Februari 20, 2024

Search
Close this search box.

Lawatan ke JUPEM peluang pelajar Geoinformasi FABU UTM fahami proses kerja teknologi pemetaan

KUALA LUMPUR, 25 Jan. – Satu lawatan Program Edufield (lawatan sambil belajar) telah dianjurkan oleh pelajar Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke Ibu Pejabat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Lawatan ini bukan sahaja sebagai satu langkah merapatkan ukhuwah antara pihak UTM dengan JUPEM, malah secara tidak langsung ia merupakan satu pendedahan kepada pelajar-pelajar yang sedang mengikuti program Kejuruteraan Geomatik dan Sains Geoinformatik untuk mengenali industri yang sangat sinonim dengan bidang Geoinformasi ini.

Delegasi lawatan ini telah diketuai oleh Sr Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim dan Dr. Norhadija Darwin selaku pensyarah pengiring dan disertai oleh 37 orang pelajar Geoinformasi. Ketibaan delegasi UTM telah disambut oleh Pengarah Ukur Seksyen Pengurusan Korporat, Sr Rabiulkhair bin Mohd Nor dan Penolong Pengarah Ukur, Encik Azizan bin Peryatin mewakili pihak JUPEM.

Para pelajar telah diberi pendedahan tentang proses kerja keseluruhan di Ibu Pejabat JUPEM dan JUPEM-JUPEM Negeri oleh Sr Rabiulkhair. Seterusnya, para pelajar juga dibawa melawat ke JUPEM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya yang terletak di Tingkat 3 Wisma JUPEM. Sepanjang lawatan, pelajar-pelajar telah diberi penerangan berkenaan proses kerja di JUPEM Negeri oleh Penolong Pengarah Ukur (Seksyen Pangkalan Data Pelbagai), Sr Mohd Nazam bin Sulaiman.

Selain itu, para pelajar juga dibawa melawat ke Seksyen Fotogrametri, Bahagian Pemetaan Topografi Semenanjung. Di situ, mereka telah diberi penerangan berkenaan peralatan pemetaan foto udara serta kaedah pemprosesan foto udara oleh Penolong Pengarah Ukur, Encik Fahizul Risya bin Husin.

Akhir sekali, pelajar telah dibawa melawat ke Makmal Kalibrasi Alat Pemetaan Utiliti Bawah Tanah. Penerangan telah disampaikan oleh Penolong Juruukur (Seksyen Naziran dan Pembangunan Pangkalan Data), Encik Khairul Fahmi bin Mansor.

 

Penganjuran program Edufield UTM ke JUPEM ini sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan teknologi terkini bidang ukur dan pemetaan yang ketika ini digunakan oleh pihak industri.

Explore More