Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

Oleh : Diyana Zulaika Abdul Ghani, Asha Hasnimy Mohd Hashim, Zainal Abidin Zainuddin, Halijah Ibrahim, Muhammad Hafiz Ismail, Adjah Naqkiah Mazlan & Nur Fatihah Raimi

JOHOR BAHRU, 11 Jan. – Satu majlis menandatangani suratcara kerjasama (LoC) antara Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) yang mewakili Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan juga DTC JDT Kulai di SMK Bandar Putra (DTC-JDT Kulai) telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Bilik Seminar 1 Aras 3 Bangunan D05, FSSK.

LoC ini telah ditandatangani oleh Dekan FSSK, YBhg. Prof. Dr. Arieff Salleh bin Rosman sebagai wakil UTM manakala bagi pihak JPNJ dan DTC-JDT Kulai pula telah ditandatangani oleh Pengarah JPNJ, YBrs. Tn. Hj. Md Said bin Md Daimon dan Pengetua SMK Bandar Putra, Tn. Hj. Rahmat bin Baharudin, sambil disaksikan oleh Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid JPNJ,  YBrs. Tn. Hj. Omar bin Salleh, dan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, Tn. Hj. Mohd Hanafi bin Samad.

Turut hadir semasa majlis berlangsung adalah Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPNJ, En. Musa bin Atan; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, Tn. Hj. Surjana bin Shukor; Penyelaras Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ-JDT), En. Fakarudin bin Ismail; Guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Bandar Putra, En. Roslee bin Mohamed Junid dan Ketua Jurulatih DTC-JDT Kulai, En. Md Nizam bin Tramiji serta barisan pengurusan tertinggi FSSK dan juga pensyarah-pensyarah daripada panel sains sukan Sekolah Pendidikan FSSK.

Jalinan kerjasama ini akan memfokuskan kepada tiga (3) intipati utama iaitu kemenjadian pelatih DTC-JDT dalam prestasi bola sepak memfokuskan kepada 4 aspek Sains Sukan meliputi psikologi, pemakanan, kecergasan fizikal dan asas kejurulatihan.

Di samping itu, kerjasama ini memberi nilai tambah kepada pelatih DTC-JDT dalam menyediakan diri ke alam selepas persekolahan terutama ilmu asas berkaitan sains sukan serta dalam masa yang sama memastikan kemenjadian sahsiah secara holistik bagi pelatih DTC-JDT di sekolah.

Jalinan kerjasama ini bermula dengan projek perintis bersama-sama DTC Kulai di SMK Bandar Putra seawal bulan Mac 2022 di mana beberapa program telah dilaksanakan di sekolah oleh Dr Diyana Zulaika Abdul Ghani, penyelaras bagi jalinan kerjasama ini yang melibatkan beberapa aspek kecergasan fizikal dan sesi perbincangan hasil dapatan bersama-sama dengan pelatih dan juga jurulatih DTC-JDT Kulai.

Impak daripada projek perintis ini dapat dilihat dengan beberapa pencapaian cemerlang pasukan DTC-JDT Kulai bagi tahun 2022 seperti berjaya menjadi Johan Piala Tunku Laksamana Johor bawah 16 tahun di mana lima orang pemain DTC-JDT Kulai menyumbang dalam pasukan tersebut dan juga sebagai Naib Johan bagi Malaysia Little League Negeri Johor dengan pemain DTC-JDT Kulai dinobatkan sebagai Most Valuable Player (MVP) bagi kejohanan tersebut dan banyak lagi.

Ini dilihat sebagai satu kayu ukur yang dapat menyumbang dalam meningkatkan prestasi serta pencapaian pelatih DTC-JDT dan hasrat ini disambut baik oleh pihak JPNJ selaku pemilik program DTC-JDT di bawah MSSJ-JDT untuk melebarkan sayap bukan setakat di DTC-JDT Kulai malah di kesemua 13 DTC-JDT yang ada merangkumi semua daerah negeri Johor iaitu DTC Johor Bahru, DTC Kulai, DTC Pasir Gudang, DTC Kota Tinggi, DTC Pengerang, DTC Mersing, DTC Pontian, DTC Batu Pahat, DTC Tangkak, DTC Muar, DTC Segamat, DTC Kluang dan DTC Uda Utama.

Justeru, jalinan kerjasama ini adalah sebagai langkah permulaan bagi memperkasakan sukan bola sepak di peringkat akar umbi dan diharapkan ianya dapat memberikan impak yang tinggi bukan sahaja kepada pelatih DTC-JDT malah barisan jurulatih dan pegawai yang terlibat dalam program ini juga dapat menerima kesan yang positif dalam menghasilkan pelajar yang versatile selepas tamat persekolahan kelak serta dapat menyumbang kepada masyarakat secara tidak langsung.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan majlis menandatangani LoC ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More