April 20, 2024

Search
Close this search box.

Kuru-Kuru Shop: Projek ‘tamak pahala’ hasil sumbang saran warga Fakulti Sains

Oleh: PM Dr Nor Azimah Mohd Zain, Dr Saleha Shahar & Dr Siti Pauliena Mohd Bohari

JOHOR BAHRU, 25 Jan. – “Kuru-Kuru” atau  ‘berpusing-pusing’ dalam Bahasa Melayu adalah salah satu budaya Jepun, di mana orang ramai boleh mendermakan barangan yang masih boleh digunapakai kepada mereka yang memerlukan.

Hasil sumbang saran antara Dekan Fakulti Sains, Prof. Chm. Dr Zaiton Abdul Majid bersama Jawatankuasa Kelestarian Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (FS UTM) telah merealisasikan konsep ini, seterusnya mencetuskan inisiatif FS Kuru-Kuru Shop yang telah dirasmikan pada 15 Disember 2022.

Wujudnya FS Kuru-Kuru Shop yang terletak di Aras 1 yang berhampiran dengan kafeteria bangunan T02 ini merupakan satu permulaan yang baik kerana lokasi kedainya yang mudah diakses oleh orang ramai.

Selari dengan tujuan utama inisiatif ini, iaitu untuk membantu mereka yang kesempitan dan memerlukan,  kebanyakan barangan yang ada di kedai ini adalah percuma.  Kedai ini terbuka kepada umum terutamanya para pelajar, staf UTM dan pekerja harian seperti pekerja pembersihan dan kontraktor dari luar UTM.

Orang ramai yang berhasrat melepaskan barangan mereka yang masih berkeadaan baik boleh mendermakannya kepada FS Kuru-kuru Shop.

Kedai ini menerima pelbagai barangan seperti buku, pakaian, kasut, beg, barangankeperluan bayi, permainan, dan barangan kecil kelengkapan rumah. Orang ramai yang berminat untuk menderma hendaklah memastikan barangan yang hendak didermakan itu di dalam keadaan baik, bersih dan masih boleh digunakan.

Pelancaran inisiatif ini dapat menjadi pemangkin kepada semua warga UTM terutama Fakulti Sains agar lebih cakna dan peka untuk berkongsi materi dengan orang awam yang berada dalam  kesulitan dan memerlukan.

Bukan itu sahaja, konsep ini mampu mengelakkan barangan yang masih berguna daripada berakhir di kawasan pembuangan sampah. Sementara itu, Jawatankuasa Kelestarian FS UTM menjangkakan akan membuka satu lagi FS Kuru-Kuru Shop di Kluster C Fakulti Sains pada Februari 2023.

Staf FS yang hadir semasa perasmian.
Barang-barang yang di pamerkan di kedai.
Staf FS melihat-lihat barangan yang dipamerkan.
Staf yang hadir sedang menanti ketibaan dekan FS.
Perasmian oleh Dekan FS.
Kegembiraan terpamer di wajah staf-staf FS setelah berpenat lelah berusaha menjayakan Kuru-Kuru Shop.

 

 

 

 

Explore More