UTM Anugerah Gelaran Profesor Emeritus kepada Dua Tokoh Akademik

Oleh Nur ‘Aina Osman

JOHOR BAHRU, 24, Nov. – Universiti Teknologi Malaysia sentiasa menghargai ketokohan dan kepakaran ahli akademiknya. Lantaran itu, dua orang tokoh akademik yang banyak menyumbang dalam kesohoran UTM sebagai institusi pengajian tinggi awam di Malaysia melalui bidang kepakaran masing-masing telah dianugerahi gelaran Profesor Emeritus bersempena dengan istiadat Majlis Konvokesyen ke-66 UTM di Dewan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Dua ahli akademik yang dimaksudkan ialah Dr. Bahrom Sanugi dan Dr. Mohd Nawi Derahman menerima pengurniaan anugerah berkenaan daripada Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor dan Tuanku Canselor UTM.

Dr. Bahrom Sanugi, merupakan tokoh akademik yang mempunyai minat mendalam dan aktif dalam bidang penulisan. Beliau yang dilahirkan pada 23 Januari 1951, di Kampung Pt. Makmor, Batu Pahat, Johor, dilantik Pensyarah dalam bidang matematik dan Komputer di UTM pada 1986, dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Computing dari Loughborough University, England.

Prof. Emeritus , Dr. Bahrom Sanugi ketika menerima penganugerahan gelaran Profesor Emeritus daripada DYMM Tuanku Canselor pada sesi yang sama.

Dr. Bahrom telah menulis 12 buah buku yang diterbitkan oleh UTM, DBP, dan penerbit antarabangsa seperti John Wiley & Sons, Inc., USA, dan Lambert Academic Publishing, Jerman. Selain itu, beliau telah menerbitkan lebih 150 kertas kerja jurnal tempatan dan antarabangsa serta kertas seminar. Beliau juga aktif dalam pengurusan jurnal dan merupakan salah seorang penaja/pengasas bagi jurnal Matematika terbitan UTM pada tahun 1983 dan seterusnya menjadi Ketua Editor jurnal berkenaan dari tahun 2002 hingga 2008.

Semasa beliau menjadi Dekan di Fakulti Sains pula beliau telah memacu penerbitan fakulti tersebut sehingga memenangi hadiah utama pada majlis Anugerah Penerbitan Universiti 2003 bagi kategori Anugerah Penerbitan Naib Canselor, UTM.

Ketokohan beliau dalam bidangnya turut diserlahkan melalui kepimpinan  peringkat negara menerusi penyertaannya dalam beberapa Jawatankuasa peringkat Kebangsaan mengenai penyelidikan anjuran Kementerian Sains,Teknologi dan Persekitaran, termasuklah Intensification of Research in Priority Areas (IRPA) dalam Jawatankuasa Induk MPKSN, Ahli National Organisation Committee MIGHT Consultation; meningkatkan produktiviti negara melalui automasi & robotik dan bergiat aktif dalam National Committee on Commercialization of R&D, MITI, dan banyak lagi.

Prof. Emeritus Dr. Bahrom bersama isteri bergambar kenangan di dalam Bilik Canselor, Dewan Sultan Iskandar.

Dr. Bahrom yang pernah memenangi Hadiah Utama Anugerah Penerbitan UTM 2005 bagi kategori Buku Karya Asli Sains & Kejuruteraan (Bahasa Asing), kini Ahli Lembaga Editor (Editorial Board Member) bagi International Journal of Learning and Change, di Inderscience Publishers yang berpangkalan di Geneva, Switzerland.

Tokoh kedua penerima gelaran Profesor Emeritus, Dr. Mohd Nawi Derahman, merupakan anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Bachok, Kelantan. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Malay College Kuala Kangsar pada tahun 1971, dan pengajian A-Levels di Bournemouth College of Technology, England pada tahun 1973.

Prof. Emeritus Dr. Mohd Nawi Derahman menerima kurniaan gelaran Profesor EMeritus daripada Tuanku Canselor pagi tadi.

Dr. Mohd Nawi menerima Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari University of Manchester, Institute of Science and Technology (UMIST), England, sebelum berkhidmat di Syarikat Shell Refining Berhad, Port Dickson.

Namun atas minatnya dalam bidang akademik beliau menyertai UTM sebagai Penolong Pensyarah A di Jabatan Kejuruteraan Petroleum pada 1980 dan diberi tanggungjawab untuk membangunkan silibus Kejuruteraan Termodinamik bagi pelajar Kejuruteraan Petroleum.

Pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang bidang Enhanced Oil Recovery dari University of Bath, United Kingdom ini telah berkhidmat di UTM selama 35 tahun. Dalam tempoh ini beliau memegang beberapa jawatan penting, seperti Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli (FKKKSA) dan Ketua dalam projek pembangunan British Council – Higher Education, CICHE dalam Penyelidikan Kejuruteraan Petroleum.

Prof. Emeritus Dr. Ahmad Nawi bersama isteri bergambar kenangan bersama DYMM Tuanku Canselor, YAM Che’ Puan Besar Khaleeda dan Prof. Datuk Ahmad Fauzi.

Beliau juga aktif dalam bidang penyelidikan yang pernah suatu ketika beliau berjaya memperoleh geran penyelidikan keseluruhan sebanyak RM5 juta dan banyak menjalankan perundingan di peringkat kebangsaan dengan keseluruhan projek bernilai RM605 juta.

Dr. Mohd Nawi telah dipinjamkan sementara dan dilantik sebagai Pengetua dan Pengarah di Terengganu Advanced Technical Institute (TATI), yang kini dikenali sebagai Kolej Universiti TATI, sebuah pusat kemahiran institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus pengkhususan hands-on secara praktikal dan teori dalam pelbagai bidang kejuruteraan.

Di bawah teraju beliau, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi perkembangan institusi ini sehinggalah berjaya menubuhkan sebuah kampus tetap di Telok Kalong, Kemaman pada 1 Julai 1996 yang telah dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu.