April 27, 2024

Search
Close this search box.

Walau Perit, Anisya Cekal Tamatkan Pengajian dan Peroleh Ijazah Kelas Pertama

Oleh: Nurul Nazihah binti Jamal 

JOHOR BAHRU, 23 Nov.Tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU) mental, bukanlah penghalang bagi Anisya Anis Sariff, 27, untuk meraih Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, pada Majlis Konvokesyen ke-66 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pada 23 November 2022. 

Beliau telah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia selepas tujuh tahun mengharungi dugaan dan di samping memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif, 3.77. 

Anisya yang mula didiagnosis menghidap Bipolar Mood Disorder sejak tahun 2017, berkata beliau pernah hampir berputus asa untuk meneruskan pengajiannya, namun dengan dorongan dan sokongan yang besar daripada keluarga, para pensyarah dan sahabat baik membuatkan Anisya tekad untuk menghabiskan pengajiannya.

Tambahnya lagi, para pensyarah Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), terutamanya Prof. Madya Dr. Mastura Mahfar, Dr. Nurul Farhana Mohd Noordin, Prof. Madya Dr. Norashikin Mahmud dan Dr. Shah Rollah Abdul Wahab, banyak membantu dari segi sokongan, keperluan dan kebajikan pelajar sepertinya yang membuatkan mereka mampu menjalani kehidupan kampus dengan baik tanpa berasa dipinggirkan. 

“Saya tidak tahu bagaimana cara untuk membalas jasa baik para pensyarah saya, lebih-lebih lagi Dr. Mas, Dr. Farhana, Dr. Shikin dan Dr. Shah. Hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikan mereka kepada saya,” luah Anisya. 

Kini Anisya, bergiat aktif memberi kesedaran tentang OKU dan kesihatan mental di serata Malaysia. Beliau juga sedang menjawat jawatan sebagai Rakan Digital bagi merealisasikan projek Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Menurut Anisya, kini kehidupannya semakin membaik dan turut berkongsi dua istilah yang sentiasa dipegang olehnya untuk memotivasikan diri, iaitu “grit” dan juga  “logotherapy”

“Dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup, saya percaya elemen “grit” banyak membantu saya dalam mencapai kejayaan manakala “logotherapy” membawa kepercayaan kepada saya sebagai kunci kebahagiaan hidup adalah pada mencari makna disebalik penderitaan.”

Buat Anisya, selamat maju jaya dan teruskan perjuanganmu memberi kesedaran kepada semua, supaya mereka tahu apa yang mereka belum tahu. 

Explore More