April 26, 2024

Search
Close this search box.

SIIFS 2022 perkasa kerjasama penyelidikan bidang tujahan Fakulti Sains dengan libatsama industri

Oleh: Dr. Siti Rohani Mohd Nor, Dr. Juan Matmin, Dr. Mohd Firdaus Abdul Wahab, dan Dr. Nurhidayah Ahmad

JOHOR BAHRU, 26 Okt. – Fakulti Sains (FS) dengan kerjasama Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) telah mengadakan Showcase Inovasi Industri Fakulti Sains (SIIFS) bertempat di Blok T02, Fakulti Sains, UTM Johor Bahru. Pameran ini dihadiri kira-kira 500 orang peserta dalam kalangan pensyarah, pelajar dan pihak industri dari seluruh negara.

SIIFS  dirancang sebagai platform untuk menghasilkan output perundingan dan penyelidikan bersama dengan pihak industri di samping dapat meningkatkan keterlihatan bakat (talent visibility) dari Fakulti Sains. Ia juga dilihat menyokong agenda libatsama industri yang didokong oleh CCIN selaku penyelaras data-data dan agenda libatsama industri Universiti.

Program kali ini mensasarkan kepada kolaborasi dalam kepakaran bidang yang mengkhususkan kepada bidang-bidang tujahan di Fakulti Sains (seperti Kimia, Fizik, Matematik dan Biosains). Sementara itu, dana sebanyak RM5,000 dari CCIN telah membantu pengurusan Fakulti Sains melancarkan dan menjayakan lagi SIIFS ini.

SIIFS membuka tirai dengan ucapan perasmian dari Prof ChM Dr. Zaiton Abdul Majid, Dekan Fakulti Sains, UTM. Pameran dimeriahkan dengan penyertaan daripada pihak industri, dan pusat-pusat penyelidikan UTM seperti UTM-CIAM, CSNano dan Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU), sesi perkongsian bersama pihak industri dan akademik, sesi temuduga bersama pelajar dan sesi perbincangan di antara wakil pihak fakulti bersama industri.

Antara objektif aktiviti-aktiviti ini diadakan adalah bagi memulakan kolaborasi penjanaan kewangan bersama industri, mewujudkan peluang MoA/MoU yang baru atau sedia ada bersama industri dan agensi, serta mewujudkan peluang penyelidikan atau perundingan kepada penyelidik Fakulti.

Menerusi program ini juga, pelajar berpeluang mendapat pengetahuan baru berkenaan kegunaan kursus yang mereka ambil kepada industri setelah melawat reruai pameran yang diadakan oleh industri.  Di samping itu, pelajar lebih terdedah kepada peluang kerjaya dan latihan industri yang boleh mereka ambil sesuai dengan kursus mereka setelah melawat reruai pameran yang diadakan oleh pihak industri.

Sesi plenari  telah disampaikan oleh beberapa orang penceramah daripada UTM dan juga  industri. Antara topik ceramah yang disampaikan oleh pihak UTM adalah berkenaan penyelidikan dan juga peluang kolaborasi yang boleh diwujudkan di antara pihak industri dan UTM. CIIFS melabuhkan tirai dengan ucapan dari Prof. Madya Dr. Johari Surif, Pengarah Pusat Komuniti dan Hubungan Industri (CCIN).

Diharapkan semoga SIIFS 2022 akan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat di antara industri dan universiti.  Secara tuntasnya, program ini boleh dilakukan lagi pada masa hadapan dengan mengundang industri berskala besar dan lebih meluas seterusnya memacu impak yang lebih memberangsangkan.

Pihak Fakulti Sains dan pihak industri bergambar di majlis penutup

Prof. ChM Dr. Zaiton Abdul Majid, Dekan Fakulti Sains, UTM, melawat reruai pameran Le Bourne.

Pelajar Fakulti Sains berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan di setiap reruai pameran.

Antara bekas pelajar UTM yang menyertai sesi temuduga bersama pihak industri di SIIFS 2022.

Salah satu daripada sesi perbincangan yang diadakan di antara wakil pihak industri bersama pihak fakulti.

Barisan jawatankuasa SIIFS 2022

 

Explore More