April 26, 2024

Search
Close this search box.

‘Sesi keterlibatan dengan pelajar perlu bermula dari awal’-Pengarah UTMCC

PUTRAJAYA, 20 Dis. – Begitulah hasrat Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) sebagai satu langkah bagi mengekalkan 100% responden dalam Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) bagi tahun 2022. Pengarahnya, Prof Madya CHm. Dr. Che Rozid Mamat berkata, pencapaian 2021 yang meletakkan UTM pada kedudukan teratas UA merupakan sesuatu yang mencabar untuk dikekalkan bagi tahun-tahun berikutnya, di samping ia memerlukan usaha yang berlipat ganda.

“Mengekalkan kedudukan pertama dalam ranking universiti awam bagi SKPG ini sesuatu yang memberi impak signifikan kepada prestasi visibility dan pemasaran universiti dan kami bersiap siaga untuk mengekalkannya walaupun dalam situasi yang mencabar,” ulas beliau ketika menghadiri siri kursus Training of Trainers: Coaching and Mentoring for Graduate Employability (GE) di Hotel Everly, Putrajaya semalam.

Kursus jangka pendek tiga hari ini merupakan persediaan penyelaras kebolehpasaran graduan dan penyelaras latihan industri menghadapi perubahan kehendak industri terhadap bekalan tenaga kerja mahir berkualiti dari universiti serta memantapkan teknik bagi membantu pelajar UTM sebagai seorang graduan yang menjadi buruan industri sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Kemenjadian pelajar ini akan terus meningkatkan kebolehpasaran graduan seterusnya mengekalkan prestasi UTM sebagai universiti yang sentiasa mengeksport modal insan berkualiti kepada pemain industri dan pasaran global. Kursus ini juga memberi kefahaman kepada semua penyelaras dalam mewujudkan modal insan holistik masa hadapan. 

Tan Sri Dato’ Sri Hj Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir, Group Managing Director Dagang NeXchange Berhad merupakan salah seorang penceramah dan trainer jemputan yang diundang untuk berkongsi pandangan mengenai bagaimana keperluan universiti untuk menyediakan graduan yang holistik selari dengan kehendak industri yang pesat membangun.

Hubungan universiti-industri ini juga perlu dipererat bagi memastikan pelajar sentiasa mendapat input dan mula berkenal rapat sedari awal dan sentiasa peka dengan perkembangan profesion masing-masing. Dalam sesi yang disampaikan beliau menegaskan bahawa graduate attributes seharusnya bermula sedari awal pelajar mendaftar dan perlunya penasihatan yang akrab dipupuk antara pensyarah sebagai mentornya.

Kursus ini juga disaran dibentuk secara modular agar semua pensyarah dapat membangunkan leadership attributes yang lebih efisien pada masa akan datang.

Turut serta bagi sesi kursus ini dua orang pakar dan kaunselor berdaftar dari Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Izwan Mahmod dan Prof. Madya Dr.Salleh Amat dari UKM Karier yang masing-masing menekankan kepentingan kemahiran asas kaunseling dalam pementoran dan career coaching graduan serta aplikasi dan teknik bimbingan kerjaya yang lebih efisien kepada semua penyelaras. 

Program ini diharap dapat melatih dan membimbing lebih ramai pensyarah yang peka dengan poembangunan kerjaya pelajar mereka dan dapat mengekalkan kebolehpasaran graduan UTM khasnya di pasaran kerja di masa akan datang. Perubahan dalam pembangunan modal insan ini seharusnya dimulakan sedari pelajar mendaftar di universiti agar dapat membantu mereka membentuk jatidiri yang lebih holistik di pasaran global.



Explore More