April 27, 2024

Search
Close this search box.

Program Geomatik Di Hatiku jalin perkongsian pintar UTM bersama POLISAS

KUANTAN, 15 Nov. – Satu lawatan Program Geomatik di Hatiku bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dijalankan oleh pihak Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang bersama Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU).

Lawatan ini sebagai satu langkah bukan sahaja bertujuan merapatkan ukhuwah antara pensyarah-pensyarah FABU dengan POLISAS, malah ianya merupakan satu kaedah pemasaran kepada pelajar-pelajar yang sedang mengikuti program Diploma Geomatik di POLISAS untuk memilih UTM sebagai universiti pilihan bagi menyambung pengajian mereka ke peringkat sarjana muda kelak. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan memberi peluang para pensyarah bertukar idea berkenaan hala tuju bidang Geoinformasi pada masa hadapan.

 

Delegasi lawatan ini telah diketuai oleh Sr Dr. Othman Zainon dan turut serta adalah Sr Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim, Dr. Hanif Hamden sebagai pensyarah pengiring dan turut dibantu oleh Saudara Mohd Azizi Alim Shah yang merupakan pelajar pasca-siswazah Kejuruteraan Geomatik. Delegasi lawatan telah disambut oleh Timbalan Pengarah (Akademik) POLISAS, Puan Wan Zuraida Wan Yusoff, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam POLISAS iaitu Puan Rosmiza Wira dan barisan pensyarah POLISAS.

Ketua delegasi, Sr Dr. Othman Zainon telah menyampaikan taklimat pengenalan berkenaan UTM serta syarat-syarat kemasukan pelajar ke bidang Kejuruteraan Geomatik kepada pelajar dan pensyarah POLISAS. Di samping itu, aktiviti cerapan alat Global Navigation Satellite System (GNSS) telah dijalankan dengan bantuan saudara Mohd Azizi Alim Shah. Pertandingan dalaman juga diadakan bagi memberi kefahaman tambahan serta mengeratkan hubungan dengan pelajar POLISAS.

 

Penganjuran program lawatan delegasi UTM ke POLISAS ini sedikit sebanyak memberi pendedahan dan pemasaran berkenaan FABU kepada pihak politeknik. Diharapkan jalinan kerjasama ini akan memberi impak kepada bidang pembelajaran dan pengajaran Kejuruteraan Geomatik di masa akan datang.

Explore More