April 24, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar Geoinformasi UTM berpeluang timba ilmu di GLSDC dan MYSA

KUALA LUMPUR, 26 Jan. – Program Edufield (lawatan sambil belajar) anjuran Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM diteruskan lagi pada hari kedua dengan melawat ke Geomatics and Land Surveying Discovery Centre (GLSDC) yang terletak di Wisma Lembaga Juruukur Tanah.

Lawatan ke GLSDC ini bukan sahaja sebagai satu langkah merapatkan ukhuwah antara pihak UTM dengan pihak Lembaga Juruukur Tanah (LJT), malah ia merupakan satu pendedahan kepada pelajar-pelajar yang sedang mengikuti program Geoinformasi untuk melihat sejarah-sejarah bermulanya bidang ukur dan pemetaan di dunia amnya dan Malaysia khususnya.

 

Delegasi lawatan ini telah diketuai oleh Sr Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim dan Dr. Norhadija Darwin sebagai pensyarah pengiring dan turut disertai oleh 37 orang pelajar Geoinformasi. Delegasi lawatan juga telah disambut oleh wakil GLSDC, Encik Muhammad Taufik Bin Ismail. Beliau telah memberi taklimat ringkas berkenaan segmen-segmen yang terdapat di GLSDC ini.

Para pelajar telah diberi pendedahan tentang sejarah pengenalan dan tokoh-tokoh sejarah dalam bidang ukur dan pemetaan serta pameran teknologi bagi segmen-segmen seperti Kadaster, Pemetaan, Geographic Information System (GIS), Astronomi, Geodesi, Hidrografi, Ehwal Persempadanan dan Wall of Fame.

Hal ini telah memberi satu pengalaman secara realiti perkembangan peralatan dan teknologi yang digunakan dalam bidang ukur dan pemetaan di peringkat global.

Seusai lawatan di GLSDC tersebut, para pelajar telah dibawa melawat ke Malaysian Space Agency (MYSA) ataupun dikenali sebagai Agensi Angkasa Malaysia. Penerangan telah disampaikan oleh Pegawai Penyelidik MYSA, Encik Wan Muhd Azran bin Muhamad Zuki tentang latar belakang serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pihak agensi.

 

Penganjuran program Edufield UTM ke GLSDC dan MYSA ini sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan teknologi terkini dalam bidang ukur dan pemetaan yang digunakan oleh pihak industri. Diharapkan jalinan kerjasama ini mampu memberi dampak positif dan manfaat kepada pelajar Geoinformasi UTM.

Explore More