April 23, 2024

Search
Close this search box.

ATABM 2022 : Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu ahli akademik UTM diiktiraf

Oleh Nur ‘Aina binti Osman

PUTRAJAYA, 9 Dis. Pemartabatan bahasa Melayu dalam arena pendidikan sememangnya menjadi agenda nasional bukan sahaja di peringkat pendidikan awal bahkan pendidikan tinggi negara. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuktikan keprihatinannya dalam merealisasikan agenda ini melalui pengiktarafan yang diterima oleh dua ahli akademiknya, Profesor Dr. Mohammad Nazri  Mohd Jaafar, dan Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, apabila masing-masing dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu dan Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2022 di sini, hari ini.

Penganugerahan berprestij ini disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, bersempena Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi dan Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2022 yang berlangsung di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) merupakan anugerah terunggul dan berprestij bagi mengiktiraf sumbangan individu daripada golongan akademik pelbagai bidang dalam memartabatkan bahasa Melayu di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dua tokoh ini telah menunjukkan kewibawaan dan usaha keras dalam mengangkat penggunaan bahasa Melayu bagi penyampaian ilmu peringkat tinggi di bidang kepakaran yang berbeza. Profesor Dr. Mohammad Nazri  Mohd. Jaafar, penerima anugerah utama pada majlis ini, merupakan Profesor dari Fakulti Kejuruteraaan Mekanikal UTM, dan bukanlah nama baharu dalam arena penulisan lebih-lebih lagi bagi naskhah ilmu berteraskan bahasa Melayu.

Prof. Nazri Jaafar sewaktu menerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2022 daripada KSU KPT, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak petang tadi.

Bidang penulisan beliau yang bertumpu kepada kejuruteraan aeronautik dijadikan wadah menterjemah kecintaannya terhadap bahasa Melayu. Lulusan bidang Kejuruteraan Aeronautik dari salah sebuah universiti Amerika Syarikat ini mengorak langkahnya dalam bidang penulisan bahasa ibunda secara serius bermula dengan kerja-kerja penterjemahan karya ilimiah khususnya dalam bidang ini. Karya terjemahan beliau menjadi rujukan kebanyakan politeknik di seluruh negara yang mana usahanya ini membuka peluang lebih luas kepada pelajar tempatan yang kurang memahami bahasa Inggeris agar dapat menguasai bidang berkaitan.

Usahanya diteruskan dengan penghasilan karya penulisan melalui penerbitan 18 buah buku karya asli di mana 11 daripadanya adalah dalam bahasa Melayu dan tujuh monograf, dengan enam karya juga dalam bahasa Melayu. Hasil karya beliau seperti Teknik Pembakaran Hijau: Pembakar Berbahan Api Cecair mendapat pengiktirafan peringkat nasional; Anugerah Buku Negara dan Anugerah Persatuan Sains dan Matematik (PERSAMA).

Prof. Dr Nazri Jaafar yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Penerbitan Universiti pada tahun 2005, baru-baru ini memenangi Anugerah Buku Karya Asli (Kategori Sains dan Teknologi) sempena Majlis Citra Karisma UTM 2022 melalui karya Pembakaran Emisi Rendah Aplikasi Pemusar Jejarian Dwi Aliran.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Abdul Halim  Abdullah, Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, dilihat menjadi tonggak harapan Universiti dan negara secara amnya, dalam meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bagi sektor pendidikan tinggi.

Aura seorang pendidik berjaya diserlahkan melalui semangatnya semasa melaksanakan penyelidikan dan menghasilkan penulisan dalam bahasa Melayu menjadi bukti beliau sentiasa bersemangat untuk menyuburkan lagi penggunaan bahasa ibunda ini. Sehingga kini, beliau banyak melaksanakan penyelidikan, penulisan, penerbitan, perundingan dan pembentangan kertas kerja dalam bahasa Melayu.

Prof. Madya Dr Halim sewaktu menerima anugerah daripada KSU KPT, Dato’ Seri Abdul Razak di dewan yang sama.

Dalam aspek penyelidikan, beliau telah dan sedang mengetuai tiga buah geran penyelidikan bertaraf kebangsaan yang dikendalikan dalam bahasa Melayu di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan geran Majlis Amanah Rakyat (MARA), lima geran di peringkat Universiti, dan menjadi penyelidik bersama 18 buah geran penyelidikan yang kesemuanya juga dalam bahasa Melayu.

Dalam bidang penulisan pula, Dr. Halim Abdullah sehingga kini telah menghasilkan lebih daripada 60 artikel bahasa Melayu untuk pelbagai ruangan dalam surat khabar arus perdana. Selain itu, sebanyak 18 buah artikel bahasa Melayu penulisan beliau telah disiarkan dalam majalah akademik seperti Majalah Sains, Dewan Masyarakat dan Dewan Siswa.

Buku Pembelajaran dan Pemikiran Geometri van Hiele hasil tulisannya, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka turut dicalonkan dalam Anugerah Buku Negara pada tahun 2019 dan 2020. Karya penulisannya dalam bahasa Melayu tidak terbatas dalam karya ilmiah, malah turut divariasikan dalam bentuk penulisan travelog berdasarkan pengalamannya mengembara ke luar negara yang diterbitkan dalam surat akhbar tempatan, seperti Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.

Explore More