April 24, 2024

Search
Close this search box.

Kepakaran UTM realisasi Pelan Induk Pembangunan Bandar Baru Sri Palong 4, 5 dan 6, Jempol, Negeri Sembilan

SEREMBAN, 13 Dis. – Kajian kebolehlaksanaan merupakan satu proses yang sangat penting untuk dijalankan di peringkat awal sebelum sesuatu projek pembangunan dapat dilaksanakan di sesebuah tapak pembangunan yang disasarkan terutamanya apabila melibatkan projek pembangunan yang berskala besar dan melibatkan komitmen kewangan yang tinggi.  Selain bertujuan untuk menilai daya maju sesebuah cadangan pembangunan, kajian kebolehlaksanaan juga bertujuan untuk mengurangkan ketidakpastian dan risiko pembangunan.

Kerajaan Negeri Sembilan, melalui Pejabat Daerah dan Tanah Jempol telah menyatakan hasrat kepada perunding-perunding pakar daripada Uni-Technologies Sdn Bhd, anak syarikat UTM bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan sekaligus mencadangkan Pelan Induk Pembangunan Bandar Baru Sri Palong 4,5 dan 6 dalam Daerah Jempol, Negeri Sembilan. FELDA Palong 4, 5 dan 6 merupakan sebahagian daripada Gugusan FELDA Palong di bawah FELDA Wilayah Raja Alias yang terletak dalam daerah Jempol, Mukim Rompin, Negeri Sembilan.

Kedudukan FELDA Palong 4, 5 dan 6 yang bersebelahan antara satu sama lain memberikannya kelebihan iaitu berpotensi untuk dibangunkan sebagai sebuah pusat bandar baharu yang akan memberi manfaat kepada penduduknya serta kawasan sekitarnya. Jaraknya yang jauh iaitu 50 km dari Bandar Seri Jempol dan 30 km dari Bandar Gemas juga menunjukkan wujudnya keperluan yang tinggi agar satu pusat bandar dapat dibangunkan dalam kawasan FELDA Palong 4, 5 dan 6 bagi menjimatkan masa dan kos penduduk untuk mendapatkan kemudahan harian serta perkhidmatan.

Limpahan manfaat kepada penduduk di kawasan FELDA lain seperti FELDA Palong 7 dan 8 juga dijangka akan dapat berlaku sekiranya sebuah pusat bandar baharu yang terancang dibina di kawasan FELDA Palong 4, 5 dan 6. Pembangunan pusat bandar yang terancang amat penting bagi menjamin kelestarian kawasan luar bandar terutamanya dalam meningkatkan potensi ekonomi luar bandar, maka mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar.

Kajian kebolehlaksanaan pembangunan ini telah dijalankan bermula 15 Julai sehingga 15 Disember 2022. Pasukan perunding yang terlibat di dalam kajian ini terdiri daripada pakar-pakar yang mempunyai latarbelakang pentadbiran dan pembangunan tanah, pengurusan aset dan fasiliti serta perancangan bandar dan wilayah.

Pasukan ini diketuai oleh Dr. Ainur Zaireen binti Zainudin, manakala ahli-ahli pasukan ini terdiri daripada Dr. Norhidayah binti Md. Yunus, Dr. Mohamad Fadhli bin Rashid, Dr. Muhamad Amir Afiq bin Lokman, Dr. Hariati binti Abdullah Hashim, Dr. Azizah binti Ismail, Encik Mohd Hezul Hezri bin Hassan, Saudara Sia Pong Hock, Saudari Norhafiza binti Abdullah dan Saudari Nurul Suliana binti Yusoff. Kesemua mereka ini merupakan staf akademik, staf bukan akademik dan pelajar-pelajar pascasiswazah daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM.

Kajian ini mengambil kira kebolehlaksanaan pembangunan dari perspektif perundangan dan pemilikan tanah, fizikal dan sosioekonomi. Aspek perundangan dan pemilikan tanah amat penting untuk diberi penelitian kerana kawasan sasaran pembangunan Bandar Baru Sri Palong 4,5,6 merupakan sebahagian dari kawasan penempatan berkelompok yang diwartakan di bawah Akta GSA 1960.

Status pemilikan tanah-tanah peneroka serta pemilikan, perizaban dan penggunaan tanah di kawasan kajian telah dikenal pasti. Aspek-aspek seperti bidang kuasa pihak-pihak yang berkepentingan, prinsip caramilik tanah, tatacara pengawalseliaan tanah rancangan, halangan dan potensi pembangunan tanah rancangan berdasarkan peruntukan perundangan-perundangan berkaitan juga telah dikenal pasti dan dianalisis.

Dalam aspek fizikal, kedudukan Bandar Baru Sri Palong 4,5,6 yang strategik di mana berada di tengah-tengah antara beberapa bandar-bandar utama disekitarnya seperti di negeri Pahang iaitu Muadzam Shah, negeri Johor iaitu Segamat dan Negeri Sembilan iaitu Bahau dan Bandar Seri Jempol dapat merangsang jenis pembangunan yang inklusif berdasarkan keperluan dan tadahan penduduk setempat dan sekitarnya.

Kajian mendapati jenis pembangunan yang dirancang bagi Bandar Baru Sri Palong 4,5,6 adalah untuk melengkapkan fungsi hierarki petempatan iaitu Pusat Petempatan Kecil (PPK) dengan penyediaan kemudahan-kemudahan yang dapat memenuhi keperluan tempatan seperti  perkhidmatan sosial yang inklusif, hub aktiviti agro-pelancongan, koridor kawasan perniagaan dan industri kecil dan sederhana (IKS).

Manakala bagi aspek sosioekonomi, penduduk di Bandar Baru Sri Palong 4,5,6 telah mempunyai hubungan jalinan kerjasama yang baik di antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, perkembangan ekonomi mereka masih lagi terhad dan tidak strategik. Dengan pelaksanaan pembangunan ke arah bandar baru yang strategik, tersusun dan selamat, maka pertumbuhan sosioekonomi yang lebih baik akan   dapat memberi impak positif ke atas peningkatan pendapatan, pengurangan kadar pengangguran dan kemiskinan, serta peningkatan keselamatan di kawasan tersebut.

Ini kerana pertumbuhan sosioekonomi akan menyebabkan berlakunya peningkatan aktiviti berkaitan ekonomi dalam pelbagai sektor yang membawa kepada peningkatan jumlah pendapatan penduduk. Penjanaan ekonomi yang tersusun akan menyerlahkan impak positif kepada masyarakat dan komuniti dari segi pembangunan serta kemajuan individu, keluarga dan komuniti seterusnya dapat memastikan penduduk FELDA dapat berdaya saing bukan sahaja pada peringkat kawasan, daerah, negeri, malah di peringkat negara juga.

Berdasarkan kajian kebolehlaksanaan yang dilaksanakan berdasarkan ketiga-tiga perspektif di atas, maka kaedah pembangunan dan konsep pembangunan yang terbaik untuk membangunkan Bandar Baru Sri Palong 4,5,6 dapat dikenal pasti. Selain itu, kajian implikasi penamatan kawasan penempatan berkelompok yang telah dilakukan telah berupaya mengesahkan potensi kaedah pembangunan yang dipilih.

Pelan Induk Pembangunan Bandar Baru Sri Palong 4,5,6 mencadangkan agar kawasan kajian dibangunkan tanpa melalui penamatan dari kawasan penempatan berkelompok di bawah Seskyen 44 Akta GSA 1960. Pelan Induk ini juga mencadangkan agar pihak FELDA terus menjadi salah satu agensi pelaksana dan pemantau bersama-sama PBN dan PBT. Menerusi kaedah ini, didapati bahawa Bandar Baru Sri Palong 4,5,6 berpontesi untuk dibangunkan menggunakan konsep pembangunan ‘Regeneration and Revitalization’ yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonominya pada masa hadapan.

Hasil akhir kajian ini telah dibentangkan kepada YAB Dato’ Seri Menteri Besar Negeri Sembilan dan kepimpinan tertinggi Kerajaan Negeri pada 13 Disember 2022 yang lepas.

Explore More