April 18, 2024

Search
Close this search box.

Pengaruh: Satu elemen penting dalam kepimpinan

Pengaruh ialah keupayaan untuk memujuk seseorang untuk berfikir atau bertindak mengikut cara yang diingini atau untuk mencapai sesuatu matlamat. Keupayaan untuk mempengaruhi orang lain adalah kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh seseorang  pemimpin. Orang yang berpengaruh sudah pasti berupaya menyiapkan sesuatu tugasan, membuat keputusan dan mempunyai kebolehan untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama.

Beberapa perkara perlu dititikberatkan dalam mendapatkan pengaruh daripada subordinat atau mengekalkan pengaruh yang sedia ada di dalam sesebuah organisasi, antaranya ada seperti yang berikut:

  1. Menetapkan Matlamat / Jangkaan: Sebagai pemimpin yang berkesan, keupayaan untuk menetapkan dan mengekalkan matlamat atau jangkaan yang jelas dan khusus adalah amat penting. Pemimpin mestilah menetapkan jangkaan yang jelas tentang perkara yang dijangkakan, hasil yang diingini, tempoh masa untuk menyiapkan dan lain-lain lagi.
  2. Komunikasi berkesan pelbagai hala: Pemimpin yang berpengaruh mempunyai kemahiran komunikasi yang efektif. Mereka mengamalkan komunikasi pelbagai hala, memberi peluang kepada subordinatnya untuk bertanya soalan, mendapatkan penjelasan mengenai jangkaan, menyuarakan pandangan dan berkongsi pendapat. Pemimpin yang berpengaruh mempunyai hubungan yang baik dan positif dengan orang-orang bawahannya.
  3. ‘Follow-up’: Setelah pemimpin menetapkan jangkaan, matlamat atau hala tuju yang jelas dan menugaskan subordinatnya untuk melaksanakan sesuatu tugasan, mereka akan memastikan tugasan itu dilaksana dengan selalu membuat ‘follow-up’ secara berkala. Selain daripada itu, pemimpin yang berpengaruh sentiasa memberi motivasi dan galakan kepada orang bawahannya. Mereka kerap bertanya soalan yang bernas dan mendengar pendapat atau luahan perasaan subordinatnya dengan teliti. Usaha pemimpin sebegini membuatkan subordinat merasa sangat dihargai seterusnya akan meningkatkan keupayaan pemimpin untuk mempengaruhi dan membimbing pemikiran dalam membuat pelbagai keputusan.
  4. Memantau dan menambahbaik: Pemimpin perlu memainkan peranan untuk memantau aktiviti subordinat dalam menjayakan sesuatu tugasan. Mereka perlu memberi sokongan dan cuba menambahbaik sekiranya ada masalah yang menyebabkan sesuatu tugasan terganggu atau tergendala. Pemimpin perlu memantau dan menyemak dengan kerap tentang kemajuan pasukan mereka. Pemimpin perlu menggalakkan subordinatnya untuk berkerja secara kolaboratif jika terdapat sebarang isu yang menghalang mereka untuk memastikan hasil yang berjaya.
  5. “3K” untuk Meningkatkan Pengaruh: Kecekapan, kredibiliti dan keyakinan (3K) membantu pemimpin untuk mewujudkan kredibiliti dan meningkatkan keupayaan untuk mempengaruhi. Apabila berkomunikasi dengan subordinat, jadilah pemimpin yang cekap, mempunyai kredibiliti untuk memimpin, menggalakkan budaya kolaboratif , berpendirian teguh dan tegas tetapi mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. Pemimpin perlu menyandarkan arahan yang diberi dengan yakin dan dengan fakta dan contoh sebenar tentang bagaimana ia dapat memenuhi dan melebihi jangkaan.
  6. Raikan perbezaan : Pemimpin yang berpengaruh sentiasa memanfaatkan perbezaan yang ada di dalam sesebuah organisasi. Perbezaan pendapat dalam kalangan subordinat adalah perkara biasa dalam mana-mana persekitaran kerja. Walau bagaimanapun, sebagai pemimpin, mereka perlu menetapkan standard untuk menangani masalah yang wujud kesan daripada perbezaan ini. Berpegang kepada fakta dan menahan diri daripada menjadi terlalu emosi dan bertindak adil dalam menangani setiap salah faham dan konflik akan membantu pemimpin untuk menyelesaikan masalah dan kekal dihormati.
  7. Bantu Memanfaatkan Pengaruh dengan Cara Bermakna: Sebagai seorang pemimpin, mereka selalu menjadi role model. Kata-kata dan tindakan yang ambil oleh pemimpin yang berkesan dan berpengaruh selalunya dapat mempengaruhi subordinat mahupun orang di sekeliling. Oleh kerana itu, adalah menjadi kemestian seseorang pemimpin untuk sentiasa menunjukkan atitud yang positif, autentik dan tidak berpura-pura didalam semua situasi samada dalam karier dan kehidupan sebenar.

Pemimpin yang berkesan mempunyai keupayaan untuk mempengaruhi subordinatnya untuk berusaha menjalankan tugas dan mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan. Beberapa strategi perlu diimplementasikan dalam usaha untuk mendapatkan pengaruh daripada subordinat atau mengekalkan pengaruh yang sedia ada di dalam sesebuah organisasi.

Explore More