Warga UTM Teruja Kembalinya Kemeriahan FESKO 66

JOHOR BAHRU,  22 Nov. – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (MPP UTM) di bawah penyeliaan Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) menganjurkan  program Festival Konvokesyen kali ke-66 (FESKO 66), bermula 21 November sehingga 28 November 2022 bertempat di Dataran UTM.

Perasmian program  telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail. Majlis perasmian ini turut dihadiri Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU), Ahli turut hadir JPU, dekan-dekan, pengarah-pengarah universiti, pengetua-pengetua kolej kediaman serta pengerusi-pengerusi kolej kediaman.

Hampir dua tahun majlis konvokesyen dijalankan tanpa penganjuran FESKO disebabkan penularan virus COVID-19. Sememangnya warga UTM dan masyarakat sekeliling amat menantikan kembalinya kemeriahan FESKO.

FESKO merupakan aktiviti mega universiti yang  sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana program ini akan memeriahkan lagi minggu konvokesyen di UTM.

“FESKO 66 menyasarkan 100,000 pengunjung yang akan hadir dalam masa 8 hari festival dan jumlah ini tidak termasuk bilangan mahasiswa dan mahasiswi yang sedia ada di dalam UTM. Kami juga berhasrat agar FESKO 66 dijadikan benchmark oleh IPT lain yang mana FESKO ini dianjurkan oleh mahasiswa UTM.

“Selain itu, festival ini menyajikan pelbagai aktiviti, pameran, lebih daripada 100 buah gerai jualan produk dan makanan serta artis jemputan khas untuk pengunjung yang hadir ke FESKO 66,” kata Pengarah Program FESKO 66, Muhammad Aswan Farez bin Mahad.

Naib Canselor UTM berkata bahawa “penganjuran FESKO 66 masih kekal relevan dianjurkan oleh mahasiswa UTM kerana program ini merupakan satu program yang berimpak tinggi dalam memberi pelbagai kesan kepada para pelajar UTM yang terlibat dalam menguruskan FESKO 66 ini.

“Penganjuran FESKO 66 selari dengan enVision UTM 2025 untuk menjadikan pelajar mempunyai bakat global (global talent) dan meningkatkan nilai kebolehpasaran pelajar UTM dalam industri pekerjaan pada masa akan datang selepas bergelar graduan,” tambah Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi.

Majlis perasmian FESKO 66 ini membawa tema ‘Resurgence, Proficiency & Inspire’ . Tema ini dapat memberi semangat dan inspirasi kepada para graduan untuk terus berusaha dan menanam sifat tidak mudah berputus asa dalam mendepani alam pekerjaan yang semakin hari semakin mencabar.

Majlis perasmian pada malam itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan, Hazama Ahmad Hazami (Hazama) yang menghiburkan hadirin dengan mendendangkan lima buah lagu.