April 19, 2024

Search
Close this search box.

Oleh Hafizan Hamzah

Bagi memastikan negara ini tidak ketinggalan dalam mengadaptasi Revolusi Industri (IR 4.0), Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) telah dilaksanakan bagi mengarus perdanakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (PLTV) atau sinonimnya Technical and Vocational Education and Training (TVET) di dalam sistem pendidikan negara.

Komitmen kerajaan terhadap revolusi TVET dicerminkan dalam belanjawan setiap tahun dengan yang terkini, RM6.7 bilion telah diperuntukkan bagi melaksana inisiatif TVET melalui Belanjawan 2023. Bagi mendepani cabaran baharu pasca pandemik, pemerkasaan golongan belia sebagai pemangkin pertumbuhan semula negara perlu diteruskan dengan memberi sepenuh perhatian kepada pendidikan dan latihan yang memfokuskan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor serta pendedahan terhadap latihan di industri.

Walau bagaimanapun, menurut Dr. Nornazira Suhairom dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM, stigma bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua dan hanya untuk individu yang kurang cemerlang dalam akademik masih wujud dalam kalangan masyarakat, menyebabkan ada ibu bapa yang keberatan membenarkan anak mereka mengikuti program TVET selain persepsi bahawa lulusan bidang ini sukar mendapatkan pekerjaan yang baik.

Ini menunjukkan masih kurangnya kesedaran dan kefahaman tentang kelebihan bidang TVET jika dibandingkan dengan bidang profesional yang biasa diikuti di institusi pengajian tertiari di samping persepsi tentang laluan kerjaya yang kurang jelas bagi bidang TVET.

Pepatah Melayu ada menyebut “kelam disigi, lekung ditinjau”. Persepsi dan mentaliti masyarakat memerlukan satu anjakan paradigma yang baharu. Maklumat tentang hala tuju TVET perlu lebih disebar luas bagi membugar persepsi negatif ini agar tidak merencatkan aspirasi negara untuk menghasilkan lebih ramai tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu.

TVET merupakan sektor utama yang membantu kerajaan membangunkan sumber tenaga manusia kepada industri. Ia merupakan satu proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

Skop TVET yang sedia ada telah dibangunkan berdasarkan standard pekerjaan yang diiktiraf. Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) yang diperkenal oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) sejak 1993 telah dilaksanakan berteraskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) (National Occupational Skills Standard– NOSS). Umum perlu mengetahui bahawa modul-modul kemahiran ini mempersiapkan individu dengan kemahiran yang menepati kehendak industri sejurus menamatkan pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional.

Setiap program TVET diwujudkan bagi memenuhi keperluan pekerjaan dan kerjaya masa kini. Penempatan latihan industri dengan kerjasama erat bersama industri membolehkan pelatih mendapat pendedahan meluas tentang situasi sebenar di tempat kerja. Kebanyakan program TVET di pelbagai peringkat pengajian juga disokong dan dibantu oleh kerajaan dalam bentuk dana latihan TVET melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Bagi meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap TVET, kerajaan juga perlu mengambil langkah proaktif seperti melaksanakan kempen yang lebih agresif berkenaan dengan prospek pendidikan TVET termasuk penyampaian maklumat berkenaan kebolehpasaran pekerjaan yang tinggi bagi membolehkan lebih ramai golongan muda memilih bidang kemahiran ini.

Menurut Dr Nornazira juga kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan bahawa setiap jenis pekerjaan itu mempunyai keunikan yang tersendiri. Kebanyakan promosi berkaitan bidang kerjaya TVET adalah memfokuskan kepada pendapatan yang lumayan, kerjaya hebat dan juga lain-lain keistimewaan bidang ini tetapi realitinya beberapa jawatan di dalam skop bidang ini memerlukan kemahiran, pengetahuan dan kemampuan fizikal yang tinggi (contohnya Jurudandang, Penjaga Jentera Elektrik, Jurukimpal).

Pelatih perlu perlu mengembangkan resilien mereka sebagai kemampuan peribadi untuk menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan. Pelatih perlu disiapsiagakan dengan ketahanan emosi, mental dan fizikal. Kerajaan perlu melaksanakan promosi yang lebih berimpak dan bersifat memberikan kesedaran berkenaan realiti sebenar prospek kerjaya ini kepada khalayak ramai agar masyarakat benar-benar menyedari dan faham hakikat sebenar menyertai bidang kerjaya TVET ini.

Sebagai contoh, pelatih yang bergraduan dengan SKM Tahap 1-2-3 dalam bidang Penyediaan dan Pembuatan Makanan apabila tamat latihan boleh diterima bekerja di hotel bertaraf antarabangsa sebagai Commis sebagai permulaan. Pembangunan kerjaya berdasarkan skim briged dapur komersil memerlukan pengalaman bekerja dari bawah disertakan dengan kemahiran teknikal, kemahiran generik, dan ketahanan mental dan fizikal yang mantap. Membina kerjaya melalui pengalaman adalah sangat penting bagi kerjaya jurumasak professional agar pelatih dapat meraih pengalaman yang diperlukan untuk bertahan dan sukses.

Perubahan mentaliti ibu bapa tentang prospek bidang TVET ini juga kritikal di mana ada sesetengah mereka yang memberi sokongan anak mengikuti kursus kemahiran teknikal dan vokasional tetapi masih mengharapkan agar anak mereka ini menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang akademik setelah tamat belajar.

Dari segi prospek program pendidikan awal TVET ini sememangnya boleh menjadi tiket untuk pelatih menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi dalam bidang akademik (diploma atau ijazah) (dengan syarat-syarat tertentu) namun masyarakat perlu faham pada asasnya program TVET ini adalah berkonsepkan latihan untuk bekerja (training for work) di alam pekerjaan di mana pekerja berkemahiran rendah boleh berkembang menjadi pekerja kemahiran tinggi. Konsep asal TVET iaitu melahirkan individu yang berkemahiran tinggi dan seterusnya membina kepakaran professional pada usia muda perlu diperkukuhkan.

Isu utama dalam bidang TVET sering dikaitkan dengan ketidakcekapan tenaga pengajar dalam teknik pengajaran dan pembelajaran yang diakibatkan oleh kekurangan pengetahuan berkenaan dengan kehendak semasa industri. Isu ini boleh diatasi dengan melengkapkan pengajar dengan pengetahuan berkenaan dengan prospek semasa industri di samping mendapat latihan intensif dalam aspek pengajaran dan pembelajaran.

Penyedia program TVET juga perlu mempertingkat jaringan kolaborasi dengan pihak industri dalam aspek pembelajaran dan pengajaran (untuk tenaga pengajar) dan juga penempatan pelajar bagi menjalani latihan praktikal sebelum menamatkan pengajian bagi membolehkan golongan ini sentiasa peka dengan keperluan semasa industri.

Selain itu perlu juga diwujudkan satu pangkalan data tentang bidang kerjaya, maklumat pencari kerja dan juga majikan yang mungkin memudahkan pihak industri untuk merekrut pekerja berpotensi. Peruntukan kewangan yang lebih besar untuk pembelian peralatan berteknologi tinggi bagi tujuan proses pembelajaran dan pengajaran yang lebih efektif juga dapat meningkatkan kompetensi pengajar dan pelatih.

Kesimpulannya, untuk memastikan program TVET kekal relevan di mana lepasan TVET yang dilahirkan sentiasa memenuhi keperluan dan kehendak semasa yang dikehendaki oleh majikan di luar sana, maka ia perlu menjalani proses penambahbaikan yang lebih konstruktif agar bidang TVET di Malaysia terus dilestari dan diperkasa.

Mereka yang didedahkan dengan latihan teknikal dan vokasional juga berpeluang untuk berjaya dalam hidup, malah ada yang lebih mendatangkan pendapatan berbanding lulusan akademik. – Gambar fail

*Dr. Nornazira Suhairom merupakan Pensyarah Kanan di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan, UTM dalam bidang latihan dan pendidikan teknik dan vokasional, pengurusan sumber manusia, pembangunan kompetensi kerjaya serta hospitaliti dan pelancongan.

Explore More