April 20, 2024

Search
Close this search box.

Bengkel penerbitan artikel UTM Newshub medan pencarian bakat penulis muda berpotensi

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal

JOHOR BAHRU, 15 Dis. – Biro Pembangunan & Budaya Ilmu Institusi Pembangunan Felo Universiti Teknologi Malaysia (IPF UTM) dengan kerjasama Seksyen Hal Ehwal Korporat UTM dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Hussein Onn (JKM KTHO) telah menganjurkan Bengkel Faedah & Kaedah Penerbitan Menerusi Platform Portal UTM Newshub.

Sesi perkongsian ilmu yang diadakan di Dewan Sri Merbau, KTHO ini mendapat sambutan hebat daripada warga UTM dengan kehadiran kira-kira 100 orang peserta yang terdiri daripada Felo, Pembantu Felo dan wakil-wakil JKM dari setiap kolej kediaman.

Perkongsian ilmu ini menampilkan tiga orang tenaga pengajar terdiri daripada Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat (Media Kreatif & Penjenamaan), Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaroddin; Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat (Komunikasi Korporat), Cik Rohaizan Khairul Anuar dan Penyunting UTM Newshub Hal Ehwal Korporat (Unit Perhubungan Media), En. Mohd Fadthul Ikmal Misnal.

Intipati perkongsian yang disampaikan berkisar kepada teknik promosi dan publisiti berkesan, reputasi dan kebolehlihatan (visibility) menerusi penulisan artikel berita serta kaedah dan teknik penulisan sebagaimana piawaian yang digariskan oleh Seksyen Hal Ehwal Korporat UTM.

“Saya mendapat input berguna mengenai teknik promosi dan publisiti yang efektif daripada Dr. Farizal. Beliau memberikan contoh reka bentuk poster dan video yang mampu menarik perhatian,” kata Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman.

“Perkongsian Cik Rohaizan pula menyedarkan saya bahawa dengan menulis artikel, pelajar mampu mengasah kemahiran-kemahiran seperti mencari dan menganalisis maklumat, di samping berpeluang untuk muncul dalam platform media luar dan media rasmi UTM,” jelas Muhammad Hakim Mohd Zain.

“Penerangan En. Fadthul mengenai seni dan teknik penulisan artikel telah membuka mata bahawa pelajar juga boleh menulis dengan baik, sekiranya mengikut panduan yang telah diberikan. Selepas ini, saya tidak akan ragu-ragu lagi mencuba menulis artikel untuk diterbitkan di UTM Newshub,” ulas Megat Muhammad Farhan Daniel Megat Suwardi.

IPF UTM dan Seksyen Hal Ehwal Korporat berharap sesi perkongsian ilmu ini akan menjadi pencetus kepada warga UTM terutama dalam kalangan mahasiswa untuk lebih minat menceburi bidang penulisan. Sesungguhnya, kemahiran ini mampu menjadi nilai tambah dalam membangun bakat holistik sepertimana yang telah digariskan dalam pelan strategik universiti enVision UTM 2025.

Explore More