November 9, 2024

Search
Close this search box.

Suara Emas Di Sebalik Bilik Konti Dewan Sultan Iskandar UTM

Majlis Konvokesyen UTM ke-66 (MK66) telah melabuhkan tirainya pada 25 November 2022 setelah lima hari berlangsung. MK66 kali ini menampilkan kelainan apabila sesi pembukaan terpaksa ditunda berikutan Pilihanraya Umum ke-15 yang berlangsung pada 19 November 2022. Namun penundaan itu tidak menghalang kemeriahaan MK66 yang meraikan lebih 7,000 graduan pada kali ini.

Sememangnya majlis sebesar ini perlu dikawal rapi agar penganjurannya berjalan lancar. Tidak terkecuali barisan petugas Bilik Konti yang merupakan nadi majlis yang bertindak sebagai ‘pengatur masa’ bagi MK66. Jawatankuasa Kecil Bilik Konti yang diketuai oleh Hazila Rahmat bertanggungjawab untuk membuat pengumuman protokol, mengacarakan majlis mengikut skrip yang telah ditetapkan serta menyebut nama graduan setiap kali mereka tampil menerima ijazah.

Menurut Hazila yang telah mengetuai JKK Bilik Konti sejak 2018, setiap majlis konvokesyen mempunyai keunikan tersendiri dan beliau serta ahlinya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan tanpa mengambil mudah tugas tersebut. Meskipun telah melalui majlis ini bertahun-tahun namun sedikit kesilapan akan menyebabkan kecacatan pada majlis yang akan menjadi bualan para tetamu.

Hazila turut mengakui beliau gembira dengan kerjasama dan bakat yang ditunjukkan oleh ahli jawatankuasanya yang memudahkan beliau untuk mengemudi JKK ini. Beliau turut berpuas hati dengan bakat-bakat baharu yang dicungkil hasil ujibakat yang diadakan beberapa bulan sebelum berlangsungnya MK66.

Dua bakat baharu dari Fakulti Alam Bina dan Ukur, Nur Hanna Diana Turiman dan Nurul Aini A.Ghafar menyifatkan pemilihan mereka untuk memasuki bilik konti sebagai satu permulaan dalam era pengacaraan. “Memang dahulunya sekadar tertanya-tanya, milik siapakah suara ini, namun kini saya bersama-sama mereka di dalam bilik konti ini”, ujar Hanna yang teruja dapat mengumumkan nama graduan.

Bagi Aini pula, peluang sebegini digunakan untuk menambah jaringan perhubungan dengan staf di bahagian lain sambil menimba ilmu pengacaraan dari pengacara yang lebih berpengalaman. “Pengalaman ini sukar ditemui dan saya amat gembira bersama mereka yang tidak lokek berkongsi ilmu”, ujar Aini yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir.

Menyedari MK67 yang hanya akan berlangsung pada Oktober 2023, Hazila turut meminta semua ahlinya untuk terlibat secara langsung dengan pengacaraan majlis di dalam kampus bagi mengekalkan momentum, kemahiran dan mencari pengalaman agar mereka dapat mengekalkan prestasi cemerlang pada MK67. “Kita juga akui beberapa petugas sudah di ambang persaraan, namun kita sudah bersedia mengasah bakat baharu bagi membuat pelan penggantian”, ujar beliau.

 

Explore More