November 8, 2024

Search
Close this search box.

GALA IR4.0 2022: Inisiatif FTIR pacu pendidikan STEM di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 24 Nov. – Hala tuju pendidikan Malaysia adalah untuk menginovasikan pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang akan menarik minat pelajar abad ke-21. Fleksibiliti dalam hala tuju pendidikan dapat dilihat melalui aplikasi pelbagai konsep pembelajaran yang berasaskan teknologi terkini seperti pembelajaran digital dan secara maya.

Sehubungan dengan itu, UTMKL melalui Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) telah berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) menerusi program GALA IR4.0 2022: Nuturing Sustainable Future Through Innovations. Program yang bertujuan untuk membangunkan murid dari segi kemahiran, penampilan sahsiah dan membudayakan STEM dalam kehidupan seharian mereka ini  telah berlangsung pada 23 dan 24 November 2022 bertempat di Asia Pacific University of Technology & Innovation, Kuala Lumpur.

Dalam kolaborasi ini, pasukan penyelidik FTIR telah mempamerkan dua inovasi berasaskan STEM iaitu ‘Virtual Reality (VR) Welding’  dan ‘Innovative Pico Hydro turbine for Remote Area’. ‘Virtual Reality (VR) Welding’ merupakan aplikasi mudah alih yang mengintegrasikan teknologi realiti maya (VR) dengan peralatan fizikal, yang membolehkan pelajar belajar dan memperoleh kemahiran psikomotor dalam operasi kimpalan.

Manakala dalam ‘Innovative Pico Hydro turbine for Remote Area’ pula, para pelajar akan dapat mengenali dan memahami mekanisma penghasilan tenaga elektrik daripada sumber tenaga semulajadi (air). Nilai kadar alir air yang menghasilkan tenaga mekanikal untuk menggerakkan putaran turbin adalah berkadar terus dengan tenaga elektrik yang akan terhasil.

Pameran ‘Virtual Reality (VR) Welding’

Pelajar mengaplikasi ‘Virtual Reality (VR) Welding’

Pameran ‘Innovative Pico Hydro turbine for Remote Area’

Pertandingan berasaskan STEM yang dikenali sebagai ‘Flying Paper Plane Competition’ turut dilaksanakan. Pada tahun 2022, ia merupakan siri ke-3 perlaksanaan aktiviti yang sama selepas program Minggu Sains Negara (MSN) Keluarga Malaysia 2022 dan Selangor Aviation Show 2022. Matlamat utama aktiviti ini adalah untuk menyemai dan menyemarakkan lagi minat pelajar terhadap STEM menerusi pembelajaran yang menyeronokkan dengan cara melaksanakan ujikaji.

Cabaran yang diberi melalui aktiviti ini adalah aplikasi pengetahuan asas sains, aerodinamik dan mekanik ke dalam penghasilkan produk fizikal yang mampu terbang jauh di udara. Seramai 120 orang peserta telah menyertai pertandingan ini berdasarkan tiga  kategori yang dipertandingkan iaitu kategori sekolah rendah (darjah 4-6), kategori sekolah menengah rendah (tingkatan 1-3) dan kategori sekolah menengah atas (tingkatan 4-5).

Poster pertandingan ‘Flying Paper Plane Competition’

Sebelum pertandingan bermula, satu sesi perkongsian ilmu berkaitan konsep dan teori sains dan kejuruteraan, pengaplikasian konsep-konsep aerodinamik dalam pembinaan kapal terbang kertas, dan kebolehupayaan penerbangan oleh pakar-pakar bidang dari industri dan universiti telah disampaikan oleh PM Dr Sa’ardin bin Abdul Aziz bagi mendedahkan para pelajar berkaitan pengetahuan asas sains, aerodinamik dan mekanik ke dalam penghasilkan produk fizikal yang mampu terbang jauh di udara. Demonstrasi turut di buat bagi menghasilkan kapal terbang kertas yang boleh terbang jauh dan berada lama di udara.

Perkongsian ilmu oleh PM Ts Dr Sa’ardin bin Abdul Aziz

Seterusnya, para peserta dikehendaki menyiapkan 3 model kapal terbang kertas dengan ciri-ciri tertentu yang akan digunakan dalam pengukuran jarak paling jauh untuk setiap kategori yang dipertandingkan. Pemenang diumumkan berdasarkan kategori yang dipertandingkan dengan kiraan jarak paling jauh.

Peserta terbaik kategori sekolah rendah adalah Qahir Afiq Bin Mohd Firdaus dari Sekolah Kebangsaan Setapak Indah (17.28 m), Mulyadi Ahmad Shahputra Aswandi dari sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda (17.12 m) dan Hafiy Syahmi dari Sekolah Kebangsaan Batu Muda (15.16 m). Bagi kategori  sekolah menengah pula telah dimenangi oleh peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang iaitu Dhia Eskandar Bin Badrul Hisyam (10.88 m), Muhammad Shazzuan Shah Bin Nor Azmi Shah (9.09 m) dan Khairul Niezam Bin Zainuri (7.68 m).

Peserta menunggu giliran untuk balingan

Penjurian untuk balingan paling jauh

Keseronokan pelajar dalam aktiviti yang dijalankan

Secara keseluruhan, maklumbalas positif dan memberangsangkan telah diterima daripada peserta, pihak sekolah dan penganjur pertandingan. Guru-guru pengiring memaklumkan bahawa pelajar-pelajar mereka sangat teruja menyertai pertandingan dan bersemangat dalam melaksanakan pembinaan kapal terbang kertas ini serta gembira dengan aktiviti yang dijalankan.

Mereka juga lebih memahami konsep-konsep sains dan kejuruteraan juga dapat diaplikasi dalam permainan mudah serta menyeronokkan seperti kapalterbang kertas ini. Input positif juga diterima dari pihak penganjur JPWPKL untuk menjadi rakan kolaborasi pada masa akan datang secara tahunan.

Explore More