Mei 8, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal 

JOHOR BAHRU, 24 Nov. – Bagi generasi yang lahir pada tahun 90-an, anime dan permainan kad Yu-Gi-Oh! tidak perlu diperkenalkan lagi. Menjadi kegilaan kanak-kanak pada waktu itu, Yu-Gi-Oh! menyaksikan pertarungan permainan kad “Duel Monsters”, yang melibatkan karakter-karakter, seperti Yami Yugi, Yugi Muto, Jaden Yuki dan lain-lain.

Ketika graduan pascasiswazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang lain memilih minat atau kegiatan seperti mendaki gunung, bersukan dan melancong untuk meredakan tekanan, lain pula halnya dengan Dr. Dimas Adiputra. Graduan doktor falsafah UTM dari Surabaya, Indonesia ini memilih untuk terlibat secara intensif dan profesional dalam permainan kad Yu-Gi-Oh! ini. Malah, UTM dipilih sebagai lokasi oleh Dr. Dimas untuk menyambung pengajian memandangkan Malaysia merupakan antara negara rasmi pengedar permainan Yu-Gi-Oh!

“Saya mula terlibat secara profesional sejak pengajian ijazah sarjana lagi. Ketika itu, saya pernah mencapai kedudukan 64 terbaik dalam satu kejohanan terbuka di Singapura pada tahun 2015. Malah, saya pernah mendapat kedudukan lapan terbaik dalam satu pertandingan di Pulau Pinang.

“Kemuncak pencapaian saya adalah sewaktu saya mula menyambung pengajian doktor falsafah, yang saya sifatkan sebagai pencapaian terbaik sejak saya melibatkan diri secara profesional dalam permainan ini. Saya berjaya meraih kedudukan empat terbaik dalam kejohanan terbuka Singapura pada tahun 2017. Dalam tahun yang sama, saya berjaya menjadi Juara Indonesia,” tambah Dr. Dimas.

Ketika ditanya adakah minat beliau dalam permainan Yu-Gi-Oh! menggangu fokus dan tumpuannya ketika pengajian doktor falsafah, ini reaksi beliau.

“Alhamdulillah, minat terhadap Yu-Gi-Oh! langsung tidak menggangu fokus saya dalam pengajian. Malah, sepanjang pengajian PhD, saya berjaya menerbitkan 3 artikel dalam jurnal berindeks, salah satunya jurnal berindeks Web of Science (WoS) Q1, di samping meraih pingat emas dalam salah satu pameran antarabangsa dan menghasilkan satu paten penyelidikan. 

“Berkat bantuan penyelia, Dr. Mohd Azizi Abdul Rahman dan Prof. Saiful Amri Mazlan, doa ibu bapa dan isteri tercinta serta sahabat handai, saya berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan. Siapa sangka saya mampu menyempurnakan projek PhD berkisar mengenai robot untuk pesakit pasca angin ahmar.

Dr. Dimas Adiputra merupakan graduan doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan sistem elektronik kini bertugas sebagai pensyarah di Institut Teknologi Telkom Surabaya. Antara bidang kepakaran beliau adalah kejuruteraan kawalan, kejuruteraan bioperubatan dan internet of things (IoT). 

“Buat Dr. Dimas, terus terbang tinggi, menyemai budi untuk ibu pertiwi. UTM bangga mempunyai anda sebagai alumni.”  

Explore More