April 25, 2024

Search
Close this search box.

Oleh Hafizan Hamzah

JOHOR BAHRU, 17 Nov.– Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Johor Port Berhad terus mengukuhkan kerjasama strategik masing-masing dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) pada hari ini.

Melalui persefahaman ini, Johor Port telah bersetuju untuk menyumbang dana sebanyak RM2 juta ke Tabung Endowmen UTM iaitu sumbangan kali ketiga syarikat itu kepada universiti ini. Syarikat itu sebelum ini telah menyumbang RM 5 juta pada 2013 dan RM3 juta pada 2019.

Naib Canselor UTM dalam ucapannya telah menzahirkan rasa syukur dan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen Johor Port untuk terus bersama universiti ini dalam membantu pelajar yang kurang bernasib baik.

“Kita berterima kasih kepada Johor Port kerana sentiasa bersama kita dalam usaha membantu pelajar kurang berkemampuan (B40) dalam pelbagai bentuk khususnya pemberian Biasiswa Endowmen Al-Bukhary,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Johor Port Berhad, menjelaskan Johor Port Berhad sebagai sebuah organisasi yang prihatin dan komited dalam melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) demi pembangunan dan kesejahteraan masyarakat telah dapat menyumbang dana sebanyak RM10 juta ke Tabung Endowmen UTM bagi membantu dan meringankan beban kewangan pelajar kurang berkemampuan (B40) yang melibatkan pelbagai bangsa, dari pelbagai fakulti dan program pengajian.

“Bantuan telah disalurkan dalam pelbagai bentuk sama ada pemberian biasiswa, bantuan kewangan bagi membeli barang keperluan harian, bantuan pembayaran sebahagian yuran pengajian dan penyediaan makanan secara percuma.

“Kerjasama erat ini bukan sahaja melalui sumbangan dana tetapi juga melalui program akademik UTM melalui UTMSPACE yang membantu JP Skills Profesional Centre (JPSC) dalam penawaran Program Sarjana Profesional Pengurusan Pelabuhan,” katanya lagi.

Majlis Menandatangani MoA telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM, dan YBrs. Encik Md Derick Basir, Ketua Pegawai Eksekutif, Johor Port Berhad.

Majlis menandatangani MoA yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru turut dihadiri pegawai kanan UTM dan Johor Port Berhad.

Naib Canselor UTM (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad menunjukkan MoA yang telah ditandatangani.
Delegasi kedua-dua pihak bergambar dengan Naib Canselor UTM dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port.

Explore More