April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 13 Dis. – Apabila kita menyebut tentang kuasa, ramai yang berfikiran tentang sumber kuasa dan kawalan  yang dimiliki oleh seorang pemimpin peringkat  atasan dalam  sesebuah organisasi. Tetapi sebenarnya, terdapat sumber kuasa lain yang boeh digunakan  untuk mempengaruhi orang lain.

Kuasa  boleh didefinasikan sebagai  keupayaan untuk mempengaruhi tingkah laku orang lain dengan menggunakan pelbagai taktik untuk menolak atau bertindak dengan  segera. Kuasa adalah keupayaan untuk menyelesaikan sesuatu. Orang yang mempunyai kuasa mampu mempengaruhi tingkah laku orang lain untuk mencapai matlamat atau objektif.

Segelintir manusia menganggap kuasa adalah sesuatu yang buruk, tetapi ia adalah fakta kehidupan organisasi dan tidak dapat dielakkan. Sebenarnya, baik atau buruknya kuasa adalah bergantung bagaimana ia digunakan dan dimanfaatkan oleh orang yang memilikinya.

Kuasa datang dari beberapa sumber dan setiap satunya mempunyai kesan yang berbeza terhadap sasaran kuasa tersebut. Terdapat tujuh jenis kuasa yang dikenalpasti iaitu kuasa sah, rujukan, pakar, ganjaran, paksaan, maklumat dan hubungan.

  1. Kuasa Sah: Kuasa sah dimiliki oleh individu daripada jawatan, peranan dan status mereka dalam organisasi. Kuasa sah ini biasanya melibatkan kuasa formal yang diwakilkan kepada pemegang jawatan.
  2. Kuasa Rujukan: Kuasa rujukan adalah daripada keupayaan individu untuk menarik orang lain dan membina kesetiaan mereka berdasarkan karisma, keperibadian yang positif dan kemahiran interpersonal yang hebat dan menarik seseorang pemegang kuasa.
  3. Kuasa Pakar: Kuasa pakar diperoleh daripada kemahiran dan pengetahuan seseorang yang sangat diperlukan untuk mencapai sesuatu objektif. Kuasa pakar ini biasanya hanya terpakai dalam bidang khusus kepakaran dan kredibiliti seseorang.
  4. Kuasa Ganjaran: Kuasa ganjaran merujuk kepada keupayaan untuk memberikan ganjaran material yang bernilai atau memberi insentif keatas tingkahlaku atau hasil yang positif. Ia merujuk kepada tahap di mana individu itu boleh memberikan motivasi luaran kepada orang lain melalui faedah atau hadiah, kenaikan pangkat, kenaikan gaji atau cuti tambahan.
  5. Kuasa Paksaan: Kuasa paksaan ialah ancaman, denda dan penggunaan sekatan. Ini boleh termasuk hukuman langsung atau penahanan sumber atau ganjaran yang diingini.
  1. Kuasa Maklumat: Kuasa maklumat diperoleh daripada akses kepada fakta dan pengetahuan yang berguna. Kuasa maklumat menawarkan kelebihan dalam membina kredibiliti dan pujukan rasional. Ia juga boleh menjadi asas untuk pertukaran yang bermanfaat dengan orang lain yang mencari maklumat tersebut.
  2. Kuasa Perhubungan: Kuasa perhubungan ialah pengaruh yang diperoleh oleh pemimpin melalui rangkaian formal dan tidak formal mereka di dalam dan di luar organisasi mereka.

Semua sumber dan penggunaan kuasa ini boleh digabungkan untuk mencapai satu matlamat. Pemimpin atau seseorang individu  boleh menggunakan lebih daripada satu  sumber kuasa yang dinyatakan diatas. Lebih banyak sumber kuasa yang boleh diakses oleh seseorang, lebih besar kuasa dan keupayaannya untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau tugasan di dalam sesebuah organisasi.

Explore More