November 21, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Dr. Noorzana Khamis dan Prof. Madya Dr. Nor Hasniza Ibrahim

PENGERANG, 4 Jan. – Kumpulan Penyelidikan Pendidikan Sains dan Matematik (RGSME) dengan kerjasama PETRONAS dan SMK Pengerang Utama telah melaksanakan Program “Menariknya Belajar Sains dan Matematik” bertempat di Dewan Seri Pertama, SMK Pengerang Utama. Program interaktif STEM ini menerima sambutan hebat dengan penyertaan seramai 112 orang murid Tingkatan 3.

Program STEM kali ini ditunjangi delegasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) yang terdiri daripada Prof. Madya Dr. Johari Surif, Prof. Madya Dr. Nor Hasniza Ibrahim, Dr. Noorzana Khamis, Dr. Norulhuda Ismail, Dr. Mohamad Ikram Zakaria dan Puan Marlina Ali.

Sementara itu, program ini turut dihadiri Pegawai Unit Pengurusan Impak Sosial, PETRONAS Refinery and Petrochemical Sdn Bhd, Encik Mohd Hafiz Naib Muddin; Pengetua SMK Pengerang Utama, Encik Eedy Ahmad; Guru Penolong Kanan SMK Pengerang Utama, Encik Abd Majid Chik, Kaunselor SMK Pengerang Utama, Puan Suzana Morsudi dan barisan guru.

Barisan penyelidik RGSME bersama En Mohd Hafiz bin Naib Muddin, Pegawai Unit Pengurusan Impak Sosial, PETRONAS Refinery and Petrochemical Sdn Bhd. – Kredit gambar Noorefendy Kassim.

Bagi menerapkan tema menariknya belajar Sains dan Matematik, murid-murid Tingkatan 3 dari SMK Pengerang Utama ini didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan interaktif berkait dengan STEM. Sepertimana diketahui, STEM yang terdiri daripada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik adalah tidak asing lagi dalam kalangan sekolah.

Justeru, pendekatan dan pendedahan yang bersesuaian adalah perlu dalam memastikan murid-murid dapat memahami dan menyokong revolusi industri (IR 4.0) yang menjadi keperluan dan kelangsungan hidup pada masa akan dating.

Program dimulai dengan ceramah Motivasi STEM yang disampaikan dengan penuh bertenaga oleh PM Dr Johari Surif. Beliau menyemarakkan semangat cintakan STEM dengan menjelaskan kepentingan STEM, saintis dan keperluan literasi STEM dalam aplikasi kehidupan seharian.

Aktiviti seterusnya mengajak murid-murid beraksi sebagaimana saintis hebat dengan membina Roket STEM hasil tindakbalas kimia, merekabentuk kapal terbang kertas dengan aplikasi konsep daya, mencipta paper helicopter dan menginovasikan belon udara panas daripada plastik sampah.

Murid-murid juga turut didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pembentangan, perbincangan dan kerjasama dalam kumpulan. Program ini memberikan pendedahan tentang keperluan STEM kepada negara dan kepentingan STEM kepada dunia.

Aktiviti yang dijalankan juga memberikan ruang dan peluang kepada murid untuk berinteraksi, berkomunikasi dan melalui sendiri pengalaman melakukan eksperimen yang disediakan. Murid-murid dilihat sangat bersemangat dan mengikuti setiap aktiviti dengan jayanya.

 

Aktiviti kapal terbang kertas. – Kredit gambar Noorefendy Kassim.
Aktiviti pembentangan daripada murid-murid SMK Pengerang Utama. – Kredit gambar Noorefendy Kassim.
Aktiviti Roket STEM. – Kredit gambar Noorefendy Kassim.
Aktiviti Belon Udara Panas. – Kredit gambar Noorefendy Kassim.

Penganjuran program ini dilihat mampu memberi impak yang positif dalam memupuk dan melahirkan generasi muda untuk lebih meminati dan menjiwai STEM dalam kehidupan seharian. Jalinan kerjasama padu dan jitu antara UTM, PETRONAS dan pihak sekolah pula dilihat mampu menjadi pemangkin dalam memperkasa dan memperhebat program-program pendidikan berbentuk STEM pada masa akan datang.

Sesi bergambar bersama para peserta. – Kredit gambar Noorefendy Kassim.

Untuk pautan gambar aktiviti, sila layari FB Faculty of Social Sciences and Humanities, UTM

 

Explore More