April 27, 2024

Search
Close this search box.

Ujian Sakit Buah Pinggang Bukan Halangan Dua Graduan Genggam Ijazah Idaman

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal 

JOHOR BAHRU, 22 Nov. – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mendengar kisah mereka sahaja sudah cukup membuatkan air mata berlinangan, inikan pula diri mereka sendiri yang diuji. Sesungguhnya ujian ini hanya untuk insan terpilih kerana Allah SWT tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. 

Siapa sangka mereka yang dahulunya ceria dan bergerak aktif, kini dibatasi pergerakan mereka dek kerana ujian sakit buah pinggang yang dialami. Itulah suratan takdir yang telah tertulis buat dua graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohammad Syahmi Azman dan Azwan Shah Azli Shah.

Tik Tok Jadi Platform Syahmi Didik Masyarakat Mengenai CAPD 

Diuji sebagai pesakit buah pinggang tahap akhir pada Julai 2019, ditambah pula penyakit tersebut tidak diketahui puncanya sedikit sebanyak meruntun hati dan perasaan Syahmi serta keluarga. Beliau pada ketika itu merupakan pelajar tahun tiga Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM.

“Keadaan buah pinggang saya yang tidak lagi berfungsi menyebabkan saya perlu menjalani rawatan dialisis air atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) seumur hidup, empat kali sehari.

“Walaupun berdepan kesukaran disebabkan rutin dialisis ini dan ramai yang meminta saya untuk berhenti belajar, namun ia tetap tidak mematahkan semangat saya untuk terus menghadiri kuliah dan mengikuti pembelajaran sama seperti pelajar-pelajar lain meskipun perlu menambah rutin dialisis empat kali sehari,” ujar beliau lagi.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran, doa daripada Mak, Fauziah binti Yusop, Abah, Azman bin Aziz, sokongan keluarga, pensyarah-pensyarah FABU, rakan-rakan PLANMalaysia, rakan-rakan Space Urban Consult serta pengurusan UTMSPACE, saya berjaya meraih purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.73, sekali gus melengkapkan pembelajaran dengan ijazah sarjana muda kelas pertama.

Syahmi menjadikan platform Tik Tok untuk mendidik masyarakat mengenai CAPD.

Syahmi juga turut menjadikan platform media sosial Tik Tok untuk berkongsi ilmu dan mendidik masyarakat mengenai CAPD. Akaun Tik Tok beliau “@syahmiazmannn” kini mempunyai lebih daripada 48,000 pengikut.

“Isteri saya, Fatin Insyirah Azizan banyak memberikan galakan untuk memberikan perkongsian menerusi siaran langsung (live). Menerusi Tik Tok, saya cuba kongsikan kepada masyarakat mengenai kaedah CAPD, selain itu menjadikan pembelajaran ini sebagai salah satu cara bagi menjaga kesihatan mental dengan menyibukkan diri tanpa perlu memikirkan masalah kesihatan yang dihadapi sekali gus membuktikan kepada orang ramai bahawa penyakit yang dialami tidak menjadi halangan untuk mencapai impian,” jelas Syahmi.

Pernah Hampir Putus Asa, Sistem Sokongan UTM Dorong Azwan Bangkit Semula

“Siapa yang tidak terkejut apabila doktor mengesahkan saya mengalami sakit buah pinggang. Tambahan pula, doktor pula tidak dapat mengesan punca sakit tersebut,” jelas Azwan, graduan ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (TESL).

Ketika pelajar lain merasai kehidupan kampus dengan penuh keterujaan, Azwan pula diuji Allah SWT sejak semester pertama lagi apabila beliau perlu berulang-alik ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan dan bergantung kepada pengambilan ubat.

“Takdir Allah SWT, akhirnya doktor mengesahkan fungsi buah pinggang saya tinggal 13% sahaja. Pada ketika ini, saya rasa hampir putus asa.

“Rutin harian saya mula berubah disebabkan keterbatasan pergerakan. Atas nasihat dan keprihatinan dari pengurusan Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSH), saya menangguhkan pengajian saya bagi menjalani rawatan di hospital dalam tempoh tiga bulan.

“Saya memilih untuk melakukan hemodialis, yang mana proses tersebut memerlukan pembedahan kecil bagi pembentukan fistula untuk melancarkan proses kemasukan dan pengeluaran darah ke mesin hemodialisis.

“Rawatan ini perlu dilakukan sebanyak tiga sesi dalam seminggu, yang mana setiap sesi mengambil masa selama empat jam. Sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembelajaran saya.

“Pada mulanya rasa macam sudah tidak mahu teruskan pengajian. Namun, saya bersyukur mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada Penasihat Akademik, Dr. Mahani Stapa. Tidak dilupakan staf Pusat Kesihatan UTM, pengurusan dan pensyarah-pensyarah FSSH, pengurusan Kolej Rahman Putra (KRP) dan bantuan zakat Pusat Islam UTM.

“Saya juga terharu dengan bantuan rakan-rakan, seperti Ammar, Abid, Sinah, Asyraf, Misriyah, Aiman, Ayuni dan lain-lain. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas jasa baik mereka.

“Buat Syahmi dan Azwan: mujahadah kalian amat luar biasa, moga nukilan kisah ini menjadi pencetus inspirasi buat anak muda, terus berjuang menuntut ilmu selagi nafas masih tersisa.”

Explore More