April 27, 2024

Search
Close this search box.

Konflik merujuk kepada perselisihan atau pertentangan antara individu, idea, kepentingan dan lain-lain. Kewujudan Konflik di dalam sesebuah organisasi adalah disebabkan oleh pelbagai punca, antaranya disebabkan perbezaan atau percanggahan pendapat antara individu berkaitan sesuatu maklumat atau tujuan, cara menjalankan tugas, perselisihan kefahaman terhadap sesuatu keterangan, fakta, atau nilai iaitu salah atau benar sesuatu perkara membabitkan kepenti­ngan organisasi.

Perselisihan pendapat boleh disebabkan oleh personaliti yang bertentangan, perebutan kuasa, konflik peranan, ego dan kebanggaan dan percanggahan prestasi antara isu lain. Konflik yang tidak diuruskan dengan baik akan memberi kesan yang negatif kepada organisasi yang dipimpin, antaranya seperti yang berikut:

  1. Persekitaran tempat kerja toksik: Adalah sesuatu yang mengecewakan apabila kita berurusan dengan kakitangan yang tidak bertegur antara satu sama lain disebabkan konflik yang tidak diselesaikan. Persekitaran seperti itu dibelenggu oleh gosip dan sabotaj dan ia menjadi lebih parah apabila suasana berakhir dengan pergaduhan fizikal dan lain-lain lagi.
  2. Produktiviti rendah: Kakitangan yang berada dalam konflik tidak akan menunjukkan prestasi yang cemerlang. Setiap saat mereka berkerja di dalam organisasi, mereka merasakan mata memandang mereka dan bergossip tentang mereka. Lebih teruk lagi, konflik di tempat kerja membawa kepada tahap saling menyalahkan antara satu sama lain dan sikap suka menuding jari. Persekitaran bekerja negatif seperti ini akan menjejaskan semangat pekerja dan produktiviti.
  3. Kos dan Masa: Banyak masa terbuang untuk mengurus konflik dan usaha untuk menyelesaikannya. Terdapat kesan sampingan dan melibatkan kos dalam mengurus konflik di tempat kerja termasuk tindakan undang-undang, keganasan, perpecahan, dan masalah kesihatan antara masalah lain.

Kecemerlangan sesebuah organisasi bergantung kepada sejauh mana keupayaannya mengekalkan kesejahteraan persekitarannya sama ada dalaman atau luaran. Bagi menjamin kesejahteraan persekitaran kerja dalam sesebuah organisasi, aspek pengurusan konflik adalah satu kemahiran perlu dititikberatkan oleh pemimpin.

Seorang pemimpin yang efektif berupaya untuk memastikan perselisihan faham atau konflik  diselesaikan lebih awal sebelum ia menjadi lebih kronik. Berikut adalah antara tips yang boleh diimplementasikan dalam usaha untuk mengurus konflik di dalam sesebuah organisasi:

1. Menerima hakikat bahawa konflik di tempat kerja tidak dapat dielakkan

Pemimpin perlu menerima kenyataan bahawa konflik wujud dalam mana-mana organisasi  dan menyedari akan ada pasukan yang tidak bekerjasama. Organisasi yang terbaik tidak semestinya organisasi tanpa konflik, tetapi organisasi di mana perselisihan atau konflik  ini berjaya diselesaikan secara berkesan.

2. Selesaikan Konflik Awal

Sebagai pemimpin yang sibuk dengan beban tugas yang sedia ada, kadang kala mereka akan menangguhkan usaha kepada penyelesaian konflik. Adalah penting untuk bertindak dengan segera dalam mengurus konflik sebelum ia menjadi lebih kronik.

3. Amalkan komunikasi dan budaya yang cemerlang

Amalan komunikasi yang cemerlang, budaya hormat menghormati  dan bekerjasama di tempat kerja adalah amat penting. Dalam mana-mana konflik di dalam sesebuah organisasi, kekurangan komunikasi adalah antara faktor utama penyebab berlakunya konflik.

4. Kekalkan Profesionalisme dan Adil

Pemimpin yang efektif menangani perselisihan pendapat  atau konflik di dalam  organisasi secara profesional dan secara adil. Sesetengah konflik boleh menjadi peribadi  jika tidak diselesaikan dengan baik.

5. Manfaatkan Konflik sebagai Peluang

Konflik boleh bertukar menjadi peluang yang hebat sekiranya pemimpin bersedia untuk menerima idea-idea baharu. Sebagai contoh, apabila berlakunya konflik, satu mesyuarat boleh diadakan untuk memberi kebebasan kepada kakitangan untuk meluahkan perasaan, pendapat dan idea-idea baru yang boleh digunakan untuk memperbaiki keadaan kerja dalam sesebuah organisasi.

6. Selesaikan Konflik dan ‘Move on’

Sebaik sahaja konflik telah berjaya diselesaikan, pemimpin perlu melangkah terus ke hadapan, melupakan apa yang telah berlaku atau tidak perlu mengungkit-ungkit kisah lama. Jika mereka memikirkan tentang isu yang telah berlaku secara berterusan, ia mewujudkan rasa risau dan takut berulang lagi dan ini akan menjejaskan produktiviti.

Pengurusan konflik adalah satu bahagian yang amat penting dalam pengurusan organisasi. Pemimpin mesti menggalakkan  kakitangan di dalam organisasi untuk memahami peranan mereka, mengamalkan  komunikasi yang efektif, budaya hormat-menghormati dan bekerjasama sebagai satu pasukan. Usaha murni ini akan membantu pemimpin dan subordinatnya untuk mengurangkan konflik di dalam sesebuah organisasi.

Explore More