April 23, 2024

Search
Close this search box.

UTM iLeaGue selaras program pembelajaran servis menerusi penubuhan Makmal Komuniti UTM – Benut

PONTIAN, 14 Jan. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (UTM iLeaGue) yang ditunjangi Ketua Projek Makmal Komuniti UTM- Benut, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Johor telah menubuhkan Makmal Komuniti SULAM UTM di mukim Benut.

Pelbagai aktiviti pembelajaran servis telah dilaksanakan bersama komuniti di mukim Benut dalam tempoh dua minggu berturut-turut. Program pembelajaran servis ini dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Pontian, Encik Muhammad Iskandar Zulkarnain Shamsul Bahar selaku wakil kepada Pegawai Daerah Pontian, Tuan Haji Mohd Rafi Abdullah.

Program pembelajaran servis ini melibatkan proses pemindahan ilmu oleh mahasiswa UTM kepada komuniti di mukim Benut. Inisiatif  ini secara tidak langsung dapat menerapkan kemahiran insaniah dalam diri mahasiswa terutama daripada aspek semangat kerjasama dan mempertingkatkan keyakinan diri serta memberi kebaikan bersama antara mahasiswa UTM dan komuniti di mukim Benut.

Pembelajaran servis ini merupakan program libatsama aktif yang memberi pengalaman kepada mahasiswa UTM untuk terlibat secara langsung dalam melonjakkan taraf kehidupan komuniti di mukim Benut.

Tujuan pembangunan Makmal Komuniti Benut adalah menyelaraskan aktiviti pembelajaran servis pelajar UTM di sekolah-sekolah dan kampung- kampung yang terpilih di dalam Mukim Benut agar ia lebih berkesan dan berupaya memberikan impak yang berterusan kepada komuniti Benut itu sendiri.

Secara keseluruhannya, program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk menerokai pengalaman pembelajaran yang baru melalui aktiviti dan libatsama masyarakat serta komuniti. Seramai 359 orang mahasiswa UTM daripada 10 kursus pembelajaran servis mengikuti program ini.

Antara kursus yang terlibat ialah Kraftangan, Khidmat Fotokreatif, Khidmat Katering, Cerdik Kewangan, Bola Sepak, Media Digital dan Komuniti, Orkestra, Pengurusan Bencana, Ping pong dan Pembangunan Belia.

Selain daripada program pembelajaran Sservis di sekolah dan kampung-kampung sekitar Benut, terdapat juga aktiviti menarik yang diadakan oleh masyarat kampung itu sendiri seperti persembahan gasing, persembahan kompang & silat, persembahan gamelan dan pameran.

Acara kemuncak program ini diadakan di Kampung Permatang Duku di mana lokasinya menjadi tumpuan orang ramai kerana terkenal dengan budaya dan keseniannya tersendiri. Kampung Permatang Duku ini juga adalah menjadi tempat bagi pertandingan gasing peringkat kebangsaan yang dikenali juga sebagai Gelanggang Gasing Tunas Warisan.

Antara figura utama dalam mendukung pelaksanaan program ini adalah Penghulu Mukim Benut, Tuan Hj. Ali Mohd bersama dengan barisan ketua kampung. Program pembelajaran servis makmal komuniti benut ini akan berterusan sehingga tahun 2025.

Explore More