatan komuniti yang akhirnya dapat membantu sekolah menjana pendapatan melalaui fotografi”, ujar beliau yang juga merupakan seorang jurugambar rasmi Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan UTM.

Kumpulan pelajar UTM dari Kursus Fotokreatif yang terlibat dalam projek komuniti ini.

Kedua-dua program tamat sekitar jam 2.00 petang sebelum kesemua pelajar bergerak ke Gelanggang Gasing, Kampung Permatang Duku, Benut untuk upada penutup rasmi yang dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Pontian, Yang Berbahagia En. Muhammad Iskandar Zulkarnain Shamsul Bahar.

Semoga inisiatif murni ini mendekatkan universiti kepada komuniti, menjadi platform untuk berbakti yang akhirnya menjurus kepada tujuan hakiki manusiawi, Kerana Tuhan Untuk Manusia.

 

Explore More