April 26, 2024

Search
Close this search box.

Inisiatif Jalur & Laluan: Gambaran masa depan hubungan Malaysia-China

Oleh Mohd Fadthul Ikmal Misnal

JOHOR BAHRU, 13 Dis. – Inisiatif Jalur & Laluan (Belt & Road Initiative) akan memasuki ulang tahun ke-10 pada tahun hadapan sejak diperkenalkan oleh Presiden China, Xi Jinping sewaktu lawatan beliau ke Kazakhstan dan Indonesia pada 2013.

Dalam tempoh 9 tahun pelaksanaannya, inisiatif ini menjadi antara aspirasi negara Tembok Besar itu dalam membangunkan masyarakat dunia demi kebaikan sejagat, di samping mengamalkan prinsip rundingan terbuka merentas sempadan demi manfaat bersama.

Kuasa Usaha Kedutaan China di Malaysia, Tuan Yang Terutama Tang Rui berkata “kunci untuk mencapai hasrat Inisiatif Jalur & Laluan terletak kepada kebolehhubungan (interconnectivity) menerusi pembangunan infrastruktur pengangkutan seperti jaringan jalan raya dan laluan kereta api yang menghubungkan antara satu pelabuhan ke pelabuhan yang lain.

Ucapan perasmian penutup Belt & Road Initiative Symposium disempurnakan Kuasa Usaha Kedutaan China di Malaysia, Tuan Yang Terutama Tang Rui.

“Kebolehhubungan ini membantu mengurangkan kos logistik import dan eksport merentas negara, mempercepat masa penghantaran barang mentah dan mewujudkan rantaian bekalan global bagi memenuhi keperluan penduduk dunia.

“Dalam konteks Malaysia, kerajaan China menjadi tunjang dalam pembangunan East Coast Rail Link’s (ECRL) menerusi kontraktor utamanya, China Communications Construction Company (CCCC). Projek ECRL mampu menjadi game changer dalam membawa dampak ekonomi di Pantai Timur apabila laluan tersebut akan menghubungkan dua pelabuhan utama negara, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan.

“Projek ini memberi manfaat buat rakyat Malaysia apabila 80,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan sewaktu fasa pembinaan, dengan 6,000 pekerjaan melibatkan sektor pengoperasian, sekali gus melahirkan lebih 3,000 profesional dan pakar dalam pembangunan dan operasi kereta api di Malaysia,” jelas beliau.

Sesi penyampaian cenderamata.

Tuan Yang Terutama Tang Rui berucap ketika merasmikan Majlis Penutup Belt & Road Initiative Symposium bertempat di Dewan Senat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru. Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, YB Tuan Lee Ting Han; Timbalan Presiden Persatuan Jalur & Laluan Malaysia, Dato Lim Kah Chuan; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTM, Prof. Sr Dr. Hishamuddin Mohd Ali dan Pengurus Besar Southeast Asia Research Centre for Humanities (SEARCH), Cik Yvonne Tiew.

Sementara itu, YB Tuan Lee Ting Han berkata “Johor turut menerima limpahan manfaat hasil inisiatif Jalur & Laluan ini. Sebagai contoh, Bridge Data Centres (BDC), sebuah syarikat yang berpangkalan di China yang juga disenaraikan di Bursa Saham NASDAQ telah menubuhkan pusat data di Johor pada tahun ini.

“Ini merupakan sebahagian daripada pelaburan berimpak dan bernilai tinggi yang akan memacu kemajuan dan kemakmuran negeri Johor, sekali gus menjadi pemangkin menarik banyak lagi pelabur untuk bertapak di negeri ini,” ulas beliau dalam ucapannya.

Di pihak UTM pula, Prof. Sr Dr. Hishamuddin berkata “UTM sentiasa mengalu-alukan kerjasama industri-akademia merentas sempadan dalam memperkasa generasi muda menjadi lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Sesi bergambar tetamu kenamaan bersama warga UTM yang hadir.

“Simposium ini diharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia terutama pelajar UTM dalam meneroka bakat dan peluang perniagaan, di samping mengambil manfaat Inisiatif Jalur & Laluan supaya mereka mampu menembusi jaringan dan pasaran di peringkat global.

Explore More