Disember 12, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Nur Sabrina Binti Shukor

JOHOR BAHRU, 7 Jan. – Bertepatan dengan tema “Pendidikan Berkualiti Permangkin Pembangunan Lestari”, program Engineering Service Learning (ESL): Palembang Here We Go! telah memberikan pengalaman yang amat bernilai khususnya kepada peserta dan kru yang terdiri daripada pelajar Universitas Sriwijaya (UNSRI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam mempelajari pembuatan produk menggunakan komposit gentian kaca daripada Pengarah Centre for Advanced Composite Materials (CACM), Prof. Madya Ts. Dr. Shukur bin Abu Hassan.

Secara umum, gentian kaca diperbuat daripada pasir dijamin sebagai mesra alam sekitar dan mempunyai ketahanan yang sangat kuat. Oleh itu, dengan mempelajari cara mengolah komposit gentian kaca secara tidak langsung menggalakkan pembangunan dan pembuatan dengan menggunakan bahan lestari.

Kuliah teori pembuatan produk telah diadakan untuk pelajar UNSRI dan UTM sebelum demonstrasi pembuatan produk menggunakan resin dan gentian kaca dilaksanakan. Dr. Shukur turut berkongsi mengenai sebuah projek tentang kekuatan tensil sesuatu bahan, CFRP Strip HS 1012, yang juga merupakan projek PhD beliau. 

Program ini dijalankan selama empat hari iaitu dari 4 sehingga 7 Januari 2023, yang mana perasmian pembukaannya telah disempurnakan oleh Pengetua Kolej Tuanku Canselor (KTC) merangkap Pengerusi Majlis Pengetua Kolej Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal bin Abdul Rahim, manakala perasmian penutupnya pula telah disempurnakan oleh Felo Penasihat Program, Dr. Nurzal Effiyana binti Ghazali bertempat di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim UTM.

Turut hadir bersama adalah Ketua Pentadbiran Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP) mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Encik Arman Bin Md Yasin; Koordinator Pengabdian Lembaga Penelitian dan Pengabdian kepada Masyarakat Universitas Sriwijaya (UNSRI), Bapak Bimo Brata Adhitya, dan Prof. Madya Ts. Dr. Shukur.

ESL:Palembang Here We Go! anjuran Exco Kelestarian dan Kemasyarakatan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKMKTC) 2022/2023 dirangka berdasarkan niche area KTC iaitu globalization and industrialization. Penglibatan seramai 19 orang pelajar dan dua pensyarah UNSRI dilihat memperkasakan lagi hubungan kerjasama merentas sempadan antara UTM dan UNSRI di peringkat global.

Sementara itu, kerjasama antarabangsa antara dua universiti ini akan diteruskan lagi pada bulan Mei tahun ini dengan mengadakan projek perkongsian sosio budaya dan ekonomi masyarakat luar bandar di Palembang, Indonesia yang mana inisiatif ini mampu bertindak sebagai platform dalam meningkatkan lagi kemahiran komunikasi dan kemahiran penyelesaian masalah buat pelajar-pelajar dari dua universiti ini. 

Barisan peserta Universitas Sriwijaya (UNSRI) seramai 19 orang.
Sesi perasmian oleh Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal bin Abdul Rahim.
Sesi demonstrasi pembuatan produk daripada gentian kaca.
Penyerahan sijil penghargaan kepada pihak UNSRI.
Barisan peserta UNSRI dan UTM.

 

Explore More