Mei 11, 2024

Search
Close this search box.

Ranhill SAJ syarikat utiliti air pertama negara raih pengiktirafan HACCP

Oleh: Sr Dr. Nurul Hana Adi Maimun & En. Mohamad Saufee Anuar

Air ialah sumber semula jadi yang digunakan untuk aktiviti pertanian, perindustrian, isi rumah, rekreasi dan persekitaran. Air yang berkualiti dapat menjamin kesempurnaan hidup dan sangat berkait rapat dengan kesihatan. Air yang tercemar dengan bakteria seperti seperti Escherichia coli dan pseudomonas menyebabkan wabak penyakit yang boleh mengancam nyawa.

Kandungan arsenik yang tinggi dalam air minuman boleh menyebabkan kerosakan saraf, jantung, kulit dan saluran darah. Manakala tahap plumbum yang tinggi dalam air minuman menjejaskan perkembangan fizikal dan mental terutamanya kanak-kanak. Menyedari kepentingan dan kesan air dalam kehidupan seharian, bekalan air berkualiti amat penting kepada masyarakat.

Oleh yang demikian, adalah satu keperluan kepada syarikat pembekal air untuk mendapatkan pensijilan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) dalam usaha membekalkan air bersih, selamat dan berkualiti kepada masyarakat.

Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) umpamanya, telah memperoleh pensijilan HACCP bagi 44 buah loji rawatan air di negeri Johor, demi memenuhi komitmen ke arah membekalkan air yang selamat, bersih dan berkualiti kepada lebih 1.2 juta pengguna di Johor.

Usaha mendapatkan pensijilan ini juga menjadikan Ranhill SAJ sebagai syarikat pembekal air bersih pertama yang menerima pengiktirafan di bawah Skim Pensijilan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. Pengiktirafan HACCP di Ranhill SAJ adalah berdasarkan keperluan standard MS 1480 Food Safety According to Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) Systems Standards, MS 1514 Good Manufacturing Practices; dan Piawaian Kualiti Air Minuman Kebangsaan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pensijilan HACCP adalah bukti yang menunjukkan Ranhill SAJ patuh akan piawaian dalam operasi pemprosesan kawalan kualiti air terawat serta menjamin kualiti air selamat digunakan oleh pengguna.

Terdiri daripada pensijilan saintifik, rasional dan sistematik terhadap pengenalpastian, penilaian dan kawalan bahaya, HACCP penting bagi memastikan makanan selamat untuk digunakan oleh pengguna. Pencapaian ini juga boleh dijadikan sebagai tanda aras kepada syarikat-syarikat operator air di negeri lain untuk mendapatkan pengiktirafan sijil HACCP ini.

Skim pensijilan ini adalah sah untuk diguna pakai dalam sektor perniagaan makanan terlibat bermula daripada; penyediaan, pemprosesan, pembuatan, pembungkusan, penyimpanan, pengangkutan, pengedaran, pengendalian, pembekalan dan penawaran produk makananan yang dipasarkan melalui pelbagai jenis perniagaan yang telah diiktiraf oleh badan yang bertanggungjawab.

 

Explore More