Mac 1, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Ami Hassan Md Din

SENAI, 27 Jan. – Majlis Graduasi dan Penutupan Hydrographic Surveying II Programme (UTM HYDRO II) FIG/IHO/ICA Category A dan Marine Geospatial and Cartography Programme (UTM CARTO I) FIG/IHO/ICA Category B telah diadakan bertempat di Perkasa Ballroom, Le Grandeur Palm Resort, Senai, Johor . Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan graduan UTM HYDRO II dan UTM CARTO I selepas mereka bertungkus lumus melalui sesi pembelajaran dan latihan praktikal.

Program UTM HYDRO II telah berlangsung selama 11 bulan bermula pada 6 Februari 2022 hingga 29 Disember 2022. Manakala, Program UTM CARTO I telah dijalankan bermula 1 November 2021 hingga 26 Mei 2022 iaitu selama 7 bulan. Kedua-dua program ini telah diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh badan FIG/IHO/ICA dan merupakan program kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia dan Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dalam majlis ini, barisan tenaga pengajar dan Ahli Jawatankuasa Pemandu Program Hidrografi FIG/IHO/ICA Malaysia juga antara yang diraikan. Seramai 17 orang graduan telah menerima sijil akademik profesional dan transkrip pada sesi kali ini iaitu 10 orang graduan dari program UTM HYDRO II, 6 orang graduan dari program UTM CARTO I dan seorang graduan dari program UTM HYDRO I ambilan 2021.

Peserta yang menyertai program kali ini terdiri dari pelbagai latar belakang antaranya merupakan staf PHN, staf akademik UTM, syarikat jurukur tanah berlesen, firma hidrografi dan juga syarikat swasta.

Majlis Graduasi dan Penutupan ini telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Staf Dasar dan Pembangunan, Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia, Yang Berbahagia, Komander Ts. Mohd Shukri bin Mohd Yusop TLDM; Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Prof. Sr Dr. Kherun Nita binti Ali, dan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Program Hidrografi FIG/IHO/ICA Malaysia, Prof. Sr Dr. Mohd Razali bin Mahmud.

Selain itu, majlis ini turut diserikan lagi dengan kehadiran para jemputan iaitu Presiden Persatuan Jurukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA), Sr Haji Mohd Hanifa bin K Abd Hamid; wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Sr Wan Zulaini bin Abdul Razak dan Sr Abd Rahman  bin Mohd Jazuli @ Mahmood; Pengurus Program UTM HYDRO II, Prof. Madya Sr Dr Ami Hassan bin Md Din; Pengurus Program UTM CARTO I,  Sr Dr Mohd Farid bin Mohd Ariff, barisan Ahli Jawatankuasa Pemandu, tenaga pengajar dari UTM serta PHN, staf sokongan universiti dan sekretariat majlis penutupan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Program Hidrografi FIG/IHO/ICA Malaysia, Prof. Sr Dr Mohd Razali bin Mahmud. Beliau telah mengalu alukan kehadiran tetamu kehormat dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Beliau juga telah mengumumkan senarai graduan, barisan tenaga pengajar dan perkembangan terkini program hidrografi serta mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang telah tamat dengan jayanya.

Ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Program Hidrografi FIG/IHO/ICA Malaysia, Prof. Sr Dr Mohd Razali bin Mahmud.

Majlis diteruskan dengan Ucapan Pembukaan yang telah disampaikan oleh Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, YBrs. Prof. Sr Dr. Kherun Nita binti Ali. Beliau telah menekankan kepentingan pengetahuan hidrografi dan kartografi dalam menyokong pelayaran kapal yang selamat dan cekap, eksploitasi sumber marin, perlindungan dan pengurusan alam sekitar dan persempadanan maritim.

Selain itu, menurut beliau, program ini telah membina satu platform bagi para peserta dan pengajar untuk berkongsi dan bertukar ilmu pengetahuan sekaligus dapat memperkasakan kerjasama antara pihak universiti, agensi dan industri pada masa hadapan. Melalui program ini juga, kemahiran para pelajar dalam melakukan kerja-kerja pengukuran hidrografi dan pengeluaran carta nautika dapat dipertingkatkan.

Ucapan Pembukaan oleh Dekan FABU UTM, Prof. Sr Dr. Kherun Nita binti Ali.

Majlis diteruskan lagi dengan Ucapan Perasmian Penutupan yang telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Staf Dasar dan Pembangunan, Pusat Hidrografi Nasional, Tentera Laut Diraja Malaysia, Yang Berbahagia, Komander Ts. Mohd Shukri bin Mohd Yusop TLDM. Dalam ucapan beliau menekankan bahawa perlaksanaan Program UTM HYDRO II dan UTM CARTO I ini merupakan salah satu usaha yang telah dirangka untuk melahirkan ahli hidrografi dan kartografi yang berkaliber dan kompeten bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat serta negara.

Selain itu, Yang Berbahagia Komander juga mengingatkan kepada semua graduan agar sentiasa mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dalam program ini dan juga memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat sebagai jurukur hidrografi dan kartografi profesional.  Akhir sekali, beliau mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyokong dan menjayakan program ini.

Ucapan Perasmian Penutupan oleh Ketua Pegawai Staf Dasar dan Pembangunan, Pusat Hidrografi Nasional, Tentera Laut Diraja Malaysia, Yang Berbahagia, Komander Ts. Mohd Shukri bin Mohd Yusop TLDM.

Selepas ucapan perasmian, majlis diteruskan lagi dengan penyampaian sijil akademik profesional dan transkrip oleh Yang Berbahagia, Komander Ts. Mohd Shukri bin Mohd Yusop TLDM kepada semua graduan yang terlibat. Pada sesi kali ini, pihak jawatankuasa memperkenankan untuk menyampaikan dua anugerah kepada graduan iaitu Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Prestasi Akademik Terbaik.

Bagi Program UTM HYDRO II, Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan telah diberikan kepada Lt Kdr Muhammad Aizat bin Azmi TLDM. Manakala. Lt Noor Ashraf bin Shaari TLDM telah dianugerahkan Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan bagi Program UTM CARTO I.

Seramai dua graduan dari UTM HYDRO II telah dipilih untuk menerima Anugerah Prestasi Akademik Terbaik iaitu Encik Bazli bin Badrul Hisham dan Encik Zulhaizal bin Yahya. Lt Muhammad Hafidzuddin bin Mohd Norzalan TLDM pula telah dipilih bagi menerima Anugerah Prestasi Akademik Terbaik untuk Program UTM CARTO I bagi sesi kali ini.

Sementara itu, seorang staf akademik dari Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM telah berjaya menamatkan Program UTM HYDRO II dengan jayanya iaitu Sr Dr. Abd Wahid bin Rasib. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh Yang Berusaha Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur kepada semua tenaga pengajar dan ahli jawatankuasa yang terlibat sebagai tanda penghargaan.

Sesi fotografi para graduan UTM HYDRO II bersama Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Program Hidrografi FIG/IHO/ICA Malaysia, Prof. Sr Dr. Mohd Razali bin Mahmud dan Pengurus Program UTM HYDRO II, Prof. Madya Sr Dr. Ami Hassan bin Md Din.
Sesi fotografi para graduan UTM CARTO I bersama Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Program Hidrografi FIG/IHO/ICA Malaysia, Prof. Sr Dr. Mohd Razali bin Mahmud dan Pengurus Program UTM CARTO I, Sr Dr. Mohd Farid bin Mohd Ariff.

Explore More