April 20, 2024

Search
Close this search box.

Career Talk FABU: Future Ready Surveyor medan pelajar kenal pasti halatuju selepas bergraduasi

JOHOR BAHRU, 18 Dis. – Satu program Career Talk dengan tajuk ‘Future Ready Surveyor’ telah dijalankan oleh bidang Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dengan kerjasama Bahagian Geomatik dan Ukur Tanah (GLS), Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) di Dewan Konvensyen FABU.

Program Career Talk ini adalah merupakan salah satu program anjuran bidang Geoinformasi bersempena dengan Sambutan 50 Tahun Geoinformasi UTM dan ianya adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pelajar Geoinformasi berkenaan halatuju mereka setelah bergelar graduan kelak.

Career Talk ini telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Sr Haji Johari bin Wahab, Naib Presiden Bahagian Geomatik dan Ukur Tanah, RISM. Turut hadir sama ke program tersebut adalah Profesor Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa, Pengarah Geoinformasi dan Sr Dr. Tan Liat Choon, Timbalan Pengerusi RISM Cawangan Johor.

Program telah dihadiri lebih dari 170 orang pelajar dari semua peringkat tahun pengajian bagi bidang Kejuruteraan Geomatik dan bidang Sains Geoinformatik. Yang Berbahagia Datuk telah berkongsi berkenaan pengalaman lepas beliau sehingga bergelar seorang Juruukur Tanah Berlesen (JTB). Sesi soal jawab bersama para pelajar berjalan dengan menarik kerana penglibatan aktif pelajar-pelajar bertanyakan soalan kepada Yang Berbahagia Datuk.

Suasana kemeriahan di Dewan Konvensyen FABU tersebut turut dirasai dengan kehadiran sama delegasi Bahagian Geomatik dan Ukur Tanah (GLS), RISM seperti Sr Dr. Mohd Yunus bin Mohd Yusoff, Prof Madya Sr Dr. Saiful Aman bin Hj. Sulaiman, Sr Mohd Riduan bin Mohamad@Idris, Sr Saiful Wazlan bin Wahab, Sr Nur Zurairah binti Abdul Halim, Sr Abdul Hadi bin Abdul Samad, Sr Yip Kit Meng, Sr Syed Idrus bin Syed Salim, Sr Asrul bin Zakaria Dan Setiausaha Kehormat, Puan Nabila Farah Alieya binti Mohamed.

Penganjuran program Career Talk: Future Ready Surveyor ini sedikit sebanyak telah memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar-pelajar untuk berkongsi persoalan, keraguan dan permasalahan berkenaan kelebihan menjadi ahli RISM serta peranan dan halatuju juruukur tanah berlesen wanita pada masa kini.

 

Explore More