Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal
JOHOR BAHRU, 9 Jan. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh jalinan kerjasama melalui penubuhan Makmal Satelit Forensik Geospatial (MSFG) UTM-PDRM dalam usaha memperluas penyelidikan dan pembangunan dalam bidang siasatan jenayah negara.
Penubuhan Makmal Satelit Forensik Geospatial UTM-PDRM ini bertujuan untuk mewujudkan ruang kondusif bagi warga akademik dan penyelidik UTM, PDRM dan industri menjalankan aktiviti bukan sahaja melibatkan kerja-kerja penyelidikan, bahkan penerbitan, perundingan, perkongsian kepakaran melalui perpindahan teknologi, kursus profesional dan khidmat inovasi.
Makmal satelit yang bertumpu kepada aplikasi teknologi Geospatial seperti Terrestrial Laser Scanning (TLS), Airborne LiDAR, Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Photogrammetry, Geographical Information System (GIS), Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) ke dalam bidang forensik ditempatkan di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM.
Makmal satelit ini telah dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Tan Sri Acryl Sani bin Hj. Abdullah Sani dan turut dihadiri oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail. Hadir sama Pengarah Pengurusan PDRM, Komisioner Polis Dato’ Sri Zaini Bin Jass; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Komisioner Polis Dato’ Sri Abdul Jalil Bin Hassan dan Ketua Polis Johor, Komisioner Polis Dato’ Kamarul Zaman Bin Mamat.
Inspektor Jeneral Tan Sri Acryl Sani berkata, “Kerjasama strategik ini mampu mempertingkatkan usaha PDRM khususnya pihak Jabatan Siasatan Jenayah, dalam memperkemaskan lagi siasatan dalam bidang forensik, seterusnya menyumbang kepada dapatan ilmiah yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.”
Untuk rekod, inisiatif kerjasama antara UTM dengan PDRM telah pun dirintis sejak tahun 2021 melalui kunjungan hormat kedua-dua belah pihak diikuti dengan penghasilan penerbitan penyelidikan serta sumbangan penyelidik UTM sebagai pakar rujuk.
Sementara itu, menurut Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ahmad Fauzi, “Penubuhan Makmal Satelit Forensik Geospatial UTM-PDRM ini sejajar dengan UTM enVision 2025 berdasarkan tiga teras strategik yang berkaitan, iaitu dalam penghasilan bakat holistik bertaraf dunia untuk memperluas bidang pendidikan dan penyelidikan, pengembangan institusi menerusi kebitaraan yang unik dan khusus untuk kelestarian masa panjang dan transformasi pengalaman hidup menerusi pemerkasaan ilmu pengetahuan dan kepercayaan.”
Inspektor Jeneral Tan Sri Acryl Sani, yang juga merupakan alumni UTM (1985) dalam bidang Kejuruteraan Awam, turut meluangkan masa untuk menyampaikan syarahan perdana di Dewan Senat, UTM.
Antara nasihat yang sempat dititipkan beliau adalah, “Apabila kita mendapat sesuatu peluang, kita jangan mudah lepaskan. Lebih-lebih lagi, di dunia yang penuh persaingan masa kini. Do not take things for granted.
“Sikap integriti dan penyampaian perkhidmatan efisien kepada masyarakat awam tidak akan menjadi sebati dengan diri kita sekiranya kita tidak menghargai, bertanggungjawab dan amanah dengan pangkat atau jawatan yang diberikan. Usaha ini perlu disemai dan dibaja untuk dituai hasilnya.
“Saya juga amat berbangga apabila UTM memilih PDRM sebagai rakan kolaborasi menerusi MSFG sekali gus akan menambah baik kualiti perkhidmatan PDRM kepada masyarakat. Keupayaan UTM sebagai salah satu universiti penyelidikan yang unggul di Malaysia dilihat mampu memastikan keberkesanan dan meningkatkan lagi kecekapan PDRM sebagai agensi penguatkuasa terkemuka di negara ini.
“Tambahan pula, perbuatan salah laku zaman kini lebih berbentuk jenayah siber dan digital menerusi aplikasi dalam talian, berbanding jenayah lampau yang lebih berbentuk violence dan sentuhan fizikal. Justeru, kepakaran penyelidik UTM amat diperlukan PDRM dalam meningkatkan keupayaan teknologi demi membendung sebarang bentuk jenayah bersifat digital.
Mengakhiri ucapan beliau, Inspektor Jeneral Tan Sri Acryl Sani merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para pensyarah terutama Naib Canselor UTM pertama, Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin bin Abdul Wahid yang pernah mendidik beliau sewaktu berada di UTM dari 1980 sehingga 1985.