November 10, 2024

Search
Close this search box.

LANGKAWI, 30 Nov. -Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 telah menggariskan bahawa pendidikan STEM menjadi antara tunjang dalam memacu pembangunan negara. Malah, kebanyakan masalah teknikal dapat diselesaikan dengan mengaplikasikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Namun begitu, Malaysia menghadapi kesukaran dalam memenuhi keperluan pekerjaan sektor sains dan teknikal menjelang tahun 2025, sekali gus menjadikan STEM sebagai antara bidang paling kritikal buat masa kini.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah institusi pendidikan awam terulung di Malaysia dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dan Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM sentiasa mencari peluang dalam memberikan tanggungjawab khidmat masyarakat kepada organisasi dan masyarakat setempat. Pelaksanaan program pembelajaran STEM kepada pelajar sekolah menengah ini adalah  sebagai salah satu inisiatif memupuk kesedaran di kalangan pelajar sekolah menengah untuk mencambah minat dalam bidang STEM dalam menuju ke pendidikan lebih tinggi.

KPT Langawi-1
Fasilitator dari UTM, Puan Siti Zalita binti Ad Talib memberi penerangan secara kepada pelajar tentang kaedah penanaman hidroponik
KPT Langkawi-2
Pelajar SMK Tunku Putra mendengar taklimat secara teori dari fasilitator mengenai kaedah tanaman hidroponik

Program STEM antara UTM dengan SMK Tunku Putra telah dilaksanakan dengan jayanya pada 28 November hingga 30 Disember 2022. UTM yang diwakili oleh seramai lapan (8) orang staf yang berperanan sebagai sekretariat dan fasilitator dari Pejabat TNCPI UTM Kuala Lumpur. Pelaksanaan program ini telah mendapat tajaan dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) UTM melalui MJIIT Green Fund dan dana padanan dari Yayasan Pelajaran MARA.

Seramai lebih 400 pelajar sekolah menengah Tingkatan 1 hingga 3  telah menerima manfaat hasil dari program pemindahan ilmu dan teknologi ini. Fasilitator dari UTM telah menyampaikan modul penanaman hidroponik seperti teknik asas penanaman, contoh tanaman, dan cara menggunakan bahan terpakai untuk menanam. Selesai sesi pembelajaran secara teori, pelajar telah dibawa ke tapak semaian sekolah untuk mempelajari teknik secara amali dan hands-on.

Pada sesi hands-on, pelajar telah berpeluang mencuba sendiri bagaimana untuk melaksanakan proses menyemai benih dan menanam tanaman secara hidroponik. Peralatan dan bahan mentah disediakan sepenuhnya oleh pihak UTM dan diberikan terus kepada pihak sekolah untuk membolehkan pelajar meneruskan aktiviti penanaman dalam jangka masa panjang.

KP-Dr Sheikh
Ketua Projek, PM Dr. Sheikh Ahmad Zaki bin Shaikh Salim dan pasukan dari UTM meninjau tapak semaian tanaman hidroponik disaksikan oleh Penyelaras STEM Langkawi, Encik Noor Sham bin Yaakob

Program Pemindahan Ilmu Penanaman Hidroponik Bagi Meningkatkan Kesedaran Dalam Pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Dan Matematik (STEM) ini adalah hasil kerjasama julung kali antara UTM dengan SMK Tunku Putra Langkawi. Seiring dengan keperluan dalam teknologi pertanian dan pembelajaran kemahiran hidup, program ini bertujuan membantu kumpulan sasaran di sekolah bagi mempelajari teknik asas penanaman hidroponik dan pengenalan berkaitan dengan cara-cara penanaman hidroponik.

Diakhir program, para peserta telah dapat memahami dengan lebih mendalam dan mempelajari teknik terkini seterusnya membantu meningkatkan kemahiran kerja-kerja asas penanaman , jenis-jenis penanaman,  pembajaan  tanaman secara hidroponik untuk keperluan tambahan pengajaran di sekolah dan boleh juga diaplikasikan di rumah.

Disamping itu, mereka juga telah diperkenalkan peralatan hidroponik, bahan-bahan mentah dan biji benih. Peserta juga telah diajar  kaedah terkini, tips dan cara-cara sistem operasi yang sedia ada dan kaedah terkini yang bersesuaian. Program ini diharapkan dapat diterapkan dalam kehidupan seharian dan memberi manfaat kepada pelajar dalam jangka masa panjang.

Explore More