April 20, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Jamilah Ahmad & Hanifah Jambari

JOHOR BAHRU, 15 Jan. – Berupaya mentransformasi organisasi daripada baik kepada hebat adalah impian  oleh semua pemimpin. Collins (2001) mewujudkan kerangka  yang mencadangkan proses yang perlu dilalui oleh setiap organisasi  untuk menjadi hebat. Transformasi yang baik kepada yang hebat adalah proses pembentukan diikuti dengan kejayaan.

Semasa kita bergerak dari “Good to Great” (Baik ke Hebat), terdapat kesan roda tenaga. Terdapat tiga konsep pertama yang  membina momentum secara perlahan-lahan. Tetapi apabila roda tenaga meningkat kelajuan, organisasi boleh mengekalkan prestasi cemerlang selama bertahun-tahun.

Dalam pembentukan dan kejayaan, Collins (2001) menyatakan terdapat tiga peringkat besar yang menentukan keupayaan organisasi untuk mencapai kehebatan, iaitu:

Orang yang berdisiplin, pemikiran yang berdisiplin dan tindakan yang berdisiplin.

Dalam setiap tiga peringkat tersebut Collins (2001) menerangkan ciri khusus organisasi yang berubah daripada baik kepada hebat:

1. Kepimpinan Tahap 5

Pemimpin Tahap 4 dalam sesebuah organisasi adalah merupakan pemimpin yang berkesan. Mereka dapat mencipta pasukan berprestasi tinggi dan mendapatkan komitmen daripada pasukan mereka untuk mencapai visi yang jelas.

Manakala, pemimpin Tahap 5 adalah pemimpin yang hebat, mereka mempunyai kebolehan empat tahap yang lain serta gabungan unik kehendak dan kerendahan hati dan gabungan inilah yang menjadikan mereka hebat. Tingkah laku Pemimpin Tahap 5 adalah seperti berikut:

  1. Paradoks: Mereka bercita-cita tinggi, tetapi cita-cita mereka adalah untuk organisasi.
  2. Didorong: Mereka didorong secara fanatik untuk menghasilkan hasil yang luar biasa secara mampan.
  3. Melatih pengganti: Mereka melatih pengganti untuk menjadi lebih berjaya.
  4. Berkongsi pujian: Mereka berkongsi pujian di kalangan pasukan apabila sesuatu kejayaan dicapai.
  5. Bertanggungjawab diatas kesalahan atau kegagalan : Mereka bertanggungjawab untuk mengambil kesalahan atau kegagalan dan mencari jalan untuk menyelesaikannya dan tidak sekali menyalahkan orang lain.
  6. Orang biasa: Mereka tidak mempunyai personaliti yang negatif, tidak menunjuk-nunjuk dan selalu ‘down to earth’.
  7. Datang dari dalam organisasi: Ini kerana kehebatan mereka datang dari kerja keras bukan daripada tindakan heroik.

2. Mula-mula Siapa? … Kemudian Apa?

Mendapatkan orang (pekerja) yang betul-betul layak adalah diutamakan daripada menyampaikan tentang visi dan strategi. Organisasi mestilah melantik pekerja yang kompeten dahulu dan kemudian baharu dijelaskan tentang visi, misi dan strategi untuk menuju kepada kecemerlangan organisasi.

3. Hadapi kenyataan ‘Brutal Facts’

Jika anda mempunyai Kepimpinan Tahap 5 dan pekerja yang kompeten, maka seluruh organisasi dapat mendahulukan prestasi organisasi berbanding ego mereka sendiri. Ini membolehkan anda menghadapi ‘brutal facts’ walaupun pahit dan tidak selesa untuk dihadapi, tanpa menghilangkan  kepercayaan subordinat yang lain bahawa organisasi itu akan berjaya.

4. Konsep ‘Hedgehog’ (Landak)

Perbezaan antara musang dan landak adalah sangat jelas bukan sahaja daripada segi fizikalnya tetapi juga tabiatnya.

Musang adalah haiwan yang sangat bijak dan melihat dunia dalam segala kerumitannya dan boleh mengejar banyak matlamat sekaligus, manakala, landak pula adalah lebih mudah dan ia hanya mampu melakukan satu perkara dengan baik iaitu mengubah fizikalnya menjadi bola untuk melindungi dirinya.

Begitu juga dengan sesebuah organisasi  yang inginkan kehebatan. Mereka perlu melakukan perkara yang terbaik, yang paling disukai dan memberi manfaat.

5. Budaya Disiplin

Budaya disiplin adalah tentang mendapatkan orang yang berdisiplin yang melibatkan diri dalam pemikiran yang berdisiplin dan mengambil tindakan yang berdisiplin.

6. Pemecut Teknologi

Organisasi ‘Good to Great’ hanya akan melabur dalam teknologi baharu, sekiranya ia memenuhi konsep ‘Hedgehog’ mereka. Mereka menggunakan teknologi untuk mempercepat momentum yang telah mereka miliki.

Mereka akan melihat bagaimana  sesuatu teknologi  boleh memberi maanfaat dan bukannya semata-mata mengikut  trend terkini atau untuk bermegah-megah.

Apabila sesebuah organisasi mengambil tindakan sejajar dengan Konsep ‘Hedgehog’ secara konsisten, mereka akan mencapai hasil yang boleh dilihat.

Ini memberi tenaga dan motivasi kepada warga dalam organisasi, serta momentum (roda tenaga) mudah dikekalkan tanpa banyak usaha. Akhirnya mereka  akan mencapai titik kejayaan dan mentransformasi organisasi ‘Good to Great’.

 

 

Explore More