November 17, 2024

Search
Close this search box.

“Buddy Walk, You’re Not Alone” platform mahasiswa UTM santuni kanak-kanak istimewa

Oleh Nur ‘Aina Osman

JOHOR BAHRU, 14 Jan. – Sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Kursus Kokurikulum Budi Penyayang menyantuni 20 orang kanak-kanak istimewa hari ini menerusi penganjuran program “Buddy Walk, You’re Not Alone” yang berlangsung di Hutan Bandar Mutiara Rini, Johor Bahru.

Program yang dikendalikan oleh 36 orang pelajar kursus ini turut melibatkan keluarga kanak-kanak istimewa yang terdiri daripada anak-anak autisme, ADHD dan disleksia. Penganjuran program ini turut mendapat sokongan daripada Pertubuhan Ibu Bapa Anak-anak Istimewa Johor Bahru (GIAT) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Johor Bahru (ILKKM).

Para peserta ketika melakukan aktiviti yang diadakan di sekitar Hutan Bnandar Mutiara Rini.

Penganjuran program ini bukan sekadar bagi memenuhi keperluan kursus, sebaliknya membuka peluang kepada ibu bapa atau keluarga menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berdepan serta mengendalikan anak-anak istimewa.

Pada masa yang sama, melalui pelbagai aktiviti dan permainan interaktif yang dilaksanakan dalam program ini anak-anak istimewa dapat memperbaiki kemahiran motor (motor skill) dan sosial masing-masing.

Sebahagian kanak-kanak yang terlibat dilihat teruja mengikuti aktiviti yang dirancang.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir.Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, dalam ucapannya turut menyatakan program ini adalah satu inisiatif untuk menyokong pembelajaran keluarga yang mempunyai anak-anak istimewa.

Prof. Datuk Fauzi ketika berucap pada program yang berlangsung pagi tadi.

“Berbeza dengan hari-hari sebelumnya yang mana anak-anak ini mungkin melakukan aktiviti pembelajaran di rumah, dalam kelas dan pusat-pusat terapi, program pada hari ini dirangka bagi membolehkan proses pembelajaran ibubapa dan anak-anak dibuat secara ‘outdooor’ dengan alam sekitar yang mana ianya luar daripada kebiasaan.

“Diharapkan aktiviti ini bukan sahaja dapat membantu anak-anak ini untuk menyesuaikan diri dalam keadaan sekitar yang berubah, malah dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dengan ibubapa,” tambah Prof. Datuk Fauzi.

Sementara itu, En. Mohamad Redha bin Md Dali, pengendali kursus kokurikulum ini  berkata “Program ini mampu menjadi satu platform untuk membantu pelatih komuniti dapat memahami, berkomunikasi dan mengendalikan anak-anak istimewa dengan lebih baik.”

Menurutnya lagi, program ini juga diharapkan mampu memberi manfaat kepada pelajar UTM daripada sudut meluaskan rangkaian dengan pelbagai pihak yang berbeza latar belakang dan menimba pengalaman secara hands-on berkaitan cara menyantuni dan mendekati anak-anak istimewa.

Para peserta bergambar kenangan bersama dengan pengendali program dan rakan kerjasama turut sama menjayakan program ini.

 

Explore More