November 17, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Muhammad Hakim Mohd Zain

JOHOR BAHRU, 24 Dis. – Bagi memberi ruang dan peluang kepada pelajar menyuarakan pendapat dan cadangan untuk diusulkan kepada pihak pengurusan tertinggi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Persidangan Parlimen Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia 2022 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah dijalankan pada 23 dan 24 Disember lalu bertempat di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. 

Parlimen Mahasiswa ini diadakan bertujuan untuk menyediakan ruang perbincangan dan perdebatan secara intelek kepada saf kepimpinan pelajar bersama-sama barisan MPP UTM berkaitan isu-isu semasa dalam universiti sebelum hasil resolusi tersebut dibawa ke mesyuarat pengurusan tertinggi universiti. 

Parlimen Mahasiswa 2022 merupakan inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar UTM sesi 2021/2022

Sesi perdebatan dan perbahasan seakan parlimen sebenar ini juga bertujuan mengenal pasti tahap amalan kepimpinan dalam kalangan pelajar dan mencungkil bakat kepimpinan mereka di samping melahirkan pemimpin yang berkarisma dan berfikiran strategik, cekap dalam pengurusan, perancangan dan membuat keputusan. Hal ini adalah selari dengan UTM enVision 2025 yang ingin melahirkan bakat holistik dalam membangunkan graduan berkualiti tinggi di UTM.

Suasana sidang Parlimen Mahasiswa UTM 2022 pada hari pertama persidangan.

Timbalan Pendaftar Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), En. Arman bin Md Yasin dalam ucapan perasmiannya berkata, “Penganjuran Parlimen Mahasiswa ini dapat mewujudkan sinergi antara saf kepimpinan pelajar bersama pihak pengurusan tertinggi universiti dalam mencari jalan penyelesaian kepada isu yang dibahaskan ahli dewan di samping mampu melahirkan ikon yang menjadi teladan kepada pelajar lain.

“Para pelajar juga mampu membantu pihak pengurusan tertinggi UTM dalam aspek pengurusan dan pembangunan sahsiah mahasiswa.

Timbalan Pendaftar Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), En. Arman bin Md Yasin menyampaikan ucapan pembukaan persidangan Parlimen Mahasiswa UTM 2022.

“Saya merasa bangga dan kagum apabila dimaklumkan penganjuran parlimen mahasiswa ini diuruskan sepenuhnya oleh para pelajar.

“Segala perkara daripada proses pengurusan sehingga membuat keputusan yang kritikal dibuat oleh pelajar sendiri berdasarkan pengalaman dan akal fikiran sendiri, di sini dapat dilihat ‘student empowerment’ yang ditonjolkan oleh jawatankuasa pelaksana,” katanya.

Persidangan Parlimen Mahasiswa UTM telah berlangsung selama dua hari, iaitu pada 23 dan 24 Disember 2022.

Parlimen Mahasiswa ini melibatkan seramai 86 ahli dewan dan empat majlis tertinggi dewan. Mereka terdiri daripada 24 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), lapan orang presiden Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) dan 54 orang pengerusi dari fakulti, kelab dan persatuan UTM.

Pelaksanaan Parlimen Mahasiswa ini adalah antara pengiktirafan terbesar universiti terhadap suara keramat mahasiswa dalam membantu penggubalan dasar universiti dengan penglibatan secara langsung pelajar termasuk dasar-dasar berkaitan pelajar berkenaan perkara-perkara tertentu.

Menurut Yang di-Pertua Speaker Dewan, En. Muhamad Syafik Bin Rahmat, “Parlimen Mahasiswa UTM ini juga membudayakan perbahasan secara intelektual yang akan membolehkan barisan kepimpinan tertinggi pelajar memperkayakan cara dan gaya ketika melontarkan hujah-hujah berdasarkan fakta dan bukti-bukti yang kukuh dalam bentuk ilmiah tanpa dipengaruhi emosi”. Beliau juga turut dibantu oleh Timbalan Speaker Dewan, Saudara Muhammad Zikri bin Hasan bagi memastikan kelancaran persidangan Parlimen Mahasiswa.

Yang di-Pertua Speaker Dewan, En Muhamad Syafik bin Rahmat (kiri) dibantu bersama oleh Saudara Muhammad Zikri bin Hasan (kanan) dalam mengetuai persidangan dewan Parlimen Mahasiswa 2022.

Persidangan dewan ini melibatkan dua sidang sepanjang dua hari sesi parlimen berlangsung yang bermula seawal jam 8:30 malam. Sesi persidangan dewan hari pertama telah membuka tirai dengan perbahasan usul daripada tiga kluster iaitu Kluster Inovasi dan Keusahawanan, Kluster Pemerkasaan Siswi, OKU dan Pelajar Antarabangsa, dan Kluster Pengurusan dan Pentadbiran.

Tiga kluster meneruskan sesi pembahasan pada hari kedua dengan pelbagai isu dikupas dengan matang, diperdebat dan diundi sama ada menerima atau menolaknya yang melibatkan Kluster Sukan dan Kebudayaan Intelek, Kluster Kolej dan Kelestarian Kampus dan Kluster Hal Ehwal Akademik dan Industri.

Ucapan penggulungan Parlimen Mahasiswa 2022 oleh Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UTM, Saudara Danial Iskandar bin Jafridin.

Persidangan dewan Parlimen Mahasiswa 2022 melabuhkan tirainya dengan sesi Majlis Apresiasi dan Penutup yang dirasmikan oleh Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar, Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Madya Dr. Azlan bin Abdul Latib.

Majlis tersebut turut memberikan pengiktirafan Anugerah Pembahas Terbaik dan Anugerah Ikon Parlimen Mahasiswa kepada ahli dewan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang sidang parlimen berlangsung. Presiden JKM Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO), Muhammad Hakim bin Mohd Zain telah berjaya merangkul Anugerah Pembahas Terbaik manakala Anugerah Ikon Parlimen Mahasiswa pula disandang oleh Saudara Aidilfitri bin Sawalludin dari Identiti Mahasiswa.

Anugerah Pembahas Terbaik Parlimen Mahasiswa 2022 disandang oleh JKM05, Saudara Muhammad Hakim bin Mohd Zain, Pengerusi JKM Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO).
Anugerah Ikon Parlimen Mahasiswa UTM 2022 disandang oleh GM02, Saudara Aidilfitri bin Sawalludin, wakil Identiti Mahasiswa.

Pelaksanaan Parlimen Mahasiswa ini diharap berupaya melahirkan mahasiswa yang berkualiti, berfikiran kritis dan idealis sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan sekali gus dapat memupuk kematangan berfikir dalam pelbagai aspek dan dapat melontarkan pelbagai idea dengan mengambil kira sudut pandangan pelbagai pihak. 

Explore More