April 19, 2024

Search
Close this search box.

Sharing Session with MAFAN pemangkin kecemerlangan pembangunan pelajar KTHO

Oleh: Mohd Ashraf Fahmi bin Mohd Nazri (JKM KTHO) & Siti Nur Fatin Hakimah binti Ibnuzaman (penyunting)

JOHOR BAHRU, 17 Dis. – Pembangunan dan kecemerlangan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM),  merupakan perkara yang perlu diketengahkan dan ditekankan dalam kalangan mahasiswa UTM bagi melahirkan serta memperkukuhkan kebolehpasaran mahasiswa apabila mereka menamatkan pelajaran mereka. 

Program ini merupakan sebuah program berterusan yang dijalankan bagi setiap sesi baharu Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO), bertujuan menjadi sebuah platform pemindahan ilmu serta kepakaran pengurusan organisasi di semua peringkat terutama kepada mahasiswa UTM.

Sesi perkongsian yang melibatkan penyertaan yang menggalakkan.

Pelaksanaan program ini telah melibatkan seramai 70 peserta terdiri daripada JKM KTHO, ahli rakan biro, kelab-kelab yang bernaung dibawah JKM, dan pelajar KTHO bagi memupuk amalan pengurusan organisasi yang efektif dan efisien. Bertunjangkan kemahiran dan kepakaran Majlis Felo Merbaun (MAFAN) yang terdiri daripada staf akademik dan pengurusan profesional dan pelaksana (PPP), diperkasakan dengan sokongan padu JKM KTHO, program ini telah dilaksanakan dengan jayanya. 

Peserta sedang menjalankan aktiviti yang dilaksanakan oleh penceramah.

Sharing Session With MAFAN telah dilaksanakan selama 4 hari iaitu bermula pada 12 dan melabuhkan tirainya pada 16 Disember 2022. Sehubungan dengan itu, beberapa aspek atau bidang tugas menjadi tumpuan dan fokus dalam pengisian antaranya protokol dan etiket, kesetiausahaan, bendahari, penajaan, publisiti dan penulisan artikel serta pengurusan program.

Sesi perbincangan dijalankan bagi mengimplementasikan teori yang telah disampaikan.

Encik Azizul bin Azman, Felo KTHO telah dilantik sebagai penceramah bagi slot kesetiausahaan, dan protokol dan etiket iaitu telah berlangsung pada 12 dan 13 Disember 2022. Beliau yang merupakan pegawai penyelidik di Media and Game Innovation Centre of Excellence (MaGICX) amat berpengalaman dalam pengurusan protokol dan etiket serta kesetiausahaan.

Encik Azizul menerangkan secara mendalam tentang bidang tugas utama bagi setiap setiausaha organisasi dan program seperti penulisan laporan, pengurusan dokumentasi, serta penulisan minit. Beliau juga menerangkan protokol dan etiket bagi sesebuah progam agar program-program yang akan dijalankan dapat mengikut protokol dan etiket yang telah ditetapkan.

Encik Azizul sedang menyampaikan perkongsian berkaitan protokol.

Sementara itu, Bengkel Penulisan dan Penerbitan UTM Newshub, dianjurkan oleh Institusi Pembantu Felo (IPF) dengan kerjasama JKM KTHO dan  Seksyen Hal Ehwal Korporat (HEK) telah berlangsung pada 15 Disember 2022. Perkongsian ilmu ini menampilkan tiga orang tenaga pengajar terdiri daripada Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat (Media Kreatif & Penjenamaan), Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin; Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat (Komunikasi Korporat), Cik Rohaizan Khairul Anuar dan Penyunting UTM Newshub Hal Ehwal Korporat (Unit Perhubungan Media), Encik Mohd Fadthul Ikmal Misnal.

Perkongsian dari Dr. Farizal berkenaan dengan publisiti.

Intipati perkongsian yang disampaikan berkisar kepada teknik promosi dan publisiti berkesan, reputasi dan kebolehlihatan (visibility) menerusi penulisan artikel berita serta kaedah dan teknik penulisan sebagaimana piawaian yang digariskan oleh Seksyen Hal Ehwal Korporat UTM.

Perkongsian dari Cik Rohaizan berkenaan reputasi dan visibility.
Sesi peserta membentangkan hasil perbincangan bersama penceramah, Encik Fadthul.

Dalam sesi slot Bendahari yang diadakan pada 16 Disember, Felo KTHO, Encik Mohd Fairus bin Ahmad telah menerangkan fungsi dan bidang tugas utama bendahari dalam menjalankan program iaitu fungsi sebelum, semasa dan selepas program. Hal ini penting bagi merancana, serta membolehkan sesebuah program dapat dijalankan dengan baik. Selain itu, Encik Fairus juga telah menerangkan sumber kewangan program iaitu dari segi peruntukan, penjanaan, penajaan, kolaborasi dan lain-lain.

Perkongsian berkenaan skop kerja bendahari yang disampaikan oleh Encik Fairus.

Bagi slot terakhir  iaitu slot pengurusan program, Encik Shamsul Azli bin Shamsuray telah menekankan serta menerangkan matlamat pelaksanaan program, iaitu dengan mengenalpasti tumpuan pelaksanaan program, proses-proses dan implikasi program kepada individu.

Perkongsian dari Encik Shamsul pula berkenaan dengan pengurusan dalam mengendalikan sesebuah program.

Diharapkan agar barisan kepimpinan JKM KTHO, rakan biro JKM, kelab-kelab, serta mahasiswa KTHO dapat mengambil segala ilmu dan kepakaran yang telah dicurahkan oleh barisan Majlis Felo Merbauan (MAFAN) KTHO, seterusnya memanfaatkan ilmu dan pengalaman untuk memimpin dan menggerakkan program-program yang dirancang sepanjang sesi 2022/2023.

Penglibatan peserta yang ramai dalam kalangan ahli JKM, ahli rakan biro dan ahli kelab.

 

 

Explore More