April 23, 2024

Search
Close this search box.

FSSH UTM perkasa nilai teras integriti dalam kalangan staf PPP

Oleh Khairull Azmi bin Ishak

JOHOR BAHRU, 17 Jan. – Menjadi keutamaan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSH) untuk terus membangun dan mengembangkan bakat dan potensi staf khususnya staf Pengurusan, Profesional dan Pelaksana (PPP) bagi memastikan tulang belakang fakulti ini akan terus bersemangat dan berfokus menjayakan misi dan visi fakulti.

Bersesuaian dengan matlamat terus menginstitusikan elemen ISES di kalangan staf fakulti, bengkel pemantapan yang julung kali diadakan secara outdoor ini menjadikan elemen Integriti sebagai tema bagi siri yang pertama ini bagi tahun 2023.

Seramai 91 orang staf PPP FSSH telah menghadirkan diri seawal jam 8 pagi di lokasi program iaitu di Hutan Rekreasi UTM. Program yang juga bermatlamat memupuk semangat kekeluargaan dalam menjayakan #KeluargaFSSHsejahtera telah dimulakan dengan senamrobik yang telah juga dikendalikan oleh staf PPP FSSH sendiri iaitu Pn Irwanti Johan. Seusai tamat aktiviti tersebut, semua peserta diberikan sarapan sebelum sesi selanjutnya dijalankan.

Program seterusnya dimulakan dengan tazkirah daripada Dekan FSSH, Prof. Dr. Arieff Salleh bin Rosman dengan tajuk Memperkasa Daya Tahan Rohani (spiritual resilience). Di dalam tazkirah tersebut Prof. Dr. Arieff Salleh telah berkongsi konsep penghayatan yang sewajarnya menjadi fokus dan panduan staf FSSH menerusi 7 komponen berikut iaitu menghayati matlamat & tujuan hidup, memiliki keanjalan (flexibility) minda & emosi, menghayati solat ke arah kesedaran jiwa, mencontohi Rasullah Ulul Azmi, mempunyai sokongan sosial yang seimbang, mempunyai sikap optimistik dan meningkatkan kualiti rohani.

Fokus seterusnya ialah sesi perkongsian dari Timbalan Pendaftar FSSH, En Khairull Azmi bin Ishak, dengan tema & konsep “REBOOT”. Di dalam sesi perjumpaan awal tahun bersama staf PPP FSSH yang telah menjadi agenda penting beliau sepanjang berkhidmat di FSSH, beliau telah membawa semua staf PPP FSSH untuk ‘reboot’ atau ‘reset’ diri dan minda dan menjawab apa yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2022 terhadap tugas dan tanggungjawab yang telah diamanah di bawah skop jawatan masing-masing.

Beliau juga turut mengambil kesempatan menjelaskan konsep amanah dan keberkatan rezeki yang dibawa pulang untuk diberi makan dan minum seterusnya menjadi darah daging kepada ibubapa, isteri dan anak-anak.

Menerusi program pemantapan tahun kali ini, Timbalan Pendaftar FSSH telah memberikan peluang dan kesempatan kepada semua staf PPP FSSH untuk memberikan komen dan maklumbalas secara terbuka melalui kotak-kotak yang disediakan untuk penambahbaikan.

Tiga kotak yang disediakan ialah mengenai fakulti secara keseluruhannya (pengurusan, kemudahan dan fasiliti serta apa saja berkaitan fakulti), program-program yang dilaksana oleh fakulti sepanjang tahun 2022 kepada staf PPP dan mengenai diri beliau sendiri (komen & penambahbaikkan terhadap beliau sepanjang menjadi Timbalan Pendaftar di FSSH).

Penganjuran bengkel pemantapan staf PPP FSSH yang bertemakan Integriti ini berjaya dilaksanakan dengan baik dan telah mencapai objektif sebagaimana yang dirancang, iaitu pemupukan semangat kerjasama, persaudaraan, kesediaan untuk terus cemerlang, penghayatan kepada konsep Keluarga FSSH sejahtera dan juga pemahaman terhadap konsep kerja – Kerana Tuhan Untuk Manusia.

 

Explore More