April 16, 2024

Search
Close this search box.

Oleh : Nurul Suliana Yusoff

JOHOR BAHRU, 10 Dis. – Institusi Pembangunan Felo (IPF) Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Kolej Rahman Putra (KRP) telah menganjurkan Program Khatan Perdana UTM 2022 sempena cuti sekolah di Dewan Sri Meranti, Kolej Rahman Putra. Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Pusat Kesihatan UTM, Team Amal Medic83 UKM, BAKES UTM, Pusat Islam UTM dan Perumahan Desa Bakti UTM.

Seramai 100 orang peserta telah menyertai program ini, rata-ratanya daripada anak-anak staf UTM, kanak-kanak yang tinggal di Perumahan Desa Bakti serta kanak-kanak di sekitar Johor Bahru yang berusia 4 tahun hingga 12 tahun. Bagi mengurangkan debaran para peserta, penganjur mengambil inisiatif menayangkan filem kartun semasa mereka menunggu giliran untuk berkhatan.

BAKES UTM telah menaja RM30 bagi setiap bayaran khusus untuk anak ahli BAKES. Sementara itu, Pusat Islam UTM turut memberi sumbangan bayaran sebanyak RM100 kepada anak penduduk Desa Bakti yang menyertai program ini.

Inisiatif mengadakan majlis khatan beramai-ramai sempena cuti persekolahan oleh IPF dan KRP telah berjaya membantu ibu bapa menunaikan tanggungjawab ke atas anak-anak yang hampir cukup umur atau akil baligh sekali gus meringankan beban kewangan mereka, tambahan pula bayaran yang dikenakan adalah amat berpatutan.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail meninjau suasana Program Khatan Perdana UTM 2022.
Pelajar dari Cambodian Muslim Youth Alliance sebagai pembantu mudim bergambar bersama Naib Canselor UTM.
Peserta khatan bersama Tok Mudim dan Pembantu Mudim.
Tayangan filem kartun menghiburkan kanak-kanak sebelum menunggu giliran berkhatan.
Proses berkhatan sedang berjalan.
Wajah-wajah ceria kanak-kanak yang terlibat dalam Khatan Perdana UTM 2022.

Explore More