Disember 2, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal & Nur’aina Osman

JOHOR BAHRU, 29 Dis. – Seramai 103 mahasiswa dari dua Universiti Awam (UA) Zon Selatan telah berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) hari ini. Mereka terdiri daripada 50 penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan 53 penuntut dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

Majlis penuh istiadat yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ini telah disempurnakan oleh Ketua Polis Johor, YDH CP Dato’ Kamarul Zaman Mamat. Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Penolong Pengarah (Operasi Darat) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Bukit Aman, SAC Jamel Salleh; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Johor, SAC Rupeah Abd Wahid dan Komandan Kor SUKSIS UTM, ACP Kor SUKSIS Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin.

Perbarisan kawalan kehormatan Kor SUKSIS UTM dan UTHM.

Pentauliahan ini diberikan sebagai suatu pengiktirafan dan penghargaan atas semangat juang para pelatih mengharungi latihan dengan penuh berdisiplin selama tiga tahun di institusi masing-masing.

Modul-modul latihan yang ditetapkan, seperti modul latihan kawad, latihan senjata, kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA), Kursus Asas Pertolongan Cemas dan Menyelamat (KAPC), Seni Mempertahankan Diri (SMD), Kursus Etika dan Pengurusan Integriti dan Program Khidmat Masyarakat, merupakan penerapan ilmu utama yang perlu diikuti oleh para pelatih.

YDH CP Dato’ Kamarul Zaman bin Mamat berkata, “Pembentukan peribadi sebagai anggota polis tidak hanya dipelajari sewaktu di dalam kelas malah kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar universiti, seperti kepimpinan, semangat berpasukan, ketaatan, disiplin dan pengurusan masa turut diterapkan melalui aktiviti ko-kurikulum yang dilaksanakan.

“Generasi pemimpin yang berilmu, berbudaya cemerlang, bertanggungjawab, berwawasan, berintegriti, mempunyai daya ketahanan yang kental serta semangat waja amat diperlukan sebagai tonggak memimpin negara seterusnya mencorak masa depan serta hala tuju negara agar lebih cemerlang.”

Prof. Shamsul pula dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada semua Inspektor Kor SUKSIS kerana cekal mengharungi pelbagai cabaran di samping mengimbangi tuntutan akademik serta latihan sehingga berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang dengan suasana norma baharu.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Inspektor Kor SUKSIS di atas pentauliahan ini. Semoga kejayaan yang dicapai ini menjadi bekalan yang paling berharga untuk kejayaan masa depan Inspektor Kor SUKSIS semua.”

Bersempena dengan sesi pentauliahan ini, Kor SUKSIS turut mengiktiraf enam orang pelatih terbaik, masing-masing tiga daripada UTM dan tiga daripada UTHM.

Tiga pelatih terbaik Kor SUKSIS UTM bergambar bersama Komandan Kor SUKSIS UTM, ACP Kor SUKSIS Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin.

Tiga pelatih UTM yang menerima pengiktirafan ialah Inspektor KS Norfarahin Mohd Nor (Anugerah Pelatih Terbaik Akademik), Inspektor KS Aminuddin Mahali (Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar) dan Inspektor KS Muhammad Firdaus Mohd Fuad (Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan).

Dari kiri: Inspektor KS Norfarahin Mohd Nor, Inspektor KS Muhammad Firdaus Mohd Fuad dan Inspektor KS Aminuddin Mahali.

“Minat dalam bidang kepolisan sejak dari zaman sekolah mendorong saya untuk memilih SUKSIS sebagai aktiviti kokurikulum semasa pengajian. Tambahan pula, dorongan ayah saya yang juga merupakan anggota PDRM menjadikan saya tidak ragu-ragu untuk menyertai SUKSIS bersama rakan-rakan pelatih yang lain,” jelas Inspektor KS Muhammad Firdaus.

Tiga pelatih terbaik UTM bersama keluarga masing-masing.

“Seebagai pelatih SUKSIS, kami sentiasa dilatih untuk mempersiapkan kekuatan mental dan fizikal dalam menghadapi apa jua cabaran. Kerjasama berpasukan meningkatkan lagi kecekalan dan jatidiri kami sekali gus menjadikan kami pelatih SUKSIS yang kekal berdisiplin,” ulas Inspektor KS Aminuddin.

“Tauliah yang diperoleh pada hari ini sememangnya amat bermakna. Walaupun menghadapi cabaran dalam membahagikan masa antara pelajaran dan latihan, namun semua itu mampu diharungi dengan baik. Terima kasih kepada keluarga dan jurulatih yang sentiasa menyokong dan memberikan inspirasi kepada kami,” kata Inspektor KS Norfarahin.

 

Explore More