April 20, 2024

Search
Close this search box.

Lawatan ke Jabatan Kimia Malaysia beri pendedahan pengendalian bahan kimia kepada bakal guru

PETALING JAYA, 6 Jan.- Pelajar Seksyen 03 Kursus Pengurusan dan Keselamatan Makmal (SHPN 2052) di bawah Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Jabatan Kimia Malaysia yang bertempat di Petaling Jaya, Selangor.

Para pelajar mendengar taklimat terlebih dahulu sebelum dibawa ke sekitar Jabatan Kimia Malaysia

Penglibatan seramai 89 orang pelajar yang terdiri daripada Tahun 3 Pendidikan Kimia, Tahun 2 Pendidikan Fizik dan Tahun 2 Pendidikan Matematik bersama seorang pensyarah selaku pembimbing iaitu Pn. Marlina binti Ali merupakan sebuah program yang bukan sahaja bertujuan untuk memberi pendedahan terhadap pengurusan makmal kimia, malah program ini juga bertujuan untuk memastikan bahawa setiap bakal pendidik mengambil maklum terhadap keselamatan ketika mengendalikan bahan kimia yang berbahaya di dalam makmal.

Setibanya para pelajar di luar kawasan Jabatan Kimia Malaysia.

Lawatan yang diadakan selama satu hari itu telah berlangsung dengan lawatan ke beberapa stor yang terdapat di dalam bangunan tersebut. Lawatan ini telah dipandu oleh Pegawai Sains Jabatan Kimia Malaysia, En. Muhammad Haniff bin M Zahari.

Kawasan yang dibawa untuk ditunjukkan kepada para pelajar ini terdiri daripada stor bahan kimia (asid) yang menempatkan beberapa bahan yang mudah menghakis (rendah kepekatan), stor bahan kimia (bahan pelarut) yang mempunyai beberapa bahan mudah terbakar serta melawat ke bilik gerakan pasukan tindakan kecemasan yang mempunyai peralatan yang diperlukan oleh setiap pekerja semasa mengendalikan bahan kimia seperti peralatan perlindungan diri (PPE)  dan akhir sekali ke stor sisa bahan kimia yang mempunyai sisa kimia dan juga sisa klinikal (sisa biologi).

Salah seorang pegawai telah menerangkan mengenai peralatan perlindungan diri (PPE).

Selepas berlangsungnya lawatan ke beberapa stor di situ, para pelajar telah dibawa ke bilik seminar bagi mendengar taklimat mengenai pengurusan dan keselamatan bahan kimia berbahaya di makmal. Penerangan ini telah disampaikan oleh En Muhammad Fazli bin Mad Saad dan beliau banyak menerangkan mengenai proses pelupusan dan penyimpanan alatan dan bahan serta juga pengurusan dalam mengendalikan bahan kimia yang terdiri daripada bahan yang berbeza-beza kandungannya.

Para pelajar juga dapat mendengar info mengenai pembelian bahan kimia yang mana bagi setiap pembelian, Safety Data Sheet (SDS) akan diberikan oleh pihak pembekal. Pendedahan yang diperkenalkan kepada para pelajar sedikit sebanyak membolehkan para pelajar memperoleh banyak pengetahuan yang boleh diimplementasikan semasa bergelar seorang guru kelak.

Sesi taklimat yang disampaikan mengenai pengurusan bahan kimia.
Sesi penyerahan cenderamata dari pihak UTM.

Diharapkan agar lawatan sambil belajar yang dianjurkan ini dapat dijadikan panduan dan pedoman buat bakal pendidik untuk lebih bersedia terhadap sebarang insiden yang boleh berlaku di dalam makmal, seterusnya dapat mengendalikannya dengan penuh cermat dan teratur.

Explore More