April 23, 2024

Search
Close this search box.

NODAL 2022: Sinergi FKM UTM dan Kulim (Malaysia) Berhad jayakan pertandingan reka bentuk kincir air

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal

KOTA TINGGI, 21 Dis. – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Kulim (Malaysia) Berhad telah menganjurkan program Novice Development for Aspiring Legacy (NODAL) 2022 dari 20 sehingga 21 Disember bertempat di Pusat Latihan Kulim, Kota Tinggi, Johor. Dengan tema “Kelestarian Ilmu ke Arah Generasi Berinovasi”, ini merupakan program yang julung kali diadakan antara dua pihak.

Antara matlamat utama program adalah untuk melahirkan generasi muda yang mampu menjana pemikiran kreatif dan inovatif, sekali gus membentuk bakal pemimpin negara di masa hadapan. Seramai 27 murid sekolah rendah yang juga merupakan anak-anak kakitangan Kulim (Malaysia) Berhad telah terlibat sebagai peserta dalam program ini.

Pertandingan kapal terbang kertas (paper plane flying competition).

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan secara hands-on kemahiran-kemahiran seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, kemahiran berkomunikasi dan bercakap di hadapan serta bekerjasama dalam satu pasukan. Seramai enam orang fasilitator terdiri daripada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah FKM telah terlibat secara langsung membantu dalam memberi tunjuk ajar kepada para peserta.

Fasilitator memberi tunjuk ajar kepada para peserta.

NODAL 2022 menjadikan dua aktiviti berbentuk pertandingan sebagai teras program iaitu pertandingan kapal terbang kertas (paper plane flying competition) dan pertandingan reka bentuk kincir air (water turbine design competition). Pertandingan kapal terbang kertas dilaksanakan secara individu, manakala pertandingan reka bentuk kincir air diadakan mengikut kumpulan yang telah dibahagikan.

Peserta tekun merekabentuk kincir air.

“NODAL 2022 merupakan satu inisiatif yang amat baik dalam melahirkan pelapis dan generasi baharu saintis, jurutera dan teknokrat, dengan harapan negara tidak akan ketandusan bakat-bakat tersebut sekali gus memastikan kemampanan pembangunan negara di masa akan datang,” ulas Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Norizah Redzuan.

“Anak-anak ini mempunyai masa hadapan yang cerah. Program seperti NODAL ini sewajarnya diteruskan pada masa akan datang seterusnya menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik agar mereka menjadi lebih kreatif dan inovatif,” jelas Pengurus Besar Kelestarian, Inovasi & Projek Kulim (Malaysia) Berhad, En. Wan Adlin Wan Mahmood.

Prof. Lee Keon Beom bergambar bersama para peserta.

NODAL 2022 turut menampilkan Profesor Pelawat dari Korea Selatan, Prof. Lee Keon Beom sebagai juri jemputan khas, dibantu barisan pensyarah kanan FKM iaitu Prof. Madya Dr. Norizah Redzuan, Dr. Mohd Faridh Ahmad Zaharuddin, Ts. Zulkifli Muhammad, Dr. Najla Nazihah Mas’ood, En. Roslin Yasak dan Puan Kasmawati Gumanti.

Sesi ujian dan penilaian rekabentuk kincir air.

Proses penjurian dan penilaian pertandingan reka bentuk kincir air melibatkan enam kumpulan iaitu kumpulan Hokaido, Evos, Spring, Ibnu Sina, King Cobra dan Super Engineer. Setiap kumpulan dinilai berdasarkan keberkesanan fungsi kincir air, kecekapan kincir air dalam menjana tenaga elektrik dan pembentangan konsep rekabentuk kincir air.

Sesi pembentangan dan demonstrasi.

Kemuncak NODAL 2022 telah menyaksikan kumpulan Super Engineer telah dinobatkan sebagai pemenang utama (Grand Prize Award). Sementara itu, Nor Nadia Alesya Mohd Hadzhar telah dipilih barisan juri sebagai pembentang terbaik.

Super Engineer dinobatkan penerima hadiah utama (Grand Prize Award).
Nor Nadia Alesya Mohd Hadzhar dinobat pembentang terbaik.

Penganjuran NODAL 2022 mampu menjadi batu loncatan dalam membentuk generasi berinovasi sekali gus melahirkan bakal teknokrat yang akan memastikan kelestarian pembangunan negara di masa akan datang.

Kumpulan Evos.
Kumpulan Super Engineer.
Kumpulan Hokaido.
Kumpulan Ibnu Sina.
Kumpulan King Cobra.
Kumpulan Spring.

Explore More