April 25, 2024

Search
Close this search box.

Seminar Industri & PTV platform pelajar TVET UTM corak pilihan kerjaya selepas bergraduasi

JOHOR BAHRU, 11 Jan. – Kumpulan pelajar Tahun 3 daripada program Pendidikan Binaan Bangunan dan Pendidikan Elektrik & Elektronik di bawah Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Seminar Industri & PTV.

Penganjuran seminar dikendalikan oleh  Muhammad Asrul Huzaimi Salamat (3 SHPQH) dan Nurul Syahira Mohd Ramli (3 SHPRH) di bawah penyeliaan dan koordinasi Penasihat Program, Dr. Mohamad Izzuan Mohd Ishar.

Seminar yang dianjurkan sebagai memenuhi keperluan kursus SHPE 3022 Industri & PTV  ini juga bertujuan sebagai platform pendedahan kepada pelajar dengan selok belok industri di samping menghubungkaitkan suasana pendidikan teknikal dan vokasional dengan kehendak industri.

Intipati seminar berkisar kepada persiapan mahasiswa pendidikan teknikal dan vokasional sebelum menceburi industri serta mengenalpasti isu dan cabaran dalam pembangunan modal insan ke arah Revolusi Industri 4.0. Melalui seminar ini, pelajar turut didedahkan dengan kemahiran dan kompetensi yang diperlukan oleh seseorang graduan TVET untuk memasuki industri selain daripada bidang pendidikan.

Barisan pelajar Tahun 3 SHPQH dan 3 SHPRH Kursus SHPE 3022 Industri & PTV Seksyen 02.

Umum mengetahui bahawa bidang pendidikan yang ditawarkan universiti awam di Malaysia merupakan bidang pasaran terbuka (open market) yang tidak menjanjikan penempatan di mana-mana institusi pendidikan selepas bergraduan. Oleh yang demikian, penganjuran seminar ini dilihat mampu membuka mata pelajar untuk meluaskan skop pilihan kerjaya selepas bergraduan dengan menceburi industri-industri seperti pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan penyelenggaraan.

Sesi pertama seminar bertajuk “Persiapan Mahasiswa Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sebelum Menceburi Industri” telah disampaikan oleh En. Mohd Zul Faqar Mohd Osman yang merupakan Ketua Bahagian Pembinaan di Syarikat FSF Binaharta Sdn. Bhd. Beliau juga merupakan alumni UTM bagi program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam pada tahun 2006.

Antara intipati yang dikongsikan oleh beliau pada sesi ini adalah berkaitan keperluan pelajar untuk memenuhi jangkaan industri berkaitan pengetahuan, akademik, kemahiran berfikir, dan persekitaran industri. Selain itu, beliau turut menegaskan tentang kemahiran insaniah yang dilihat oleh majikan seperti kelakuan, ketaatan, komunikasi, dan nilai tambah yang ada pada diri pelajar.

Sesi pertama seminar dikendalikan oleh En. Zul Faqar Mohd Osman.

Sementara itu, sesi kedua seminar telah disampaikan oleh Ir. Ts. Rahim Selamat iaitu Pengarah Institut Kemahiran MARA Johor Bahru dengan tajuk “Isu dan Cabaran Dalam Pembangunan Modal Insan Ke Arah Revolusi Industri 4.0”.

Menurut En. Rahim, “Pengalaman merupakan elemen terbaik dalam menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku dalam mendepani cabaran alam pekerjaan.

Beliau menambah, “Kemahiran seperti pengaturcaraan, pembinaan robotik, pendataan, dan pembangunan simulasi mampu menjadi nilai tambah dalam apa jua industri yang diceburi.

Selain itu, beliau turut berkongsi pengalaman bekerja sebagai juruteknik dan melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik di Bangunan Canseleri UTM semasa peringkat awal pembinaan UTM pada tahun 1980-an.

Ir. Ts. Rahim Selamat sedang menyampaikan pengisian berkaitan Cabaran Pembangunan Modal Insan.

Pada penghujung seminar, kedua-dua penceramah turut berkongsi pandangan dan pendapat mengenai isu kebergantungan sektor 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) terhadap pekerja asing.

Banyak perkara yang boleh diambil iktibar dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran dan hala tuju TVET di Malaysia antaranya kesediaan pihak industri untuk menyediakan ruang dan peluang kepada tenaga kerja tempatan dan kesiapsiagaan graduan TVET untuk menceburi sektor 3D tanpa permintaan yang di luar jangkaan.

Penganjuran seminar ini diharap memberi manfaat kepada pelajar-pelajar TVET UTM dalam mencorak pilihan kerjaya mereka selepas tamat pengajian.

Explore More